21 December 2005

KING KONG (2005)

King KongWo wo wo... koraaaaang! Aku belum pencen menulis lagi! Aku sibuk gila sih. Mintak maaflah kalau ada antara korang yang 'rajin' masuk SKRIN tapi merasakan buang masa & tenaga sebelum ni. Itupun kalau adalah... Apapun harap korang faham (lagipun bukanlah hebat sangatpun SKRIN aku ni...).

Rasanya tak payahlah aku tulis gila-gila pasal filem ni, sebab boleh katakan 95 persen pengkritik filem dah puji bagai nak rak.

Kalau aku kata magnifisen - Roger Ebert dah kata dulu, 'Jaw-dropping' - Peter Travers (Rolling Stone) pun dah ungkap, "Ini baru filem King Kong" - James Berardinelli (salah sorang pengkritik idola aku) pun dah hebah-hebahkan, malah ungkapan "...one of the year's best films" pun dah melambak-lambak diorang kata bukan saja diorang, tetapi penonton juga. Maka sebab tu lah aku malas. Tapi oleh kerana aku suka, aku tulis jugak haha.

Pertamanya aku terkejut Christopher Null (filmcritic.com) kutuk King Kong. Dia kata garapan Peter Jackson banyak plot berlubang-lubang serta subplot yang tak perlu wujud. Banyak karakter yang tak berkembang. Komen aku : Kalau kau nak tonton King Kong berdurasi 5 jam, silakan. Aku tak sanggup.

Memang ada jugak rata-rata kebosanan pada sejam yang pertama - 'overlong' katanya. Tapi bagi aku, sejam yang pertama itulah akar atau tunjang kuat remake ini. (kau boleh rujuk sejam pertama Titanic). Kau takkan 'mampu' menangis melihat tumbangnya si gergasi di babak akhir (aaahhh aku tergamam bila shot putaran kamera waktu Kong jatuh - aku rasa seolah-olah (hati) aku pun menjunam jatuh sama...), kalau kau kebosanan di awal babak - sebab - di situlah bermulanya pembentukan emosi. Kau akan sedar dan kenal akan karakter Ann Darrow. Bagaimana Jackson sedaya upaya cuba menghilangkan watak hero lelaki dalam King Kong, oleh sebab paksi utamanya ialah hubungan cinta Ann dengan si gorilla.

Walaubagaimanapun, kau jugak perlu sedar, Jackson bukan cuba bermain falsafah dalam King Kong oleh sebab filem ini Jackson dah bilang awal-awal - di buat sekadar feel-good movie. Sekadar menyuntik emosi serta mewarnai semula dengan kesan canggih-manggih filem era 30an tersebut. Maka menontonnya secara santai lah! - tak perlu fikir persoalan seperti macamana King-Kong kalah dengan manusia, tapi kalahkan T-Rex, macamana dia tak mengamuk awal-awal bila sedar kat broadway, dan (..err sori fadz) macamana diorang bawak balik King Kong ke Hollywood dan ikatnya.

Jackson agaknya dah lama kepingin nak meng'homage'kan Brain Dead nya (sebab dalam LOTR aku tak jumpa). Maka 'Skull Island' itu diwujudkan. Seakan menonton aksi awal Brain-Dead (waktu diorang curi 'Rat Monkey' dari tangan orang asli di Skull Island), malah juga homage Deudato untuk Cannibal Holocaust, Jackson dengan gaya tersendiri. Tak lupa juga homage LOTR - rujuk babak Ann Darrow diikat yang berlatarbelakang api di bawah (saat frodo memusnahkan cincin). Tapi ekspektasi horror aku lebih besar! Aku nak tengok lagi horror!!! Aku harap versi DVDnya nanti lebih getir, horror, nasty dan lebih penting - gore. Aku percaya sangat-sangat yang Jackson nak bikin lebih dari itu (gore + horror), tapi terikat dengan tajuk King Kong - maka dah sah-sah diorang tak boleh klasifikasikan 'R' sebab had umur jadi faktor utama.

Apapun, aku enjoy tonton King Kong (walaupun pinggang aku sakit) dan aku nak tonton lagi.


Ann Darrow : "En. Kong, jom lah kita balik ke Skull Island, jangan panjat bangunan, nanti jatuh mati kang!"
Kong : "Takpelah Ann, biarlah aku mati dulu baru jatuh... Taklah sakit sangat"

26 October 2005

SKRIN Berdebu lagi, The Devil's Rejects dan Ucapan Raya

Mak aiiii ni baru betul dah bersemak samun, lalang dah tutup skrin aku. Punya la lama aku tak masuk rumah sendiri – dah nak dekat raya dah pun (sat gi aku buat ucapan raya). Kalau orang tua2 kata bapak jin/setan dah buat port rumah nih. Dah la trailer Devil’s Rejects aku tak buang2 lagi tu. Nak kena buat doa selamat ambik berkat balik nih..

Dah lama tak pegang papan kunci? Kekunci? Lantakla apa nama skalipun, aku taknak citer banyak walaupun banyak jugak DVD aku tonton sampai sekarang tapi aku taknak cerita benda/filem lain – aku nak cerita Devil's Rejects ni jugak. Kalau kau tanya camna ok tak sekuel House of 1000 Corpses (HO1kC) ni? Dengan konfidennya aku kata filem ni antara genre horror/slasher paling baik dibikin tahun 2005. Aku tak sangka Rob Zombie boleh buat sebaik ni. Gila tak sangka. Apa lagi kalau kau pernah tonton HO1kC (yang 'cacat' sikit tapi aku suka jugak).

Ulasan House of 1000 Corpses terdahulu oleh Fadz di SKRIN

The Devil's Rejects (2005)

Filem ni bukanlah bersambung secara langsung dari HO1kC (yang mana scene akhirnya merumuskan yang tak ada sorang survivor pun yang tinggal dan pembunuh2 tu masih lepas), tapi lebih afdal kalau kau tontonnya dulu sebab kau boleh rasa geram, sakit hati, panas, marah membuak2 pada semua watak keluarga setan tu.

Bila masuk filem kedua ni (Devil's Rejects), apatah lagi scene awal kau akan teruja bila polis dah kepung rumah tu. Maka tembak menembak pun berlaku…. Ini antara babak-babak yang aku suka bangat dalam filem ni :-

1. Babak sewaktu si mak jahat kena tangkap. (2 jahanam - Otis & Baby dah terlepas) – Dah kena tangkap tapi cool jer boleh siap maki hamun ludah2 walaupun kena belasah gila2 dengan sheriff (protagonis/hero filem ni). Yang paling aku PUAS HATI bila bebelan si mak itu akhirnya di’senyap’kan dengan satu tikaman pisau oleh sheriff tu. (Dalam hati kau akan kata – hidup pun tak guna – jahat gila!)

2. Apalagi kalau bukan babak horror sewaktu Otis & baby menyeksa dua pasangan kat motel. Tapi kalau nak dibandingkan, paparan gore filem ni taklah sedahsyat HO1kC. Cuma filem kedua ni lebih memprovokasi jiwa atau minda dari segi psikologikal. Begitu jugak dengan elemen seksual – tak se'hebat' sekuel pertama.

3. Kalau dalam filem pertama, si jahat yang asyik2 menyeksa orang, tapi dalam filem kedua ni, diorang yang banyak kena siksa. Aku suka gila bila Otis, Baby dengan si Clown tu kena tangkap secara ‘personal’ oleh sheriff tu. Lepas tu aku terasa nak bangun & tepuk tangan kegembiraan bila turn depa pulak kena siksa. Ni antara garapan hebat yang membuatkan kepakaran Rob Zombie terserlah (yang tersembunyi sebelum ini). Paling best – bila Otis kena paku dua2 belah tapak tangannya kat atas kerusi… seakan satu proses 'penyaliban' bagi membalas dosa2 mereka - bloody awesome! Revenge gila (lebih gila dari amukan Denzel Washington dalam Man On Fire). Aku tabik kau Rob Zombie! World! Haha

4. Dan... yang paling klasik – babak akhir (tak silap aku masa end credits) yang di satu ketika pada mulanya kau akan dikesalkan, disakit-hatikan sekali lagi sebab sememangnya klise genre slasher/horror, maka aku beranggapan bahawa Rob Zombie memang nak mem'prekuel'kan filem ni. Rupanya aku silap. Endingnya lebih getir – dan sekali lagi membuatkan filem ni paling gila (genre horror/slasher) best tahun ni.

Ketepi-ketepi Wes Craven, Tobe Hooper.. ini dia Rob Zombie – generasi baru slasher/horror konservatif gaya baru!


3 beranak... Gila jahat korang nih!


Dah... dah puas hati aku dapat tulis hehe.

Berbalik pasal ucapan raya tadi (sebab aku malas nak update blog lagi dah dalam masa terdekat ni) ok aku nak ucap selamat hari raya (Happy Deepavali juga la ney) kepada:

1. Isteri, anak-anak (baru dua daa), keluarga dan juga semua sanak saudara aku
2. Semua warga PFS.
3. Semua warga Islam di Perth dan juga semua pengunjung Makan2 Café.
4. Semua pengunjung SKRIN serta pembaca budiman, semua film buff, film critics, film reviewer, serta movie freak macam aku (guys you know who you are).



Dengan ucapan (seperti tahun2 sudah) iaitu "Berhati-Hati Di Jalan Raya". Nasihat sama tak pernah berubah dan tak pernah 'horror'. Memetik kata nasihat orang atasan (yang stereotaip dan tak pernah pun mengurangkan statistik kemalangan) :

1. Elakkan memotong secara berbahaya
(Nasihat aku dalam versi 'horror' : Jika anda memotong secara berbahaya maka anda berisiko untuk mengalami perlanggaran muka dengan muka yang dahsyat. Kemungkinan anda akan tersepit di bawah enjin kenderaan hadapan yang menyaksikan leher anda patah, kepala anda akan terburai isi otak serta tempurung kepala anda bersepahan di atas jalan. Yang lebih menyedihkan apabila sebahagian tubuh anda masih lagi berada di dalam kereta anda.

2. Berehat sebelum memandu
(aku kata : Jika anda kurang rehat dan seterusnya anda memandu maka anda jangan harap anda mati tertidur dengan aman kerana anda berisiko untuk mati di dalam sungai kelemasan atau boleh rujuk no. 1.

3. Elakkan kecuaian
(aku kata : jangan cuai kerana sekiranya anda cuai sewaktu memandu maka kereta anda akan berpotensi akan berlanggar menyebabkan anda akan tercampak ke luar lalu digilis lori balak yang juga ingin pulang beraya. Anda berisiko untuk diheret sejauh 100 ke 500 meter bergantung kepada kelajuan lori tersebut (yang kebiasaannya pemandunya sedang eksaited nak beraya atau berdeepavali tanpa menyedari apa2 berlaku). Kematian anda boleh ditakrifkan mati katak yang mana katak pun tidak pernah mati sebegitu rupa

Amacam? Cukup horror? Hahaha


*Gambar Hiasan (dipetik dari filem The Devil's Rejects)

12 August 2005

Ulasan Filem : Land of The Dead (2005)

Land of the deadOleh Mahhass

Gaya kontemporari, lebih gore namun tetap subtle!

Petang semalam untuk pertama kalinya aku menonton wayang di perth. Aku tonton jam 4.30 petang (itupun aku keluar rumah jam 4.15 tapi sempat lagi). Harga tiket $AUD15 dollar (lebih kurang RM45 - mahal jugak tuh).

Dan untuk pertama kalinya jugak aku tonton sorang-sorang. Kau bayangkan sorang manusia pun takde dalam panggung. Aku ingatkan aku tersalah masuk panggung. Dalam hati aku kata sorang pun soranglah. Lagi best layan horror sorang-sorang - kalau aku jerit, terlompat, terpelanting sekalipun taklah segan dengan mat-mat & minah-minah saleh oz haha!

Land of the Dead memang aku tunggu gila2. Aku memang fanatik Romero. Dan untuk filem ini, aku memang dah agak - memang meleret-leret, bla-bla-bla cakap banyak, 3-4 kali aku menguap 'kemengantukan'. Tapi itulah cara atau gaya Papa Dead Romero. Kalau kau baru pertama kali tonton filem orang tua ni, kau mungkin kebosanan. Tapi aku dah kenal gaya dia. Walaupun slow (kalau kau bandingkan dengan 28 Days Later atau versi Dawn of The Dead Zack Snyder ataupun juga Resident Evil Apocalypse) tapi mesej Romero tetap berbaur politikal (Romero kutuk habis Republikan Amerika - rujuk ungkapan "we will not bow down to terrorists" oleh Dennis Hopper), racism, kapitalisme, sosio budaya dan lain-lain.

Dalam filem ini, kau takkan diterujakan dengan efek-efek kamera canggih ala2 snyder atau stunt-stunt gila ala Resident Evil ataupun adegan bomb-blasting 'cikai-cikai'. Aku cakap kau - itulah Romero. Apa yang lebih penting dalam filemnya ialah tema humanisme. Kau akan lihat bagaimana satu masa nanti manusia semakin sombong, yang kaya tindas si miskin (yang akhirnya menyaksikan sekumpulan zombie 'intelek' meratah manusia-manusia ini hidup-hidup.

Land of The Dead seakan sebuah gabungan daripada Dawn dan Day of The Dead. Aku percaya sudah lama Romero tunggu untuk gabung dua filem ni. Sejujurnya aku agak kecewa jugak sebab filem ini semacam tak cukup untuk aku. Semacam ada banyak ruang-ruang kosong. Kurang babak-babak lucu. Banyak karekter tak berkembang 'seemosi-emosinya'. Sebab kau tahu Romero memang handal menerbitkan kesan emosi pada watak-wataknya. Aku suka watak 'pemimpin' zombie tu. Di'suntik' dengan akal (oleh Romero) namun ada logiknya. Haha kau akan perasan yang sebenarnya Romero sangat sayangkan watak zombienya. Dia (Romero) tak nak kita labelkan watak-watak zombienya walaupun masih secara klasiknya slow-moving, lembab, bodoh (rujuk adegan bunga api di endingnya). Haha aku baru ingat ada satu watak zombie yang pegang pisau potong daging 'homage' filem Night of The Living Dead.

Aku rasa inilah filem Romero paling gore tahap hard-core pernah dia bikin. Banyak adegan manusia diratah hidup-hidup. Paling happening masa dalam shopping complex - apabila manusia-manusia kapitalis durjana itu diserang zombie.

Kesimpulan, seperti yang aku katakan tadi, walaupun (secara peribadinya) agak 'kurang' terutamanya dari segi dark-comedy, bagaimanapun Romero masih berjaya mencipta sebuah lagi horror masterpiece zombie untuk dekad ini.


Antara adegan paling 'klasik' ala Lucio Fulci - Zombie keluar dari laut! Yesssza!


30 July 2005

Sibuk & penat

(Ohhh tidaaakkkk!) SKRIN aku dah berdebu... Lelabah dah bersarang. Aku penat... aku sakit...aku sibuk...lagi-lagi aku dah lama tak tonton filem. Kalau aku pegang mouse pun, aku klik kat link blog kawan-kawan - baca blog Fadz dan jugak baca apa cerita AF3 (err Mawi?? hahaha) kat SM. Realiti TV Australia tengah hangat : Big Brother. Realiti TV macam ni takkan wujud kat Malaysia (kalau ada sekalipun aku bangkang). Format asal (biasalah macam AF, Idol) dari UK. Aku malas nak terang apa ke bendanya, kau bacalah sendiri kat sini. Aku tak ikut pun. Aku kat sini layan karaoke jer...

08 June 2005

Realiti TV : Revolusi TV

Aku dah lama tak menonton filem. Semenjak duamenjak ni aku lebih banyak tonton TV. Dari Cerekerama hinggalah ke drama TV pun aku layan. Aku bedal jer (dan aku rasa drama TV lebih menguja dari filem-filem kita kat panggung). Tapi yang paling banyak aku tonton ialah Realiti TV. Dari Explorace 2 (walaupun dah setengah jalan, pun syok layan), Amazing Race 7 (puas hati bila Uchena & Joyce menang), America’s Next Top Model (aku tak pasti musim ke berapa), Apprentice 3, Average Joe 2, Malaysia Top Host, Mentor sehinggalah ke Akademi Fantasia 3 yang tengah hangat ‘menyerang’ tatkala ni (haha tahun ni aku layan AF!).

Maka aku boleh katakan ianya (barangkali) suatu proses asimilasi hiburan yang mana secara tidak langsung telahpun membentuk sebuah pop budaya baru walaupun pada dasarnya ia merupakan suatu produk bertujuan mengaut keuntungan secara komersil. Produk ini menggunakan manusia sebagai subjek dan manusia juga adalah sasaran, matlamat mahupun objektifnya.

Agak ketara sekali perubahan atau revolusi hiburan yang melanda masakini. Kalau dulu, seseorang pelakon atau penyanyi ataupun penghibur itu dicipta mengambil masa yang agak lama. Hinggakan wujudnya ketaksuban, kefanatikan terhadap individu itu. Ironi, apabila ketaksuban manusia terhadap pelakon ataupun penyanyi kesukaan kita begitu mudah sekali pudar dengan kemunculan manusia-manusia ‘baru’ ini. Maka itulah ‘kuasa’ realiti-TV khususnya dalam bidang hiburan.

Sebenarnya, Realiti TV bukan suatu yang baru. Malah sesebuah dokumentari itu boleh sahaja dianggap sebuah Realiti TV (asalkan ianya paparan sebenar, maka siaran “Berita” termasuklah 999, Edisi Siasat (atau kini dipanggil MySiasat) itu aku boleh takrifkan sebagai Realiti TV!). Pun begitu, seperti yang aku katakan tadi, kalau ia tidak bersubjekkan manusia dan bermatlamatkan manusia, maka tidak akan terbit kuasa realisme serta humanismenya. Impak atau keprovokatifannya tidaklah sekuat mana.

Tidak aku nafikan, selagi Realiti TV itu ada mengundang kontroversi, maka lebih sukseslah program itu. Sebab kontroversi itu adalah sebahagian promosi. Lagi banyak manusia bercakap tentangnya, maka lebih besar ‘budaya’ itu disebar. Konsep kontroversi ini sebenarnya bukan benda baru. Dalam filem pun ada kontroversinya cuma intipatinya berbeza-beza.

Aku pernah terbaca pasal seorang warga jepun yang bertindak menyaman sebuah pengeluar filem seram gara-gara mengalami trauma setelah menonton sebuah filem seram (aaarrghh aku lupa tajuk filem tu, tapi yang aku tau filem tu mendapat box-office disebabkan kontroversi kes tersebut). Tapi kisah tu dah lama (80an). Filem kontroversi baru contohnya The Passion of Christ – tapi ini bukan manusia yang menkontroversikannya tetapi intipati filem itu sendiri. Maka Mel Gibson lah yang untung besar. Trivia : Sebut pasal filem ni, aku nak tergelak tengok stiker kecil pada covernya yang berbunyi "Tidak sesuai untuk tontonan Orang Islam" (walaupun sepatutnya ia berbunyi : "Tidak sesuai untuk tontonan Orang Islam yang tak Kuat Iman" ataupun "Tidak sesuai untuk tontonan Orang Islam yang nama saja Islam, tapi tak tahu atau kenal Nabi Muhammad"). Maka aku syorkan pada mereka yang lekatkan stiker tu supaya tambah satu lagi rating klasifikasi filem, dan bukan setakat 18 ke atas sahaja sebab… (sebab-sebab yang dinyatakan di atas).

Dah aku dah penat berseloroh dah… nanti aku sambung lagi.

21 May 2005

Closer (2004)

Oleh (Introducing...) : Zack

Dekat Padamu...Versi 18SX
Have you ever seen a human heart? It looks like a fist covered in blood....

To be honest, aku tonton filem ni just for the beautiful leads – Jude Law dan Clive Owen. THAT is one reason to love this movie. Haha, aku tau, most guys tengok citer ni sebab nak tengok Natalie Portman topless/naked! , but to tell you the truth, tak nampak ‘apa-apa yang menarik’, so, sori yek!

Filem arahan Mike Nichols ini diadaptasi dari screenplay untuk teater hasil tulisan Patrick Marber. Ia mengisahkan Dan (lakonan mantap Jude Law), seorang penulis novel yang kurang berjaya, secara kebetulan jatuh cinta dengan Alice (Natalie Portman), yang diselamatkannya dalam satu kemalangan. Namun, apabila Dan bertemu Anna (Julia Roberts), jurugambar untuk kulit novelnya yang bertajuk The Aquarium, beliau bersungguh-sungguh memikat Anna (walaupun pada masa yang sama bercinta dengan Alice, si penari eksotik), namun Anna menolak. Demi membalas dendam, Dan menyamar sebagi Anna dalam satu chat-room, yang menemukannya secara tidak sengaja dengan Larry (Clive Owen), seorang pakar kulit yang ketagih chat-room seks. Walau bagaimana pun, Anna end-up jatuh cinta ngan Larry, tapi pada masa yang sama, menjalinkan hubungan dengan Dan secara senyap-senyap. Larry pula, bengang dgn sikap dingin Anna, mula menjalinkan hubungan ngan Alice. Waduhh… pening aku.


(Love you, love you not)

Aku tak tau sama ada filem ni akan lulus untuk tayangan di sini, memandangkan ia penuh dengan unsur-unsur seks. Satu adegan yang amat ketara ialah ketika Larry bergaduh besar dengan Anna. Aduh… benda-benda dalam kain semua keluar…

N’way, aku bagi filem ni 7.5 bintang. 10 bintang untuk Jude Law dan Clive Owen (yang menang anugerah Golden Globe untuk filem ni). Julia Roberts? Aku rasa dia patut stick ngan filem-filem rom-com macam Pretty Women, My Best Friend’s Wedding, etc.. Beliau nampak tak bermaya sebagai Anna.

http://mamaikmal.blogspot.com

17 May 2005

Pra-tonton : Land of The Dead




Pertamanya, aku tak sangka filem ni akan keluar bulan depan (24 Jun) sebab khabarnya masih dalam produksi (sehingga dikeluarkan bulan oktober nanti). Tetiba dah keluar theatrical trailer. Haha! Betul-betul si 'Papa-Dead' - George A. Romero ni bermati-matian nak bersaing masa musim panas di US (sebab musim summer la mat2 & minah2 salleh gila keluar nonton wayang). Khabarnya jugak, mulanya Land of The Dead (LOTD) hampir pasti akan dikeluarkan dalam format video sahaja (bukan sinema), sehinggalah Universal Pictures setuju untuk keluarkan. Katanya, Guillermo Del Toro (pengarah Hellboy, Cronos) pun ada menyumbangkan sedikit modal kewangan.

Filem 'Dead' terakhir Romero - Day of The Dead ialah tahun 1985. Maknanya dah genap 20 tahun 'orang tua' ni 'gian' nak buat semula filem zombie (walaupun selepas Day dia ada buat lain-lain filem seperti Monkey Shines dan The Dark Half). Lagilah bila dia tengok banyak filem-filem zombie 'berkeliaran' di sinema. Aku rasa filem yang paling buat dia 'gian' (untuk mengarah semula 'dead') ialah lepas dia tonton Shaun of The Dead. Menurut IMDB.com, orang tua ni suka giler dengan Shaun of The Dead, sampaikan dia mintak Simon Pegg berlakon dalam LOTD (mungkin 'cameo' zombie). Agaknya, Dawn of The Dead yang di remake Zack Snyder tahun lepas menambahkan lagi kegianannya!

Asalnya sebelum judul Land of The Dead diberi (secara rasmi), filem ni ada tiga atau empat judul. Judul asalnya "Dead Reckoning", tapi sebab al-musabab dah banyak orang pakai nama tu (antaranya Dead Reckoning tahun 1947), maka tak jadi. Satu lagi, "Dead City" – inipun bunyi lebih kurang dengan nama "Paura nella città dei morti viventi"... apa tu? Haha... itu terjemahan City of The Living Dead karya Lucio Fulci tahun 1980. (nota : kepada sesiapa yang jumpa filem "E tu vivrai nel terrore - L'aldilà" aka The Beyond (1981) tolong kasi pinjam sama aku!). Lagi satu judul "Twilight of The Dead" (bunyi cam Hitchcock la pulak – tak zombie la), dan akhir sekali judul "Night of The Living Dead : Dead Reckoning" (kan aku dah bilang, Romero memang suka jugak nak pakai nama Night tu...!).

Dari malam ke subuh, subuh ke siang, siang ke...? Malam la balik kan!? Maka betul la Romero nak letak judul 'Night' tu balik. Kalau senja jadi 'Dusk of The Dead' - bunyinya kelakar sangat tak? Macam genre crime pulak. Hilang interpretasi 'dark' pada judulnya.

LOTD akan dibintangi Asia Argento (anak legendari seram Itali - Dario Argento – yang jugak pernah bertindak sebagai penolong penerbit Dawn of The Dead 1978). Asia pernah berlakon dengan Vin Diesel dalam XXX sebagai Yelena (saja kalau korang nak tahulaa...).

Melihatkan sinopsis plotnya, aku tidak sepatutnya terus 'menghukum' filem ni, sebab barangkali lepas kau tonton, kau akan kata : "Ini macam Resident Evil!" atau "Alaaaa... (babak-babak tu) Zack Snyder dah buat dah dalam remake Dawn 2004!!" ataupun "Ini dah macam pernah aku tonton, tapi filem apa ya? '28 hari kemudian' kot!"..

Hahaha.. walaumacamanapun skeptisme kita, kita (horror/zombie fans) kena tonton dulu baru cerita. Kemungkinan besar aku akan tonton di Perth bulan depan (harap2 serentak). Kau jangan harap filem ni lepas kat Malaysia. Sebab Romero dah kata, dia nakkan segala macam aksi 'gore'nya dipertontonkan tanpa sebarang tapisan (bukan hanya dalam versi VHS/DVD).

Jadi, kalau kau nak tonton tunggu jer DVD-release (taukey 'sekolah filem' kita banyak bersepah – kau bayar jer 10 ringgit sekeping nanti – gerenti takde tapis). Kau akan lebih puas hati. Aku cakap sebab dulu kita pernah dijanjikan dengan tayangan Dawn of The Dead 2004 tahun lepas di panggung kita. Last2, habuk pun tarak. Alasannya, dah tentu terlalu ganas, tak sesuailah macam-macam lagi. Padahal aku tonton previunya di TGV KLCC sendiri tu! Apapun, aku dah serik tonton di panggung Malaysia terutamanya genre horror.

Jadi betullah kalau ada suara-suara yang berkata panggung wayang Malaysia hanya sesuai untuk budak-budak sahaja...


They're coming to get you, Barbara...!


Laman web rasmi LOTD : www.landofthedeadmovie.net
Trailer : www.apple.com/trailers/universal/landofthedead
Lain – lain : www.georgearomero.com

05 April 2005

Antara filem-filem 'twist' terbaik

Aku suka filem-filem 'twist'. Kalau nak dijelaskan, filem 'twist' bermaksud : plot asal sesebuah cerita itu akan berpusing dari sktruktur asal perjalanan ceritanya, baik di pertengahan mahupun di penamatnya. Secara lazimnya tidak berlaku dalam filem-filem biasa.

Contohnya, kau tonton Lord of The Rings, walaupun kau tahu cincin tu akan dimusnahkan akhirnya, tiba-tiba aku kata cincin tu dapat kat tangan Gollum, lalu dia jadi Sauron kedua. Maka jenuhlah fellowship dibuatnya. Tapi itu bukan twist.. itu karutan aku semata-mata.

Lazimnya, filem twist banyak dikaitkan dengan genre seram, sci-fi, jenayah, thriller, drama-drama misteri atau surreal (aku tak mau ambil kira filem-filem surreal David Lynch). Jangan pulak kau bagitau aku filem epik sejarah ada twistnya.

Maka, hari ini aku cuba senaraikan filem-filem twist yang secara peribadinya amat baik dan mengujakan bagi aku....

Tapi sebelum tu aku harus bagi amaran BAHAYA SPOILER dalam penulisan aku terlebih dahulu. Kalau nak baca jugak, dipersilakan dengan segala hormatnya. (senarai disusun secara rawak/rambang)

1. SIXTH SENSE – Protagonisnya (Bruce Willis) sebenarnya dah mati kena tikam masa bergelut dengan penceroboh masa awal-awal lagi. Saat paling menyayat hati masa babak isterinya 'melepaskan' cincin perkahwinan mereka… Salah satu babak twist paling hiba pernah dihasilkan oleh mana-mana pengkarya filem. Klise filem lain yang berkonsepkan protagonis 'mati' lain ialah seperti A Beautiful Mind dan jugak The Others.

2. BASIC – Roger Ebert kata "filem ni bukan dibikin untuk difahami". John Travolta, Samuel Jackson dan yang lain-lain tu rupa-rupanya berkomplot (konspirasi). Apa jadi pada Lt. Connie lepas tu semua tak terjawab. Jadi cerita-cerita askar tu semua tak betul. Yang mana betul kau jawab sendiri. Konsep dan idea endingnya (secara personal) bagus tapi banyak dibiarkan kosong tak terjawab. Klik sini untuk ulasan.

3. PLANET OF THE APES – Di akhir filem akan terjawab bahawa New York (Statue of liberty menyimbolkan dunia) sebenarnya dah memang musnah. Maka bumi dah jadi bumi Apes. Kalau dalam versi remake 2001, polis, wartawan muncul - diorang semua Apes. Maknanya, tamadun manusia dah pupus. Antara twist plot paling baik dan memeranjatkan bagi aku.

4. BLAIR WITCH 2 : BOOK OF SHADOWS – Sedang diorang pelik memikirkan (bagaimana dan siapa pembunuh), akhirnya rakaman video membuktikan yang dioranglah sebenarnya pembunuh (dalam keadaan tak sedar). Shocking mate!

5. SE7EN – Twist di akhir filem ni antara yang paling menyayat hati (aku tahan airmata aku dari menangis). Mangsa ke 7 pembunuh bersiri itu adalah isteri Brad sendiri (Gwyneth). Ekspresi wajah Brad masa dia meraung sungguh menghibakan.

6. REINDEER GAMES – Ben Affleck bengang bila dapat tahu Charlize Theron sebenarnya teman wanita Gary Sinise. (Dia sungguh bangang 'jual' Theron kat Affleck semata-mata nak rompak kasino).

7. IDENTITY – Semua kes pembunuhan penuh 'surreal' tu adalah imaginasi (mainan minda) pembunuh semata-mata. Segala peristiwa 'kebetulan' kat Motel tu semuanya tak wujud. Ada jugak yang berbalahan kata budak kecik tulah yang membunuh! Haha what a twist!

8. ORIGINAL SIN – Yang ni antara plot favourite aku. Mula-mula kita ingat Julia (Jolie) tu isteri betul Luis (Banderas) tapi kita silap. Lepas tu muncul Billy yang kononnya detektif nak tolong Luis, tapi rupa-rupanya kekasih Julia. Endingnya pun twisted gila. Sebab kita ingat Julia dah nak mati kena gantung, tiba-tiba muncul bersama Luis (yang sepatutnya dah mati kena tembak) berjudi di Morocco. Haha satu twist happy ending!

9. SAW – Satu lagi plot twist paling cemerlang 'menipu' kita. Tercengang aku menonton cara/gaya filem ini disudahi. Judulnya yang membawa TIGA maksud sebenarnya iaitu Saw = Gergaji, Saw = Tengok/lihat dan juga JIG-Saw. Jukstaposisi ketiga-tiga maksud (elemen) ini sungguh 'kena' sekali. Ada yang memberitahu aku yang James Wan, sutradara filem ini adalah anak kelahiran Sabah yang sudah dapat kerakyatan Australia. Kalau betul, ini salah satu cult horror masterpiece Malaysia! Oppss aku hampir terlupa.. di bahagian penamatnya menyaksikan 'mayat' itulah pembunuh yang sebenarnya (yang terbaring bersama diorang berdua). Mesejnya simple - dia nak kita hargai nyawa/kesihatan yang diKurniakan.

10. SEPET – Hahaha kau sedar tak yang endingnya tu pun boleh dianggap twist. Interpretasi suara Jason tu menimbulkan berbagai persepsi. Mungkinkah ia sekadar imaginasi orked? Atau Jason memang masih hidup? Maka aku anggap ianya antara 'twisted-ending' yang baik khususnya bagi filem kita - filem Malaysia. Klik sini untuk ulasan.

nota kaki: Jadi kalian ada filem twist favourite kalian sendiri? Jomlah kita kongsi sama-sama!

Ulasan Filem : Anatomy (2001)

anatomyOleh Mahhass

Eksperimentasi Terlampau

Ini lagi satu filem berjudul Anatomy - filem yang bersubjekkan tubuh manusia yang aku tonton baru-baru ni. Filem seram kontemporari (German arahan Stefan Ruzowitzky) ini memberi homage terhadap filem Coma (arahan Micheal Crichton 1978), namun agak baik berbanding filem Extreme Measures (1996) dari segi grafik gore, gaya seram, klaustrofobik serta cemasnya.

Bayangkan tatkala kau sedar dari lena, kau dapati isi perut kau dah terburai. Jari-jemari kau dah tinggal tulang dan yang lebih ngeri – kau sedar dan nampak apa yang berlaku ketika itu. Satu persatu organ-organ kau dieksperimen dan diperlakukan sesuka hati mereka. Akhirnya kau dibiarkan sampai reput.

Babak-babak (horror) yang memikat :

1. Sewaktu Paula dipermainkan di kamar mayat (mayat bergerak sendiri) - walaupun kelakar tapi terloncat aku dibuatnya!
2. Sewaktu salah seorang mangsa sedar dan melihat jari-jarinya tinggal rangka.
3. Dan sudah pastinya opening credit... hahaha

Filem ini bermula baik, (cuma meleret sikit) tapi kesudahannya meminjam terus dari style tipikal slasher konvensional Hollywood. Jadi, walaupun kau banyak disajikan dengan imej-imej ganas dan getir, dan oleh sebab ketipikalan yang aku sebut tadi, kau akan lupa lepas kau tontonnya.


Manusia di'post-mortem' secara realiti

02 April 2005

Ulasan Filem : Anatomy of Hell (2004)

Oleh Mahhass

Punyalah lama aku tak menulis ulasan filem. Dah masuk 5 bulan aku kira. Memang aku dah sampai tahap malas. Tapi lepas tonton filem ni, semacam memanggil-manggil untuk aku tulis jugak... isk. (Aduh mak malasnya lah hai..)

Sebenarnya aku perasan filem ni masa aku dekat Perth lagi (aku jumpa dalam Empire Magazine - katanya majalah filem no.1 Aussie). Aku ternampak nama pengarahnya, Catherine Breillat, yang (hampir kesemua) filem-filemnya bertemakan seksual provokatif. Filemnya yang aku tonton sebelum ni ialah Romance dan Sex is Comedy. Yang lain-lain aku belum tonton lagi. Tapi kalau nak ikutkan, Anatomy of Hell bagi aku, filem Catherine Breillat yang paling 'berjaya' setakat ini.

Aku tak jumpa filem ni kat Perth. Tak sangka pulak aku jumpa DVD ni kat KL... (aah cunn nyerr) haha.

Filem ni sebenarnya seram (erotic horror ala David Lynch dan jugak Cronenberg) itupun kalau kau 'jumpa' dan tontonnya dari satu sudut lain. Malah kau barangkali boleh menangis juga. Sebab itu aku kata filem Catherine yang ini lebih memikat dari yang sebelumnya (disamping lebih voyeuristik, embarrassing, lucah atau apa saja kau nak labelkannya). Cuma kau kena banyak sabar akan dialog berbunga-bunga falsafahnya.

Kalau kau nak tahu, protagonisnya ialah Italian porn-star veteran, Rocco Sifreddi (mamat ni ada muncul jugak 1-2 scene dalam Romance). Filem ini amat menghampiri rating X (adult), tapi aku tak nampak atau boleh kategorikannya sebagai X (walaupun sesetengah adegannya ‘memeranjatkan’). Lebih tepat kalau aku letaknya sebagai filem 'porno berfalsafah'. Macam Café Flesh (walaupun aku tak tonton yang ni lagi tapi aku pernah baca pasalnya).

Kalau kita terjemahkan anatomy, ia bermaksud pengkajian struktur badan/organ manusia. Maka filem ini (bukan setakat fizikal) lebih bersifat pengkajian seksual, eksplorasi nafsu, sifat-sifat 'tersembunyi' yang lazimnya sentiasa menjadi 'rahsia' seorang wanita, yang dibongkar dengan begitu berani sekali melalui ketelanjangan fizikal.

Macam filem-filem sebelumnya, walaupun imejan yang 'mengganggu' ditonjolkan, namun Breillat semacam bencikan keganasan seksual. Kau jangan harap akan adegan hardcore (walaupun masa kredit awal dah diberitahu pasal stand-in actor). Ketelanjangan, rangsangan nafsu erotik, homophobic, kesakitan dan kesedihan itu dijukstaposisi agak menarik. Barangkali itu yang Breillat mahukan – dia nak kaum adam lebih memahami serta menghargai kaum hawa dari segala sudut (mungkin hati, jiwa, nafsu dan perasaan), bukan sekadar fizikal.

Menontonnya barangkali membuatkan kita (kaum lelaki khususnya) lebih sedar dan lebih 'celik' wanita lagi.

29 March 2005

Dah masuk dua dah...

Tanggal 25hb Mac 2005 (jumaat), alhamdulillah... famili aku dah berempat (dan aku masih lagi jejaka tunggal dalam famili aku). Ketiga-tiga berkongsi seorang jejaka... Tugas berat buat aku nih. Apapun aku harus menadah tangan tanda syukur ke hadrat Allah SWT, semuanya elok, semuanya selamat. Ketiga-tiganya sihat alhamdulillah syukur.

08 March 2005

Aku Mau Pulang

Dah lama aku tak menulis. Rasa dah malas nak menulis pun ada (kalau aku menulispun, aku dah malas nak perah2 otak susun ayat2 formalistikal). Aku nak bahasakan diri 'aku'. Tapi aku masih aktif menonton filem. Filem oskar tahun ni? Ahhh... takde satu pun aku tonton. Tu yang buat aku tak semangat tu (samada nak tahu nominasi ataupun sapa menang). Yang aku tahu Million Dollar Baby menang. Lantakla. Yang aku tahu, aku nak balik dah. Mungkin kalau kat Malaysia aku jadi rajin menulis semula.

(Terima kasih buat saudara WALIDS yang sudi menghantarkan karya2 ulasan filem ke SKRIN selama aku tak menulis).

- mahhass

04 February 2005

Ulasan Filem : Elektra (2005)

ElektraOleh Walids

Khabar tak seindah rupa. Mungkin tema filem ini "Look can kill" sesuai untuk nasib filem ini sendiri. Ianya mungkin membunuh nasib filem ini sendiri.

Mungkin hanya dengan menampilkan watak heroin yang mempunyai sifat pembunuh yang kejam tidak cukup kuat untuk membawa sepenuhnya plot filem ini. Rob Bowman (yang pernah mengarahkan filem Reign of Fire dan siri tv The X-Files) tidak berjaya mengetengahkan cerita yang menarik untuk tontonan umum. Cuma dengan beberapa aksi dari penjahat yang ditonjolkan dengan tatoo penuh dibadan tetapi mati bila hanya dengan satu langkah dari heroin. Di mana letak ketangkasan dan kecekapan penjahat utama filem ini?

Mungkin Bowman perlu duduk lagi bersama Mark Steven Johnson dan Frank Miller yang juga merupakan pencipta watak Elektra sendiri untuk mendapatkan cerita yang benar - benar dapat mengetengahkan Elektra tanpa menggunakan semata - mata populariti pemegang watak utamanya. Di dalam filem ini, kita dapat tahu apa yang terjadi kepada Elektra Natchios (Jennifer Garner) setelah dia dibunuh oleh Bullseye sewaktu asyik bertarung dengan Daredevil.

ElektraElektra merupakan seorang pembunuh upahan nombor satu dan ditakuti oleh semua yang bakal dibunuh olehnya. Ini kerana, walau dengan menggunakan khidmat 'bodyguard' termahal sekalipun, Elektra pasti akan berjaya membunuh [riak sungguh Elektra]. Setelah dihidupkan semula apabila mati di tangan Bullseye, Elektra dihidupkan kembali dengan menggunakan gaya teknik mempertahankan diri dari Jepun yang hanya ada gurunya iaitu Stick (Terence Stamp).

Setelah melalui proses tersebut, Elektra mendapat kuasa untuk melihat masa depan, yang menjadi salah satu kebolehan yang membuatkan dia berjaya di dalam kerjayanya sebagai seorang pembunuh upahan. Namun, Elektra gagal dalam tugasnya yang terakhir. Dia gagal membunuh pasangan ayah dan anak perempuannya. Mark Miller (Goran Visnjic) dan Abby Miller (Kirsten Prout) merupakan tugas Elektra. Namun, sebelum sempat mendapatkan fail tugasnya, Elektra telah mengenali keluarga kecil ini.

Dan setelah Elektra menolak untuk meneruskan misi tersebut, Elektra bertindak menyelamatkan keluarga ini dari dibunuh oleh pembunuh lain. Pembunuh dari sebuah kumpulan jahat ingin menangkap anak perempuan Mark. Mereka percaya bahawa Abby merupakan The Treasure.

ElektraElektra akhirnya membawa keluarga ini kepada Stick dan setelah itu baru Elektra tahu bahawa Abby mempunyai kelebihan yang dulu dipunyai oleh dirinya sendiri. Kelebihan dari segi mempertahankan diri. Bakat. Bakat secara semulajadi.
Kirigi (Will Yun Lee), yang mengetuai kumpulan pembunuh teratas di dalam kumpulan jahat tersebut meneruskan usaha untuk menangkap Abby. Satu demi satu ahli kumpulan tersebut ditumpaskan oleh Elektra. Dan akhirnya, Kirigi mati di tangan Elektra dan Abby diselamatkan. Mudah bukan plot ceritanya.

Bagi saya, secara personal ada filem yang lebih mudah plot ceritanya tetapi menarik untuk ditonton. Tetapi bukan filem ini.

Rating walids : 6.5/10

29 January 2005

Ulasan Filem : The Aviator (2004)

AviatorOleh Walids

Gah. Sebuah filem yang cukup gah. Apatah lagi filem ini merupakan arahan pengarah hebat Martin Scorsese. Gandingan terbaru Di Carpio dan Scorsese selepas filem Gangs of New York, bernilai US$100 juta untuk filem yang mengisahkan riwayat hidup pengarah dan pelopor penerbangan, Howard Hughes.

The Aviator merupakan sebuah filem mengisahkan Hollywood pada tahun 1930an. Dari kacamata Scorsese, Howard Hughes ialah seorang pemuda yang meminati bidang penerbangan, seorang tycoon dalam bidang penerbangan dan seorang yang disegani di dalam bidang perfileman yang mana beliau pernah mempunyai hubungan dengan Katherine Hepburn (Cate Blanchett) dan Ava Gardner (Kate Beckinsale). Beliau juga pernah mengarahkan filem pada tahun 1930an seperti Hell's Angels yang dibintangi oleh Jean Harlow (Gwen Stefani) dan Scarface. Filem ini juga menampilkan Jude Law sebagai Errol Flynn.

Howard Hughes (Leonardo Di Carpio) merupakan seorang ikon yang terkenal di Amerika Syarikat yang juga merupakan seorang lelaki yang cukup memerlukan privacy untuk dirinya sendiri. Howard Hughes merupakan seorang pelopor. Beliau merupakan kuasa disebalik bidang perfileman Hollywood, di dalam bidang penerbangan dan juga hampir kesemua bidang yang diceburinya.

Kisah di dalam The Aviator bermula sewaktu Hughes memulakan pengambaran Hell's Angels. Kisah bagaimana seorang anak muda ingin merealisasikan ideanya di dalam bidang perfileman. Menghasilkan sebuah filem yang pada Hughes, sebuah filem yang akan menjadi titik tolak di dalam sejarah perfileman Hollywood. Untung Hughes dilahirkan di dalam sebuah keluarga yang berada. Harta dan peninggalan keluarganya digunakan untuk menaja semua modal perfilemannya.

AviatorPenerbitan Hell's Angels sahaja sudah menelan modal sebanyak US$4 juta. Dan Hughes diperlekehkan oleh kebanyakan penerbit – penerbit senior Hollywood. Namun, bagi rakan – rakan yang percaya dengan idea Hughes, semuanya dilakukan untuk memastikan impiannya menjadi kenyataan.

Tidak banyak yang boleh diperkatakan mengenai jalan cerita The Aviator ini, selain kisah hidup Hughes, merangkumi kisah cinta beliau dengan Katherine Hepburn, naik dan turun beliau dalam bidang penerbangan, insiden kemalangan Hughes apabila membuat penerbangan percubaan bagi kapal terbang pengintip yang direkanya serta apabila Hughes di bicarakan oleh kerana dikatakan menipu cukai walaupun isu sebenarnya ialah untuk mempelopori ruang udara bagi perjalanan penerbangan Pan Am.

Juan Trippe (Alec Baldwin) dibantu Senator Ralph Owen Brewster (Alan Alda) telah menjalankan penyiasatan ke atas Hughes untuk menjatuhkan syarikat TWA milik Hughes. Juan tidak mahu Hughes menjalankan penerbangan antarabangsa dan ingin memonopoli semuanya.

Scorsese bijak dalam mengarah The Aviator (setelah filem Goodfellas) dengan teknik warna yang berevolusi dari two - tone Technicolor kepada, three – tone kepada warna moden. Cukup mengagumkan. Lakonan para pelakon yang cukup hebat. Begitu menghayati watak – watak yang dibawa terutamanya watak Katherine Hepburn dan Howard Hughes. The Aviator merupakan sebuah filem yang memaparkan kisah gigih seorang anak muda mengejar impian. Berpegang pada impian walau apa jua terjadi. Walau terpaksa mengorbankan harta peninggalan yang mungkin mengakibatkan muflis pada dirinya namun, dengan semangat dan azam yang kuat semuanya berjaya dilalui dengan jaya.