13 August 2008
Them (Ils) (2006)
Ambil filem Psycho, serikan dengan watak persis Kate Beckinsale dan Luke Wilson dalam Vacancy. Akhir sekali hiaskan dengan personifikasi pembunuh ala Mike Myers (Halloween) dalam gandaan 5x. Kacau ramuan itu sehingga sebati dan hasilnya THEM (aka Ils dalam versi original Perancis) – Sebuah resipi horror-thriller moden dalam acuan klasik.
Filem ini berdasarkan dari kisah benar (jadi bukankah itu lebih atraktif berbanding fiksi?). Kedua-dua watak utamanya juga diadaptasi dari real-life, pasangan Lucas dan Clementine, dibawa terus ke dalam filem ini. Bagaimanapun masalah besar yang timbul yang menjadi tanda tanya ialah di pengakhirannya, yang jelas tidak berdasarkan dari apa sebenarnya yang berlaku. Itu merupakan masalah utama filem ini. Apabila ini berlaku, lantas kita akan rasa tertipu. Tapi tak mengapa, kerana masalah ini akan kutinggalkan dahulu.
Aku tidak boleh nafikan, filem underrated horror ini antara yang terbaik pernah dibikin Perancis. Malahan, segala intensiti, roller-coaster, saspens, runut bunyi serta shot sinematografi yang membentuk keseluruhan ruang atmosferik horror sangat-sangat berkesan dibuat. Segalanya tampak sempurna dari sudut teknikalnya. Pacing yang cukup pantas, langsung tidak memberi masa untuk aku berhenti mengambil ‘nafas’ seketika. Ya, filem ini sangat mendebarkan dan untuk merasainya kita perlu masuk ke dalam roh karakter yang diburu, seraya membayangi posisi karakter si pemburu. Sebetulnya itulah yang menjadi nadi getir, kerana kita hilang punca akan motif buruan tersebut.
Misterius tentang siapa “mereka” yang mengelabui plotnya itu sangat menguja dalam mengajak kita ke fragmen-fragmen seterusnya bagi membongkar siapa mereka di sebalik kumpulan ‘hoodies’ itu, sehinggalah ke konklusinya – yang seperti yang aku katakan awal tadi, bukanlah menjadi kekuatan utamanya lagi kerana ia akhirnya menjadi sebuah fiksi. Lalu, kita sedar bukan itu yang sebenarnya berlaku dalam real-life pasangan malang tersebut. Tetapi jika dari awal lagi kita tahu ia fiksi, sebuah filem formulaik horror, maka masalah remeh sebegini pasti tidak akan wujud sama sekali.
Apa sekalipun, aku cuba maafkan juga memandangkan filem ini, tetap membawa sebuah garapan survival horror-slasher yang sangat-sangat baik. Sedikit sebanyak aku masih merasa tak puas hati akan rumusan nota-nota yang terbit di kaca skrin di penghujungnya, tentang justifikasi undang-undang terhadap mereka yang terlibat itu. Rasa tertipu itu masih ada. Mungkin besok akan hilang agaknya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment