18 December 2010

Dark Star (1974) - Lebih Ke Arah Dorky Star, Namun...

Oleh Nazim Masnawi

Dark Star secara teknikalnya adalah filem sulung John Carpenter, namun dia jarang-jarang mengaku sebab malu. Aku boleh faham dari mana datang gusarnya. Tapi mengenangkan asal Dark Star hanyalah sebuah filem student*, ia cukup hebat. Biarpun sumber kemaluan utama Carpenter terhadap filem ini adalah kesan khasnya yang tersangatlah Power Point, itulah yang membuatkannya tersangat charming tu. Bintang utama filem ini walau bagaimanapun adalah skripnya yang dihasilkan oleh Carpenter dan Dan O' Bannon. Tidak syak lagi sebuah satira kepada filem seperti 2001: A Space Odyssey (1968), ia juga dipenuhi dengan idea yang jelas berambisi (sesetengahnya dikitar semula oleh O' Bannon dalam menghasilkan skrip Alien (1979)). Salah satu yang cukup ikonik bagi aku adalah imej bekas kapten kita. Disebabkan kemalangan yang tidak dapat dielakkan, dia tidak lagi mengemudi malah beku terperangkap di satu sisi kapal tersebut. Pun begitu, dia masih dapat berkomunikasi dengan bekas anak kapalnya dengan penuh seram nak mampus - itulah dia dekat poster tu.

Sorotan utama filem ini - tak pun paling selalu dirujuk setiap kali nama filem ini disebut orang - adalah sekuens panjang lebar yang melibatkan usaha Sarjan Pinback (lakonan O'Bannon sendiri) menghentikan amukan, kegilaan dan keganasan seekor makhluk asing ni yang disimpan sebagai spesimen di kapal tersebut. Makhluk asing tersebut aku kira adalah di antara efek khas paling jahanam yang pernah disebut sejarah. Aku percaya para pembikinnya mendapat inspirasi sewaktu bermain bola tampar dengan anak-anak pada suatu petang sebab... well, kau tengoklah sendiri:


Seperti kesemua filem suam-suam kuku 70-an yang lain, Dark Star mempunyai sedikit masalah dari segi pacing. Tapi sekuens makhluk asing itu - yang jelas merupakan saduran babak Jupiter Mission dalam 2001 - cukup mengetengahkan bakat mereka yang terlibat dari segi gagasan mahupun garapan. Walaupun rupanya macam boleh dibuat lempang, keseraman makhluk asing itu jelas terasa barang kali kerana tangan yang tersembul itu mirip Creature from the Black Lagoon (1954) punya. Dan persaingan di antara Pinback dan makhluk asing yang semacam membawa semangat Tom and Jerry itu lengkap dengan kegeniusan absurd. Ia turut menampilkan kesan khas yang cukup inovatif dari segi nak kurangkan bajet - juga kelakar nak mampus; khasnya "lorong lif" yang kasi Pinback sangkut tu. Ia hanyalah laluan mendatar yang dirakam supaya kelihatan seperti lorong yang menegak. Bila memikirkan intensiti lakonan O'Bannon dalam adegan tersebut - walhal dia setakat berpaut pada lantai - membuatkan aku kadang-kadang tergelak sendiri; lagi-lagi apabila setiap kali ternampak lantai.

Pun begitu, bahagian terbaik filem ini bagi aku adalah adegan diari video Pinback yang ditulis dengan cukup teliti dan bijak. Aku tidak mahu memberi spoiler, tetapi ia melibatkan twist yang cukup memeranjatkan - bukan sahaja membuatkan kau hendak menekan butang stop lalu tonton semula segenap filem dari awal kerana jelas klu-klunya amat kelihatan di sepanjang durasi cuma kau sahaja yang lalai melancap dan sebagainya; malah membuatkan interpretasi kau terhadap filem ini bertukar 180 darjah terus. Ditambah lagi dengan lakonan O' Bannon yang cukup nuansa lawaknya, tidak semena-mena filem yang sekadar satira sai-fai bertukar menjadi komedi eksistensial sekali gus.

Bagaimanapun, aku tak nak jual filem ni lebih-lebih. Secara asasnya, ia memang teruk. Nah, bukan Carpenter sahaja yang segan; dek sambutan yang antitesis bagi segala erti "menggalakkan," O'Bannon sendiri hampir-hampir angkat kaki dari bidang ini dan mengalami sedikit kemurungan waktu tu. Filem ini bukanlah untuk semua orang. Tetapi jika kau tidak dimanjakan sangat dengan keepikan dan skop filem Hollywood berbajet besar masa kini, aku percaya kau tidak akan kecewa. Tak pun tengok saja atas dasar suka-suka untuk melihat benih yang bakal bercambah di kebun minda O'Bannon lalu menjadi Alien kelak.

*Filem ini asalnya cuma sepanjang 45 minit dan dirakam dengan 16mm. Penerbit Jack H. Harris yang mendapat hak tayangan ke pawagam memintanya supaya dipindah ke 35mm dan bagi dua tiga ringgit lagi untuk tambah durasi sekitar 40 minit macam tu.

09 December 2010

The Entity (1982) - Amukan Hantu Punya Hantu

Oleh Nazim Masnawi

The Entity adalah di antara filem paling pelik aku pernah tonton dalam sejarah. Tidak, tidak, bukan kerana subjeknya berkenaan hantu perogol. Tapi kerana The Entity bukanlah sebuah karya exploitation, sebaliknya ia adalah sebuah filem yang berbajet sederhana besar, yang berarus utama dan tersangatlah serius tentang permasalahan hantu yang merogol. Bagi aku, itulah yang tersangat pelik tu.

Barbara Hershey berlakon sebagai ibu tunggal kepada tiga orang anak yang entah bagaimana diperkosa oleh makhluk ghaib. Serangan itu kekal berterusan sementara Hershey meminta nasihat psikiatrik. Ron Silver adalah si pakar menggelabah yang diberi tanggungjawab untuk menguruskan kes ini. Malangnya, dia tidak pernah percaya walau sekali yang janda tersebut ditebuk oleh kote dari kubur. Kehidupan Hershey mula menuju ke arah kehancuran - dia lagipun dibelasah dan dicabul oleh hantu Tiger Woods hampir setiap malam. Dek terdesak, dia lalu meminta pertolongan daripada ahli parapsikologi tempatan. Motherfuckers ini melunaskan pelan yang punyalah merepek, punya meraban, punyalah mahal nak mampus aku rasa bab penodaan hantu bukanlah bahagian yang paling tak logik tentang filem ini.

Tapi yang kekal menarik minat aku adalah keseriusannya. The Entity tidak ubah seperti The Accused (1988) tapi dengan hantu dan bukannya white trash; fokus utama filem ini seolah-olah mengenai mangsa yang berani bangkit untuk menentang. Ada semacam kualiti telefilem Hallmark di sini yang membuatkannya tersangatlah bodoh apabila memikirkan tentang subjeknya. Bagaimanapun, jika ia sekadar filem picisan exploitation - alasan untuk tayang perempuan bogel dinodai tanpa mana-mana punya mamat mengganggu pandangan - ia tidak akan menjadi sebegini, bak kata orang putih, odd and charming.

Dan filem ini berbaloi ditonton atas banyak sebab. Salah satunya adalah kesan khas apabila hantu tersebut meraba-raba tetek Barbara Hershey dan kau boleh nampak jari-jemarinya cantik melekap sana sini. Ia juga berbaloi ditonton supaya kau boleh bayangkan macam mana mereka bekerja di set setiap kali berlangsungnya penggambaran adegan-adegan rogol itu, dengan Barbara Hershey berlakon sepenuh hati sewaktu tangan ghaib dok tonyoh mukanya ke tirai bilik air dan sebagainya.

Dan oh, ia juga berbaloi ditonton kerana hantu itu bukan sahaja tidak putus-putus merogol Barbara Hershey, malah ia dilakukan di hadapan anak-anaknya. Aku tidak mahu merosakkan konklusi filem ini, tapi ahli parapsikologi itu percaya bahawa cecair helium adalah cara terbaik untuk kasi hantu tersebut mati pucuk. Serius, berhenti baca resensi ini dan tengok filemnya already!

Filem ini juga menarik kerana sudut parapsikologi yang dimainkan mengingatkan aku kepada Poltergeist (1982) yang keluar pada tahun yang sama. Suatu ketika mereka juga percaya bahawa entiti tersebut adalah hantu poltergeist. Filem ini kononnya berdasarkan kisah benar, tapi entahlah. Bukan nak kata aku tak percaya hantu, tapi filem ini ada sedikit memberi hujah bahawa penyerangnya itu adalah manifestasi psiko-fizikal benaknya; dari satu segi, kedua-dua ahli psikiatrik dan ahli parapsikologi itu ada betulnya. Memang ada benda, tapi benda itu barang kali hanya memfakap mindanya sahaja.

Tidak dilupakan, Atari juga ada menerbitkan permainan video filem ini tapi malangnya, ia tidak pernah keluar di pasaran.

29 November 2010

Winter's Bone (2010) - Sonata Musim Seram Sejuk

Oleh Nazim Masnawi

Kau mungkin tak percaya benda ni tapi aku ni kadang-kadang bodoh juga. Sedang asyik menonton Winter's Bone, aku tiba-tiba tertanya: Hei, naratif filem ini macam stail noir, kan? Dengan karakter yang tak patut menerima padah menerima padah; pelbagai insiden jadi sebelum keadilan dicapai; sekalian kegelapan semakin terasa; ilusi habis berkecai; tak ada siapa akan terlepas begitu sahaja. Hero kita yang picik dari segi zahir, sosial dan ekonomi nak tak nak terpaksa mengharapkan ketangkasan akal dan semangat semata-mata; menerima setiap ancaman, setiap sepak terajang sebagai tanda dia berada di trek yang betul.

Kemudian baharu aku sedar: Hei, ini bukan setakat macam, ini memang pun filem noir!

Sebab utama aku tidak kenal pasti dari awal adalah kerana lokasinya. Bukan lorong-lorong gelap di kota besar, sebaliknya sebuah kampung yang sangat-sangat-sangat-sangat pedalaman, yang bikin Kampung Gajah kelihatan bak bandar megalopolis. Ketamadunan yang kita boleh lihat hanyalah sebuah sekolah yang muncul dalam dua adegan, kehadiran seorang askar dalam satu adegan dan balai polis yang tak ada fungsi apa sangat pun. Penduduknya pula menyara hidup dengan mengharapkan daging binatang liar yang berkeliaran dan dadah. Tak ada TV (hei, bagus juga), radio atau pawagam; buku yang ada pun jenis kau kaler sendiri. Semua orang ambil dadah, semua orang ada senjata, semua orang berkait rapat dengan darah daging namun berjauhan dari teratak masing-masing (disempadankan lagi dengan laluan penuh lecah dan resah), dan undang-undang yang ada tidak banyak membantu jika kau ditimpa masalah.


Dari minit pertama kita tahu ini bukanlah tempat paling best di dunia, apatah lagi paling selamat. Sinematografinya banyak mencirikan perwatakan ini. Ya, komposisinya bagus; ya, suntingannya tajam; tapi aku bercakap tentang warnanya. Majoriti rupa filem ini seakan telah di-Cloroxkan, ditapis dengan rona kusam lagi dingin. Ia banyak membantu menyuntik unsur bahaya dan tidak selesa ke dalam filem ini dan efeknya - barang kali kita tidak begitu sedar sewaktu menontonnya - tidak boleh dinafikan. Benar kata Roger Ebert, ia bagaikan dunia pasca apokalips, relik sebuah tempat yang dahulunya pernah dibanggakan.

Lagi satu faktor yang membuatkan aku tidak memberkas cap noir filem ini adalah kerana protagonisnya yang tidak diungguli oleh individu yang ke-Bogart-an - kaki rokok, kaki kopi, seksis dan sebagainya. Sebaliknya, ia diterajui oleh seorang perempuan, Ree Dolly lakonan Jennifer Lawrence. Serius, aku terkejut jika Lawrence tidak menjadi bintang besar selepas ini*. Dari syot pertama, Lawrence sudah memancarkan intensiti yang boleh membuatkan patung Oscar sendiri terpancut. Filem ini memanggil Ree untuk menjadi seorang mangsa yang lemah, seorang pejuang, seorang "ibu" yang kuat, seorang anak yang gelabah, seorang musuh yang bahaya, seorang sahabat, seorang gadis yang dalam ketakutan dan seorang wanita yang boleh sahaja projek kegerunan. Dengan berusia baru 18 tahun, kompleksiti yang melampau ini lazimnya akan membawa kepada lakonan tidak konsisten. Tidak di sini. Lawrence dengan selamba mempamerkan setiap satu aspek itu dari minit ke minit. Kadang kala, dalam satu-satu masa sekali gus.


Dan faktor terakhir yang membuatkan aku tidak menyedari kenoirannya adalah objektif protagonis kita. Biasanya usaha hero filem noir ada sedikit, bak kata orang putih, self-important. Hasil penyiasatannya tidak begitu mustahak bagi mana-mana pihak, namun ia tetap dilakukan kerana dia perlu tahu. Nilai kekeluargaan pula jauh sekali ada. Ree di sini sebaliknya mempunyai dua orang adik yang perlu dijaga, dibebankan lagi dengan emaknya yang tidak lagi siuman dan ayahnya yang tunggu masa dihumban ke dalam penjara dek kerja memproses dadah. Hero noir biasanya berada dalam perjalanan untuk mengenal hidup (tak kisahlah baik atau buruk) tapi Ree sudah ada kehidupannya sendiri (tak kisahlah senang atau susah), dia cuma perlu bertungkus-lumus untuk mengekalkannya.

Gentle cakap, para pelakon yang lain pun hebat-hebat belaka. Salah seorang pelakon karakter kegemaran aku Garret Dillahunt juga tidak terkecuali, namun aku rasa dia tidak digunakan sebaiknya sebagai sherif yang lebih banyak menyusahkan Ree secara tidak langsung dari membantunya. Tabik spring kepada John Hawkes sebagai pak long Ree, Teardrop. Teardrop kadang-kadang menjadi musuh Ree paling akrab dan kadang-kadang kawannya paling ketat. Namun ketidakstabilan karakter ini - kita tertanya-tanya tentang niatnya di sepanjang cerita - membuatkan dia cukup seronok diamati. Ini adalah sebuah filem kecil, maka barisan pelakonnya pun kecillah. Tapi ini tidak menjadi masalah kerana kesemua karakter dibawa, dikembangkan dengan cukup sajak. Setiap seorang berpeluang berkacak sendiri. Bagaimanapun, tiada siapa benar-benar mengambil alih tampuk perhatian kerana ini adalah filem mengenai Ree dan Ree sahaja.


Fokus tunggal filem ini amat jelas apabila kita mengimbau kembali kisah penyiasatannya. See, konflik utama cerita ini berkisar tentang ayah Ree, Jessup Dolly yang telah menggunakan rumah familinya sebagai ikat jamin sebelum dia memboloskan diri dari mahkamah. Ini bermakna Ree perlu cari dan heret ayahnya ke hadapan hakim atau buktikan yang dia telah mati dengan secepat mungkin. Jika tidak, rumah tersebut - barang kali satu-satunya harta keluarga yang masih ada - akan dirampas. Now, terdapat klu sana sini yang diberi tentang nasib Jessup, dan satu karakter pada akhir cerita mengaku dia telah mendapat kesimpulan - bagaimanapun, dia tidak pernah berkongsi maklumat ini. Malah, filem ini seolah-olah sengaja mengelak aspek misterinya, memilih jalan untuk membiarkan audiens mencapai konklusi sendiri (tu pun kalau kau tak fucking malas sangatlah). Ree tak peduli pun apa jadi pada ayahnya, dia cuma nak tahu orang tua tu hidup ke tak. Filem ini juga bersikap begitu, hatta secara dasarnya menjadikan takdir Jessup bukanlah isu besar; dan ini sekali gus membuatkan Winter's Bone sebaik-baik noir yang ada di luar sana.

Jika terdapat sebarang kritikan tentang filem ini, ia adalah berkenaan lakon layarnya yang diadaptasi dari novel tulisan Daniel Woodrell. Secara spesifik, aku paling menyampah exposition dalam skrip di mana karakter dan naratifnya berhenti bergerak secara harfiah demi menyampaikan poin-poin tertentu kepada audiens takut mereka tak faham. Filem ini seolah-olah terlalu berhaluan kiri dalam hal ini sehingga langsung tidak ada penerangan yang disengajakan. Dari satu aspek, aku memang respek; dari aspek lain, memang sukar untuk kau tahu pertalian sesetengah watak, motivasi sesetengah tindakan dan dendam sesetengah pihak. Ini menjadikan filem ini amat mustahil untuk ditonton secara pasif. Di pawagam barang kali tidak ada masalah, tapi di rumah dengan jiran tak habis-habis drill sana sini, susah sungguh nak beri tumpuan yang didamba.

Ini bukan nak kata Winter's Bone adalah sebuah filem berat. Ya, ia amatlah gelap, namun terdapat banyak momen penuh listrik yang mengelakkan kita dari mula mengimpikan bantal peluk. Aku tidak tahulah jika ia adalah filem bertaraf Oscar seperti yang dicanang orang, namun lakonan Jennifer Lawrence sedikit sebanyak perlu diberi pengiktirafan. Kalau tidak minat filem noir, kau tonton lakonannya sahaja sudah cukup. Kalau tidak minat filem secara umum, well, kau anak haram. Tapi tidak mengapa, video di bawah pun ada.

12 November 2010

...Dalam Botol (2011) - Anu Kecil yang Sederhana Besar

Oleh Nazim Masnawi

Hidup filem kecil!

Apabila kau dengar ...Dalam Botol berkisar tentang seorang transeksual yang setelah tersekat di persimpangan pulang ke kampung lalu menemui harapan baru, kau pasti membayangkan ia penuh dengan adegan melodrama. Namun Khir Rahman, yang pertama kali mengarahkan filem - dengan skrip bersama penerbit Raja Azmi, tahu benar bahawasanya hidup adalah rentetan momen kecil, dan ia tidak memerlukan tragedi hebat atau pengalaman telan Panadol untuk membuatkan kau rebah. Ia terletak pada kemapanan beban yang dipikul itu; pada mulanya boleh sahaja kau berjalan jauh dengan beban tersebut di bahu, namun lama-kelamaan ia menjadi tidak tertanggung. Terlalu menderita.

Fokus utama filem ini adalah Bidin@Ruby, seorang transeksual yang menjadi begitu semata-mata kerana kasihnya pada Ghaus, seorang gay yang self-righteous. Ruby hidup dengan penuh tekanan*; Ghaus tidak menghargainya malah tenang berhedonis menghabiskan hartanya setiap hari (ya, dia ada alasan sendiri berbuat begitu). Kita boleh rasa keseksaan Ruby, dan kegagalannya. Dia tidak berduit, tinggal sendiri di apartmen kelam, dan hanya menunggu masa untuk gantung diri di bilik air. Kemudian, kematian seorang ahli keluarga membuatkannya pulang ke kampung - sebagai seorang jantan - dan ironinya, menemukannya dengan harapan baru dalam bentuk seorang gadis.

Sekali lagi, segalanya dipersembahkan pada skala kecil. Filem ini tidak terlepas dari klise-klise filem Melayu, namun tiada satu pun digalak bak produksi Yusof Haslam. Biarpun kadar urgensi pada klimaks cerita amat mengigit, ia kekal benar, berpijak di bumi nyata dan masuk dek akal. Dan filem ini cukup bijak dengan tidak memilih jalan mudah - Ghaus yang bangsat bertambah bangsat pada akhirnya dan tidak dijatuhkan sebarang hukuman. Dan Dina, gadis kampung tersebut, bukanlah seorang dewi atau Kara Zor-El atau seorang yang sama jahanam (namun dia mempunyai pengalaman lalu yang tersimpan, memudahkannya berhubung dengan Ruby). Semua orang dirasakan benar. Semua benda dirasakan tulus.


Dari pelbagai aspek, ini adalah satu kejayaan. Sukar aku kira menghasilkan filem yang rasa seperti membiaskan kehidupan sebenar tanpa menjadi murung, tapi Khir kadang kala mencipta situasi yang cukup halus jenakanya. Dan dia mengambil tespian hebat-hebat untuk melakonkannya. Arja Lee wajib memenangi bukan sekadar Bintang Harapan, malah Pelakon Terbaik sebagai Ruby@Bidin. Ia adalah peranan yang benar-benar dihidupkan, dan bukan berlakon cuma. Berpusar sekitar dunia realiti, Ruby dirasakan jujur; seperti karakter yang sudah pun hidup sebelum kamera berputar dan terus bernafas setelah imej terakhir diberkas. Ruby adalah seorang individu, dan nyata Arja memerah setiap inci bakat yang dimiliki ke dalam setiap adegan. Bergebang dengan saudara Adnan Abdul Rahman sesudah tayangan, jelasnya antara tugas paling sukar sewaktu pembikinan adalah melembutkan Arja yang maskulin. Semasa menonton, aku bertakat-takat versi Bidinlah yang merupakan sebuah lakonan**. Nah, jika Festival Filem Malaysia boleh menganugerahkan Lisa Surihani untuk watak yang tidak habis dalam Legenda Budak Setan (2010), tidak menjadi masalah mereka mengiktiraf Arja yang melakukan transformasi sebegini menakjubkan - langsung tiada self-preservation.

Bagaimanapun, aku kurang berkenan dengan Diana Danielle sebagai Dina, gadis kampung yang mula menkonkritkan batin Bidin. Biarpun dia memberi lakonan sensitif ke dalam watak yang sejak awal kita tahu akan berakhir dengan malang, terdapat suatu energi konon selamba pada Diana yang menjengkelkanku. Hingga kini aku tertanya-tanya mungkin suka aku pada filem ini jauh lebih tinggi jika watak itu dibawa oleh orang lain.

Para pelakon selebihnya, bagaimanapun, kekal hebat. Masing-masing menyuntik kebenaran tanpa terlalu berusaha. Normah Damanhuri banyak memainkan reaksi wajah yang bukan sahaja menggambarkan perasaan ibu Ruby pada saat-saat tertentu, malah keseluruhan hayat dan cara hidupnya sekali gus. Begitu juga Jalil Hamid dengan monolognya. Fauziah Ahmad Daud memberi gravitas yang diperlukan pada katarsis cerita. Dan Wan Raja, sebagai Ghaus, sekali lagi cukup berkarisma dan cukup menawan untuk membuat aku tidak jadi campak apa-apa ke skrin kerana kesialan wataknya.


Sinematografi Azri Izhar pula evokatif dan sering kali menjadi karakter yang satu lagi. Dia merakam adegan perkampungan di Banting (ya, betul-betul di kawasan Sosilawati dibunuh) dan keindahannya kadang kala dilebih-lebihkan namun tidaklah juga ke tahap jelik. Dia bijak mencari tekstur kusam sana sini, membezakan suasana gelap lagi klaustrofobik Kuala Lumpur***. Dan lokasi digunakan sebaik mungkin, mencerminkan atau mengkontrakan aspek-aspek jiwa Ruby yang menggelodak.

Sehari selepas tayangannya untuk para blogger, terdapat sedikit kritikan di luar sana bahawa ...Dalam Botol adalah sebuah filem yang benar-benar anti gay. Kalau mengikut konteks queer cinema, memang ada betulnya. Namun aku tidak tahu jika istilah "benar-benar" boleh digunakan. Aku kira filem ini hanya menunjukkan akibat jika kau membiarkan nyali seksual kau dieksploitasi. Ini bukan sahaja terkena pada golongan homoseksual, malah golongan heteroseksual - seperti cinta Aunty Sherry pada lelaki Mat Salleh dan Dina pada kekasihnya dahulu. Jika hendak diperdebatkan, watak yang paling terurus dan stabil di dalam filem ini adalah seorang gay iaitu Jem (Rosnan Rahman), rakan karib Ruby. Nyata ia menjelaskan golongan homoseksual juga mempunyai peluang cerah untuk kehidupan normal, cuma barang kali langkah yang diambil perlu lebih berhati-hati agar tidak mudah terpesong seperti... well, segala aspek dalam kehidupan ini.


Yang lebih menggusarkan aku sebenarnya adalah ...Dalam Botol tidak membawa ide baru tentang dunia homoseksual. Segala persoalan, segala perbahasan pernah diilham dari filem-filem terdahulu. Ini tidak menjadi masalah kerana audiens kita lebih senang dengan hidangan yang telah dipra hadam, tapi bagi mereka yang mempunyai kaca mata lebih luas - yang sudah bersimpati atau berempati dengan golongan ini - timbul tanda tanya tentang poin kewujudan filem ini. Bagaimanapun, bak kata Roger Ebert, filem bukan mengenai apa yang diceritakan tetapi bagaimana ia diceritakan. Mungkin Khir dari awal tidak mempunyai wawasan yang begitu jauh (yakni, tidak mahu mengubah tanggapan dunia), namun aku percaya dia juga tidak pernah berniat hendak memberikan resonans yang sebegini lazim dan mudah.

Apa-apa pun, ...Dalam Botol adalah sebuah filem kecil, tapi itulah yang aku suka tu. Internet selalu sangat menjadi medan yang menarik minat kita hanya pada wacana sangat hebat (seperti filem-filem P. Ramlee, Yasmin Ahmad) atau yang sangat bobrok (2 Alam); semakin hari semakin kecil ruang untuk kita berdialog tentang filem yang berada tengah-tengah, filem yang baik, filem yang menyeluruhi kau sedikit demi sedikit, filem yang bercakap dengan nuansa. ...Dalam Botol adalah salah sebuah filem sebegitu, filem yang tidak pernah cuba membuatkan mulut kau ternganga tapi berjaya membuatkan kau pulang dengan perasaan kau telah mengenali seseorang, yang kau baharu saja menghabiskan masa bersama ketika momen penting dalam hidup mereka berlangsung. Bagi aku, bak kata orang putih, that's world building.

*Aku berharap hal ini diimbangi dengan keglamoran hidup mak nyah - berpesta dan dijulang sana sini - yang membuatkan orang seperti Ruby kekal berpaut dalam dunia tersebut. Malang sekali tidak, dan ini membuatkan babak pertama filem ini hampir-hampir kasi aku mengamuk.

**Di luar konteks maksud aku. Maaflah Arja kalau aku ingat kau pondan betul. Tapi ni kira komplimen apa, kan?

***Dan syukur, buat pertama kali dalam filem Melayu tidak ditunjuk pun bayang KLCC. Mungkin Khir insaf setelah terlibat dengan Cuci (2008) dahulu.

05 October 2010

Tetamu (2010) - Aktiviti Separanormal

Oleh Nazim Masnawi

Lazimnya aku tidak gemar berkata begini, tapi Tetamu amat berbaloi ditonton. Aku kira menyatakan keberbaloian sesebuah tontonan itu adalah satu bentuk kekerekan skala kecil (seolah-olah masa emas engkau hakikatnya jauh lebih tinggi nilainya dari hasil produksi yang menelan sejumlah wang besar ini), tapi di sini ia dirasakan tepat sekali. Tetamu mempunyai premis biasa, dilaksanakan dengan sederhana, tetapi pengarah MP Roslin dan penulis Ellyna Ahmad dan Ajami Hashim tidak mempunyai sebarang delusi bahawa mereka sedang menghasilkan sebuah karya bergrada depan yang bakal ditayangkan di festival filem antara bangsa. Hatta, sebagai telefilem seram yang ditayangkan di Astro Prima tatkala malam minggu, Tetamu agak berbaloi dilayan.

Ceritanya mudah, seolah-olah ada motherfucker tiba-tiba terfikir, "Eh, apa kata kita buat Paranormal Activity (2009) versi Melayu nak?" Sepasang suami isteri bercuti di Port Dickson sebagai langkah untuk memulihkan perkahwinan mereka yang kini di ambang kemusnahan. Menginap di sebuah banglo milik seorang rakan, suasana libur mereka lantas bertukar sebaliknya apabila pasangan muda ini mula mengalami peristiwa aneh di rumah tersebut. Dan berbekalkan sebuah kamera video, si suami mula mendokumentasi peri berkenaan sekali gus merungkai rahsia di sebaliknya. Tidak seperti Paranormal Activity, telefilem ini tidak dirakam dari POV kamera video semata-mata; ia diselang-selikan dengan futej konvensional. Dan tidak seperti Paranormal Activity, telefilem ini lebih terarah kepada drama psikologi - sekurang-kurangnya pada babak ketiga - dari kisah mengenai kuasa ghaib.

Bagaimanapun, yang paling jelas perbezaannya dengan Paranormal Activity adalah telefilem ini tidak seram. Langsung. Aku kira kekurangan ini terletak pada kemahiran pengarah dan bukan para penulisnya. Di atas kertas, Tetamu sepatutnya jauh lebih menggerunkan kerana tidak seperti kisah seram lain dewasa ini**, ia menggunakan helah paling lazim dalam cerita rumah seram - bunyi pelik sana sini, lampu buka tutup, pintu tertutup sendiri - tapi perlaksanaannya amatlah gagal. Terdapat beberapa adegan mengejutkan yang langsung tidak memberi impak. Kita tahu produksi Malaysia tidak mempunyai bajet besar untuk melunaskan kesan khas hebat, maka MP seharusnya menutup kekurangan ini dengan timing dan atmosfera. Itu sahaja. Malangnya, dia gagal dalam kedua-dua faktor ini.

Faktor lain, walau bagaimanapun, harus dipuji. MP barang kali baru pertama kali menghasilkan kisah seram, tapi ini bukan arahannya yang pertama, dan tugasnya jelas dilakukan dengan baik. Satu perkara, MP faham benar akan makna pacing, dan dia tahu bagaimana hendak membina intrig dan memeliharanya hingga ke akhir cerita. Sebelum lokasinya hanya terbatas di banglo tersebut, dia tidak men-travelogue-kan Port Dickson lebih-lebih lantas membuatkan Tetamu kekal kemas dan klaustrofobik. Dan apabila penceritaannya terkongkong di tempat yang sama, dia berjaya mengekalkan geografinya seraya mempelbagaikan syot. Mungkin secuil kritikan harus dilempar apabila ia tiba di klimaks yang kekurangan tenaga dan tidak diseluruhi dengan, bak kata orang putih, a proper sense of doom; tapi aku bersyukur sekurang-kurangnya ia masih terkawal dan tidak disudahi dengan ekstravaganza aksi sana sini***.

Pun begitu, skop yang kecil juga mengehadkan kisahnya. Separuh dari keseluruhan durasi ditujukan khas buat "masalah" rumahtangga pasangan ini. Aku tidak kisah jika ia bergerak selari dengan unsur seramnya. Tapi MP mengantarakan kedua-dua elemen ini seolah-olah ia berasal dari dua telefilem berbeza. Ini kerana banyak bayangan dan nuansanya telah disunting keluar. Akibatnya, si suami Zaid, tidak likable langsung (ditambah lagi dengan lakonan Zulhuzaimi yang tidak konsisten). Dalam skrip asal, kita boleh faham dari mana datang sisi OCD dalam dirinya - untuk merakam setiap masa - tapi di sini, kerana tiada pembinaan sebaik-baiknya, dia tiada lain kelihatan seperti techie douche semata-mata. Faten si isteri (lakonan boleh tahan Hanez Suraya) yang sepatutnya menjadi si bangsat yang skeptikal terhadap benda-benda ghaib sebaliknya menjadi lebih simpatetik. Ini sayang kerana pada akhir cerita apabila segalanya tersimpul - apabila ia bertukar menjadi sebuah drama karakter tentang fitrah kejahatan, kebersalahan, ketidakyakinan dan bahaya obsesif - terasa benar seperti ada yang tidak cukup.

Namun itu bukan hal dominan kerana Tetamu hanyalah sebuah kisah minor. Kita kini hidup dalam mentaliti internet yang percaya bahawa spektrum sesebuah benda hanya terdiri dari dua: BEST dan TAK BEST. Tetamu adalah sebuah kisah yang betul-betul terletak di tengah. Secara asasnya, ia dikraf dengan baik dan objektifnya kecil sahaja. Tidak semua kisah visual perlu diceritakan dengan ambisi bak produk Hollywood, dan kadang kala yang diperlukan hanyalah cerita menarik. Untuk sesetengah orang, masa mereka yang konon berharga sangat itu seharusnya diisi dengan blockbuster hebat dan tuturan yang mengubah tanggapan mereka terhadap dunia ini setiap waktu. Tetamu jauh sekali begitu, tetapi ia adalah sebuah kisah biasa yang berjaya mencapai matlamatnya - mengisi slot waktu perdana televisyen - dan bagi aku itu sudah lebih dari memadai.

*Yang hanya reti buat cerita kena rasuk sana sini.

**Cuma coda endingnya - aku kira apabila kredit penutup terurai lebih banyak penonton jadi suspek (sebab tak faham) dari suspens.

21 July 2010

Bisikan Arwah: Episod 2 (2010): The Wrath of Khan versi Bisikan Arwah?

Oleh Nazim Masnawi

Seperti yang dijangkakan, episod kedua Bisikan Arwah jauh lebih bagus dari predesesornya. Plot dan motivasi karakter tertentu sudah mula diperinci. Jika ini adalah permainan catur, sekalian buahnya telah mengambil tempat dan para bidaknya sudah mula melakukan langkah pertama (dan ya, hanya langkah pertama). Namun yang lebih mengejutkan aku adalah betapa subtle skripnya ditulis. Jika di tangan orang lain, mudah saja cerita seram yang bersemangat melodrama ini dilebih-lebihkan sana sini.

Kisah Bisikan Arwah diteruskan dengan siri adegan flashback yang membawa kita beberapa dekad sebelum itu. Tidak boleh menerima hakikat bahawa dia telah diduakan, Khatijah (Zarina Zainuddin) berkomplot untuk mengenakan madunya Siti (Intan Azura) dengan sedaya mungkin. Ini membawa kepada pelbagai tipu muslihat, hasad dengki dan seterusnya pertumpahan darah (secara harfiahnya). Berlaku suatu peristiwa yang membuatkan kisah tersebut tidak usai di situ sahaja, dan ini jelas membuktikan bahawa bayangan wanita berselendang tersebut adalah Siti. Secara tidak langsung harapan kini terletak di tangan Amirah (Intan Azura) untuk menyelesaikan konflik berzaman ini. Dalam pada itu, suaminya Imran (Wan Raja) mula didatangi oleh roh Siti yang bukan berniat hendak mengganggu, sebaliknya bermadu kasih sebagai jelmaan Amirah.

Apa yang mungkin meresahkan penonton tentang episod kedua ini adalah struktur asasnya - ia diceritakan dari dua perspektif: Dulu dan sekarang. Kedua-duanya tidak bergerak selari - masing-masing mempunyai objektif dan pacing berbeza - dan ini sekali gus membuatkan keseluruhan cerita seolah-olah berawangan. Tapi episod ini berkenaan karakter, bukannya plot, maka yang membuatkannya kekal menyengat adalah watak-watak dan para pelakonnya. Pun begitu, dalam perjalanan tersebut, terdapat juga kejutan kecil - bagaimana kisah rumah tangga pada era dulu hakikatnya mencerminkan apa yang sedang berlaku sekarang lalu memberi kita benih kepada malapetaka yang tidak dapat dihalang apabila berlaku kelak (di episod-episod seterusnya). Sebahagian besar episod dua ini membuatkan kau rasa tak banyak benda berlaku, tapi jika dilihat dari kanta lebih luas, sebenarnya banyak cuma bukan dengan cara yang kau dambakan.

Perbandingan di antara perspektif dua era ini yang membuatkan episod dua Bisikan Arwah amat baik bagi aku. Tatkala Amirah semakin tersisih dari peluk cium suaminya, kita melihat bagaimana Khatijah semasa mudanya dulu pun melakukan kesilapan yang lebih kurang sama (cuma dengan sengaja). Dan kedua-dua hal ini melibatkan Siti secara langsung. Dengan perlahan-lahan kita melihat sejarah kembali berulang - bukanlah konsit baharu, namun ia dihasilkan dengan kerja tangan yang cukup halus. Adegan zaman dulu yang penuh dosa dan khilaf mula mempengaruhi adegan zaman sekarang tatkala kau menyedari sebuah rancangan dendam sedang terbalas sedikit demi sedikit. Terdapat beberapa ketika pada zaman sekarang yang membuatkan kau terlupa tentang signifikan adegan lalu, tapi dengan bijak sedikit kejutan dan perkembangan dilontar ke dalam konflik usang ibu-ibu bapa Amirah itu. Pengarah Javed Nizar juga membuat pilihan baik dengan tidak memasukkan terlalu banyak adegan seram obligatori pada zaman sekarang kerana dengan motivasi watak yang kian jelas, keseluruhan subplot melibatkan roh Siti cuba menawan hati Imran adalah sesuatu yang lebih mengujakan dari kemunculan budak separuh bogel - lelaki pulak tu! - di semak samun.


Namun segala naratif berselirat dan penelaahan karakter ini tidak akan berjaya jika ia tidak dilakonkan dengan baik. Intan Azura meneruskan kecemerlangannya dengan Amirah, namun yang lebih mengagumkan aku adalah pembawaannya sebagai roh Siti. Biarpun seorang tespian yang tidak pernah mencuba genre ini, Intan tahu benar selok belok persembahan yang harus dibawa. Secara ternikalnya dia memegang tiga watak berbeza (Amirah, Siti zaman dulu dan roh Siti), tapi dia berupaya mengubah setiap seorang hanya dengan mainan emosi. Ambil roh Siti sebagai contoh; Intan melakukan segalanya menerusi pandangan mata - roh Siti yang cuba menggoda Imran mempunyai sedikit kekerasan fizikal yang seratus kali ganda lebih menggerunkan dari hantu yang merangkak sana sini. Matanya yang bulat lagi tajam menyuntik rasa kegasaran dan kedinginan sesuatu yang bukan semula jadi; biarpun sewaktu membelai rambut Imran. Dan sewaktu dia sempat mengerling ke arah audiens dalam pada itu, aku hampir-hampir terloncat dari kerusi bukan sebab takut tapi kerana menyedari kuasa roh Siti menjangkaui tahap meta, yang bagi aku cukup genius untuk menambahkan lagi bahayanya di samping membuatkan kita sedar betapa masak nasib Amirah dan Khatijah besok.

Bercakap tentang Khatijah, lakonan Zarina Zainuddin juga bertambah baik. Biarpun Khatijah di usia muda tidak sedimensi mana, Zarina berjaya melahirkan kontra yang amat dengan karakternya pada usia tua; kau masih percaya mereka adalah individu sama cuma yang di zaman sekarang jiwanya jelas dirundung kesal. Mungkin kecantikan Zarina dan gambar-gambarnya semasa remaja yang tersimpan kemas di dalam laptop membuatkan aku masih mampu bertolak ansur dengan kesialan wataknya. Begitu pun, dia mempunyai stabiliti dalaman yang membuatkan aku percaya dia boleh kekal berkahwin dengan ayah Amirah, Sulaiman (Javed Nizar, ya, sutradara kita sendiri). Aku tidak mempunyai masalah dengan lakonan bidan terjun Javed (yang mengambil alih watak ini dari pilihan asal Nasir Bilal Khan), namun terkadang waktu dia seakan berada dalam cerita lain - terlalu selamba dan, ironinya, bagaikan tidak tahu di mana letaknya kamera.

Malangnya, yang paling kurang mendapat pendedahan positif kali ini adalah Wan Raja. Ini kerana subplotnya agak triki: Tatkala terkesima dibelai oleh roh Siti, dia juga semakin menjauh dari isterinya kerana salah faham yang terjadi sehingga Amirah menyangkakan dia ada perempuan lain (!). Masalah paling besar episod dua adalah di sini. Ini kerana aku terasa seolah-olah para pembikinnya percaya kita sebagai penonton tidak sebijak mana. Kesemua karakter yang berkaitan - terutamanya Imran - mengambil masa sikit punya lama untuk mencapai konklusi berkenaan kekeliruan ini. Biarpun Imran cuba menerangkan keadaan kepada Amirah berkali-kali, dia gagal dalam setiap peluang. Dia asyik diherdik atau didiamkan. Adegan ini ralat betul. Aku tidak kisah jika rentetan ini berlaku di dalam komedi screwball kerana ini sedikit sebanyak menyumbang kepada kemerepekannya. Tapi apabila ia berlaku dalam sebuah cerita seram; drama lagi, aku terasa seperti hendak membaling sesuatu di skrin TV kerana ini jelas menunjukkan betapa bodoh bahlul karakternya.

Sebab utama aku tidak berbuat demikian adalah kerana Wan Raja. Ketrampilan dan intelek yang boleh dilihat dalam pelakon ini membuatkan kita masih boleh empati dengan tindakannya. Pada penghujung episod, skripnya menyedarkan Imran sesuatu (akhirnya!) namun yang membuatkan kita mempercayai adegan ini adalah lakonan Wan Raja. Sekalian proses pemikirannya jelas terhidang di mata. Dan apabila dia menoleh ke rumah ibunya seolah-olah sedang mendalami sesuatu - mungkin memikirkan siapa yang dia dah romen malam tadi - kita sama sekali boleh merasai kegerunan yang melanda dirinya.

Rakan pengulas Fadz pernah berkata, Bisikan Arwah bukan cerita seram, tapi sebuah melodrama yang mempunyai adegan seram di dalamnya. Mungkin benar kata Fadz, namun aku juga percaya itulah poinnya. Penulis siri mini ini Ellyna Ahmad* bukannya bodoh. Dan skrip ini jarang terperangkap dalam kancah melodramatiknya (kecuali bab berlengah-lengah itu). Dengan memantau setiap wasilah karakter dengan dekat, kita juga boleh memahami setiap perspektif situasi. Kau boleh lihat punca kegilaan Khatijah yang memaksanya menyingkap kisah lalu; kau boleh lihat tragedi kehidupan Siti yang membawanya kepada keadaan sekarang; kau boleh bersimpati dengan kekacauan yang dialami Amirah berikutan sejarah keluarganya yang gelap; kau boleh faham betapa stimnya Imran apabila isterinya yang biasanya busuk masam tiba-tiba muncul semerbak harum narwastu dan berkebaya ketat. Dan Javed menemukan semua ini, bak kata orang putih, with a sense of building doom and dread. Seperti episod terdahulu, semua orang barang kali tidak begitu gemar dengan penamatnya yang dirasakan tidak cukup tergantung; tapi memperlihatkan sedutan episod tiga, kita semua tahulah bagaimana mata masing-masing akan dibuka tutup dengan bantal busuk di minggu hadapan.

Mungkin ramai tertanya-tanya kaitan episod ini dengan filem Star Trek II: The Wrath of Khan (1982) selain kedua-duanya adalah sambungan bagi sebuah karya genre. Hakikatnya sewaktu Star Trek: The Motion Picture (1979) keluar, ia menerima pelbagai maklum balas negatif dek penceritaan yang terlalu perlahan dan tidak berjiwa. Antara pengkritik yang lantang bersuara adalah Janet Maslin dari The New York Times. Bagaimanapun, tiga tahun kemudian muncul The Wrath of Khan dan ia diangkat sebagai filem yang berbaloi dengan kesarwajagatan dunia pulpi ciptaan Gene Roddenberry itu. Dan Maslin yang amat menyukai sekuel ini memulakan resensinya begini: "Well, that's more like it."

Dan terus terang cakap, itulah yang aku rasa dengan episod kedua Bisikan Arwah ini.


*Nak buat macam mana, aku memang sucker bab-bab karakter menyedari kehadiran audiens ni.

**Dan, oh, Ajami Hashim. Aku masih tidak kenal mamat tapi dengar cerita dia botak.

19 July 2010

Inception (2010) - Himpunan Benda yang "Cool" Semata-Mata

Oleh Nazim Masnawi

Aku terhutang budi dengan Christopher Nolan. Maha karyanya Memento (2000) merupakan wacana yang membuka minda aku tentang keupayaan penceritaan visual untuk, bukan setakat menghiburkan, malah memberi semacam meditasi transendental. Sebelum Memento, filem bagi aku adalah bahan pakai buang; bukan makanan ruji. Namun selepas tontonan pertama filem Nolan itu menerusi VCD haram nan gelap, aku mula menelaah tentang erti sinema itu sendiri. Aku mula membaca buku, esei, resensi dan sebagainya tentang aspek filem. Bagaimana segala elemen visual dan bunyi digabungkan untuk memindahkan kita ke dunia lain sekali gus, dan bukan setakat melayari rentetan peristiwa*. Mudah kata, kerana Memento aku menjadi peminat tegar filem; kerana Memento filem menjadi medium seni kegemaranku; dan kerana Memento aku menghobikan kerja-kerja mengaibkan orang melalui ulasan filem.

Maka dengan itu, nama Nolan sentiasa teratas, indah bercahaya bak Laila. Dia tidak perlu menghasilkan sebuah lagi maha karya untuk mendapat sokongan aku. Menghasilkan filem-filem yang cuma okey seperti Insomnia (2002) dan The Prestige (2006) sudah cukup memadai. Inception, dengan penuh tulus ikhlas aku katakan, adalah sebuah filem yang cuma okey. Tapi aku tak rasa kali ini, itu sudah cukup memadai.

Inception bagaikan anti-Memento. Ia tidak rasa seperti sebuah filem; hanyalah siri koleksi adegan yang kedengaran cool sewaktu Christopher Nolan kelentong para penerbit eksekutifnya. "Cool tak kalau kita buat bandar Paris berlipat, dan kau boleh berjalan atas bawah tepi apa semua macam klip video Lionel Richie tu?" Aku bayangkan dia bertanya. Dan jawapannya ya, memang cool. Tapi ia cuma cool seperti engkau memakai kemeja T yang cool: Momentari, kosong dan tidak bermakna. Imejnya menarik, sudah tentu, tapi ia tidak mencengkam. Dan bandar Paris yang berlipat itu? Ia tidak pernah habis pakai potensinya; seperti juga keseluruhan filem ini.

Dom Cobb (Leonardo DiCaprio) dan pasukannya (Joseph Gordon-Levitt, Tom Hardy dan kemudiannya Ellen Page serta bomoh dari Drag Me To Hell (2009)) bekerja sebagai pencuri idea dari mimpi orang. Pada suatu hari, bagaimanapun, dia didatangi oleh seorang pelanggan (Ken Watanabe) yang bukan memintanya untuk mencuri idea, sebaliknya menanam idea ke dalam minda seseorang (Cillian Murphy). Cobb bersetuju biarpun dalam diam dia sedar ia bukan sesuatu yang mudah kerana jauh di alam mimpinya (dan tugas ini memang memerlukannya pergi jauh), terdapat bayangan gemulah isterinya (Marion Cotillard) yang hanya menunggu peluang untuk menjahamkan misinya lantas menjahanamkan minda Cobb sekali.


Ya, asas cerita Inception kedengaran agak kompleks tapi sebenarnya tidak, ini adalah filem Nolan yang paling mudah dihadam kerana, seperti yang dikatakan, ia sekadar alasan untuk menghimpun adegan yang secara konsepnya cool dan menayangkannya kepada umum atas nama sinema. Nah, jika hendak dikira kebanyakan filem blockbuster musim panas begitu, tapi penghasilan yang baik diisi dengan karakter, ton dan visual menarik. Ambil filem The A-Team (2010) yang keluar pada bulan lepas sebagai contoh; ia diarah dengan ton berwarna dan aksi bergaya oleh Joe Carnahan.

Dan sebagai filem aksi**, Inception langsung tiada gaya. Terdapat beberapa momen menarik muncul di sana sini, tapi Nolan - pada kebanyakan masa - seolah-olah lumpuh. Suntingan filem ini tidak pernah sesekali berjaya menghasilkan suasana mimpi, dan visual keseluruhan alam tersebut diberkas seakan dunia realiti kita. Langsung tak mengujakan. Aku akui tidak semua filem harus mencipta alam mimpi secara totaliti seperti catan Salvador Dali, namun alam mimpi Inception langsung tidak seperti yang kita biasa lalui - yang selalunya bergeografi penuh neraka tapi masih logik dalam konteks. Hanya terkadang waktu terutamanya di babak ketiga kita dihidangkan dengan sesuatu yang mendekati erti skop. Bagaimanapun, kalau kau hendak mencari sesuatu yang lebih epik dari bandar Paris berlipat, lupakan***.

Sudah tentu, mungkin bajetnya tidaklah sebesar mana untuk memungkinkan liputan dunia Avatar (2009); mungkin imaginasi Nolan sendiri tidaklah seluas mana untuk memungkinkan estetika visual The Fountain (2006). Tapi dialog yang bagus seharusnya boleh ditulis oleh pembikin filem yang paling mentah sekalipun, dan filem ini diungguli oleh tespian hebat-hebat yang berkemampuan melontarkan kata-kata dengan baik. Tapi skrip Inception - yang merupakan hasil solo pertama Nolan sejak Following (1998) - tidak memberikan mereka apa sangat untuk bertutur (kecuali penerangan tentang hal itu dan ini yang tidak habis-habis sehingga babak ketiga). Dan ini kerana tidak ada seekor pun karakternya mempunyai sebarang definisi. Nah, watak-watak dalam filem heist begini memang pun tidak berdimensi sangat, tapi kurang-kurang mereka berpersonaliti yang jelas tiada dalam filem ini. Para karakter di sini hanya ditakrif oleh fungsi mereka - Gordon-Levitt kerjanya sekian-sekian, Hardy kerjanya sekian-sekian. Yang celakanya pada babak ketiga, fungsi setiap karakter dibuang begitu sahaja. Watak Ellen Page yang dicanang sebagai arkitek mimpi dikurangkan menjadi ahli terapi DiCaprio semata-mata (!). Gordon-Levitt dan Hardy? Kerja mereka hanya menembak mati orang yang kau tidak kenal; yang kau tidak peduli pun.

Ini merupakan satu lagi masalah Inception. Ia mempunyai alasan "unik" untuk melahirkan seteru yang terdiri dari kalangan, bak kata orang putih, faceless goons. Secara konsep ia masuk akal - mereka adalah unjuran or whatever fuck dari mimpi, jadi sebarang personaliti tidak diperlukan - tapi di skrin ia memberi kejanggalan kerana kau tidak kenal mereka. Apabila Gordon-Levitt bertarung tanpa graviti dengan mereka di koridor hotel, kau tidak dapat mendedikasi sebarang emosi. Ia tidak rasa seperti pertarungan muktamad di antara si hero dan orang jahat kerana tiada dualiti di situ, dan tiada percanggahan ideologi, dan tiada urgensi. Adegan pertarungan itu berlaku hanya kerana ia berada di klimaks filem, itu saja.

Ini sayang kerana ia sepatutnya boleh menjadi adegan aksi yang bagus. Tapi dengan aku yang tidak berkemampuan untuk peduli habis dengan pengakhirannya, dan dengan Nolan yang bagai tidak reti hendak mencipta sebarang tension, ia gagal sama sekali. Sekali lagi, secara konsep ia memang cool. Tapi perlaksanaannya jadi-tak-jadi. Dan terus terang cakap, itulah ikhtisar bagi seantero filem ini.


Tidak seperti sebahagian rakan aku yang seakan mempunyai homoerotic tension dengan DiCaprio, aku sudah lama belajar untuk bertolak ansur dengan penampilannya. Bagaimanapun, wataknya di sini tidak berisi mana. Skrip filem ini ada memberinya arc, tapi ia tidak diselit dengan personaliti. Pada permulaan cerita, kita diberitahu bahawa Cobb adalah pencuri idea terbaik di muka bumi tapi perkara itu tidak pernah dibuktikan sebab segala kecelakaan yang menimpa misi mereka berpunca dari dia sendiri. Malah, boleh dikatakan dialah punca permasalahan di babak ketiga yang membuatkan mereka terjerumus ke lembah mimpi yang lebih dalam. Suatu ketika aku tertanya-tanya kenapa Gordon-Levitt dan yang lain boleh nak bekerja dengan motherfucker ini. Pun begitu, kesialan Cobb memberi peluang kepada DiCaprio untuk berlakon stail terjerit-jerit, penuh emo dan asyik mengamuk dia yang tercipta sejak The Aviator (2004). Aku tidak kisah sangat karakteristik begitu jika Cobb adalah watak yang jujur dan benar, namun mengenangkan ini adalah filem blockbuster musim panas, dia tiada lain hanyalah arketip yang menjengkelkan.

Inception bukanlah filem yang teruk, tapi ia juga tidak sebagus mana. Terdapat adegan aksi di pergunungan salji pada akhir cerita yang memberi homaj kepada On Her Majesty's Secret Service (1969). Tapi mengenangkan ini adalah mimpi dan bukan realiti maya, aku tidak faham bagaimana watak Hardy - mereka berada di dalam mimpinya pada tahap tersebut - boleh mengangankan keadaan seperti dalam filem James Bond. Mungkin ia cuma cool untuk lihat orang menembak sambil berski. Dan apabila orang jahat habis tewas, reaksi paling hebat aku boleh bagi adalah "Oh, bahagian ini dah habis. Next!" Adegan itu okey. Nolan tidak memberi sebarang keistimewaan, juga tidak menjahanamkannya teruk-teruk. Ia cuma perlaksanaan yang amat senada. Itu kau boleh buat kalau setakat main laga-laga action figure di rumah, tapi tidak di dalam filem. Filem memerlukan ancaman, ia memerlukan karakter, ia memerlukan sesuatu yang lebih dari setakat konsep gimik memasuki mimpi orang dan curi idea apa semua. Aku tidaklah tertekan sewaktu menonton Inception, dan masa aku tidaklah dirasakan terbuang begitu saja; cuma ini bukan sebuah filem sinema, dan ia bukan sesuatu yang memaksa aku untuk berfikir dalam-dalam seperti alam mimpi itu sendiri (tidak seperti orang lain yang ditipu bulat-bulat dek "isinya").

*Kalau setakat itu, novel dan teater pun boleh.

**Dan jangan gelarkan filem ini sebagai fiksyen sains. Sia-sia aku pelangkung kepala sekor-sekor.

***Kecuali kau merasakan bangunan runtuh di tepi pantai adalah sesuatu yang menakjubkan, well, by all means.

17 July 2010

Bisikan Arwah: Episod 1 (2010) - Permulaan yang Bagus, Cuma...

Oleh Nazim Masnawi

Setiap ulasan harus dikarang berdasarkan konteks. Dan konteks bagi Bisikan Arwah (tak, tak, ia bukan berdasarkan filem Indonesia arahan Jopi Burnama itu) adalah ia dikraf oleh bakat-bakat yang baru melangkah masuk ke dalam genre drama seram televisyen: Pengarah Javed Nizar sebelum ini lazimnya mengarahkan komedi; Ellyna Ahmad* sebelum ini penulis skrip filem dan pertama kali menghasilkan siri mini televisyen secara total; Intan Azura, biarpun berpengalaman berbelas tahun dalam bidang lakonan, baru berjinak-jinak ke dalam genre sebegini; dan Wan Raja pula adalah bintang yang baru hendak menyinar (tetapi sudah sepekan dua terlibat di belakang tabir). Jadi apabila sekalian bakat hijau ini bergabung untuk projek terbaru Astro Prima ini, ekspektasi tidaklah setinggi mana. Dan ini merupakan faktor utama betapa positifnya penerimaan aku terhadap bahagian pertama siri empat episod ini**.

Bisikan Arwah bermula dengan Amirah (Intan Azura) mengalami sebuah siri mimpi aneh yang dari awal tidak kelihatan seperti mainan tidur biasa. Biarpun tidak endahkan oleh orang sekeliling termasuklah suaminya Imran (Wan Raja), garisan di antara alam mimpi dan realiti mula bercampur baur dan ini dibebankan lagi dengan kemunculan bayangan wanita berselendang dan kanak-kanak yang kelihatan seperti dari keturunan asli Skull Island. Secara langsung Amirah kini terpaksa pulang ke kampung untuk menemui ibunya (Zarina Zainuddin) yang kemerengannya kemungkinan besar mampu merungkai segala kemisterian yang membelenggu Amirah; di samping menambah lagi persoalan yang lain.

Bisikan Arwah, seperti hampir semua kisah seram di televisyen Malaysia sekarang, adalah sebuah cerita teka-teki ala J-Horror. Dan terus terang cakap, tidak ada salahnya di situ. Malah jika hendak dibandingkan dengan cerita seram yang ada di TV sekarang, Bisikan Arwah adalah yang terbaik. Ini kerana penulis skripnya tahu benar tentang selang-seli dan zigzag sesebuah teka-teki itu, dan kisah seperti ini memerlukan tangan si penaip yang teliti untuk melaksanakannya.

Bagaimanapun, kisah teka-teki juga ada padahnya kerana segenap naratif adalah sebuah trik. Banyak perkara disamarkan dan disorokkan demi pendedahan tertentu; ia bukan berkenaan rentak emosi tapi kesungguhan untuk, bak kata orang putih, pull the rug out on viewers at the end. Filem J-Horror seperti Ringu menjadi kerana ia adalah sebuah filem yang berdurasi dua jam dan bukannya siri mini 360 minit. Keseluruhan struktur Bisikan Arwah seharusnya digilap lagi dari awal. Ironinya kini sebagai sebuah cerita teka-teki ia tidak pernah benar-benar diputar-belitkan untuk mainan penonton. Sebaliknya, meskipun kisah begini lazimnya memberi klu dan makna tertentu di setiap sudut, para pembikinnya tampak tidak begitu komited untuk berbuat demikian; dan pada akhir episod ini memang terasa benar ada kekurangan dari segi intipatinya - segalanya hanyalah asas yang akan terbayar pada episod-episod seterusnya. Ya, ia memang penuh dengan adegan seram obligatori setiap beberapa minit, namun terkadang waktu ia seperti penambahan semata-mata. Adakah Bisikan Arwah jauh lebih hebat jika keseluruhan episodnya dipertonton secara maraton kelak? Mungkin, tapi tidak tahulah jika aku ingin menonton episod pertama ini sekali lagi. Terdapat elemen karakter di dalam Ringu yang membuatkan ia berbaloi ditonton berulang kali; melebihi tahap teka-tekinya, tapi Bisikan Arwah dirasakan tidak lebih dari itu. Isinya tidak sebanyak mana - dan sekali lagi, sebagai sebuah karya televisyen, tidak ada salahnya di situ.


Dan jika ada pun ia dapat dilupakan apabila para pelakonnya dibarisi oleh bakat yang bukan sebarangan. Intan Azura yang merupakan salah seorang pelakon kegemaran aku melakonkan watak Amirah dengan intensiti yang bersesuaian. Intan aku kira adalah ratu lakonan low key di Malaysia. Jika pelakon lain, mahu sahaja setiap adegan takutnya ditambah volume kepada 11 seperti speaker Nigel Tufnel. Zarina Zainuddin yang telah membuka mata aku menerusi siri Senja Permai membawa watak ibu Amirah dengan kecantikan yang diselubungi keseraman. Dan sebagai seorang yang membesar dengan penghidap paranoid schizophrenia, aku kira pembawaannya agak tepat (dan ya, orang yang aku kenal itu dengan penuh klise pernah menyikat rambut di anak tangga). Para pelakon tambahan yang lain juga tiada masalah kecuali pelakon kanak-kanak yang membawa watak bayangan budak hantu itu. Secara umumnya dia okey, namun rangsangannya kurang untuk menjadikan watak tersebut benar-benar seram dan ikonik.

Rangsangan itu, walau bagaimanapun, kita boleh lihat dengan Wan Raja. Biarpun terikat dengan watak yang tidak semegah mana, Wan Raja jelas berkacak sendiri menyeluruhi personaliti Imran dengan penuh karisma dan kehangatan*** sehingga kadang kala aku mengharapkan naratif bertukar fokus terus kepadanya. Jika Wan Raja adalah komoditi Hollywood, sudah tentu namanya dijulang oleh fanboy di forum internet untuk menjadi Batman atau James Bond seterusnya. Di sebalik raut yang murah dengan senyuman, terdapat secuil kegelapan merangkumi matanya yang membuatkan ia bukan setakat menarik buat penonton wanita, malah kepada struggling heterosexual seperti aku (dan Fadz).

Sayangnya, dia dikemudi oleh gaya arahan dan suntingan yang mengecewakan. Alfred Hitchcock pernah berkata, kita tidak perlu menjadi ahli seni untuk menghasilkan filem seram; kita hanya perlu menjadi manipulator yang hebat. Cita rasa aku amat sederhana sebenarnya - aku tidak mengharapkan Javed melakukan sesuatu yang baru. Aku tidak minta dia hadir untuk melakukan sebuah reformasi ke atas genre seram. Apa yang aku mengharapkan dia mengambil segala teknik filem seram yang terdahulu lalu menyudahkannya dengan baik. Malangnya, tiada siapa yang menonton episod pertama Bisikan Arwah akan merasakan begitu. Javed seolah-olah tidak faham bahawa kita sebagai penonton sudah tahu trik-triknya, kita tersedia sajak dengan gaya dan rentak kisah seram begini, dan Javed serta penyuntingnya gagal menggunakan kelebihan itu sebaiknya. Tidak pernah kita ditakut-takutkan dengan tempoh yang setepatnya, malah buatkan kita kekal ternganga dan bukannya disebabkan terperanjat. Sesetengah adegan seperti Amirah di ampaian agak terlalu lama dilengah-lengahkan, sementara adegan seperti Imran di meja makan terlalu gesit pula disimpulkan. Kejutan kecil dan kejutan besar tidak dibezakan. Javed dan penyuntingnya seakan tidak pernah melihat diri mereka sebagai penonton, sebaliknya melihat kita sebagai anak kecil yang perlu disuap gula-gula sahaja; tidak lebih dari itu.

Dan hal ini amat merisaukan aku. Kemungkinan besar lakonan Bisikan Arwah akan bertambah baik apabila arc watak utamanya kian jelas di episod seterusnya; dan kemungkinan besar skripnya akan bertambah elok apabila naratifnya yang berselirat mula membuahkan hasil. Tapi aku sangsi mutu arahan dan suntingan akan berubah kerana lazimnya itu adalah faktor kekal bagi sesebuah penceritaan visual. Melainkan berlaku sebuah keajaiban, aku tidak rasa akan berlaku sebarang pembaikan dari aspek ini. Bagaimanapun, aku tetap mengharapkan yang terbaik untuk episod kedua dan seterusnya kerana kali ini konteksnya sudah berbeza: Sesebuah episod siri mini itu haruslah lebih baik dari sebelumnya (kerana kau cuma ada beberapa peluang saja lagi). Dan mengenangkan aku melihat Bisikan Arwah adalah sebuah karya yang bagus, ekspektasi aku juga sudah meningkat berpuluh kali ganda.


*Dan, oh, Ajami Hashim. Entah siapa entah mamat tu.

**Ia ditayangkan di Astro Prima setiap Ahad jam 10:00 malam sepanjang bulan Julai ini.

**Ini sebagai kesinambungan ayat homoerotik Fadz yang mengatakan Wan Raja adalah seorang pelakon yang seksual dalam ulasannya.

06 July 2010

Pra Predators #2: Predator 2 (1992)

(Menjelang Khamis ini instalmen baru Predator akan mula ditayangkan di pawagam seluruh negara. Jadi untuk beberapa hari yang masih tersisa ini, aku akan mengulas kedua-dua filem pertama aksi fiksyen sains raksasa ini, disusuli dengan duologi Alien Vs. Predator serta dikonklusikan dengan resensi Predators sendiri (ya, filem baru tu!). Niat aku bukan hendak mengimbau semula memori terhadap filem-filem tersebut (baik atau buruk), tapi lebih ke arah nak beritahu siapa tak suka Predator dia anak haram.)

Kebanyakan filem sekuel tidak menjadi bukannya apa, tapi kerana idea asasnya tidaklah seluas mana untuk dikembangkan. Secara pragmatisnya, tidak ada sekuel yang sehebat filem asal, kerana itulah tidak guna untuk berdebat sama ada satu-satu sambungan itu sama bagus atau tidak. Tapi kadang kala muncul sebuah sekuel yang mensia-siakan habis setiap inci potensinya sampai aku rasa elok ia menjadi kisah teladan tentang sekuel yang tidak menjadi. Filem seperti Predator 2.

Lagi sekali aku ingin menekankan bahawa Predator adalah salah sebuah filem aksi fiksyen sains terbaik dalam sejarah. Ia adalah sebuah filem yang aku boleh tonton berulang kali. Di antara tarikannya adalah para karakternya, humor gelapnya, adegan aksinya serta ketrampilan makhluk Predator itu sendiri; namun yang paling utama adalah keyakinan arahan John McTiernan - mengumpul segala elemen tersebut dengan cukup cantik sehingga menterjemah filem genre begini kepada sesuatu yang berada dalam kelas tersendiri.

Malangnya, filem sekuel ini langsung tidak boleh dikategorikan dalam kelas mana-mana; biarpun di sekolah kanak-kanak spastik.

Predator 2 mengambil tempat di Los Angeles kira-kira sepuluh tahun selepas berlakunya filem pertama. Setiap hari ada saja berlaku kes tembak-menembak di antara pihak polis dan geng pengedar dadah. Bagaimanapun, muncul seteru baru yang tidak dikenali di tengah kota sekali gus mengacau zon selesa kedua-dua belah pihak. Dan dengan mengacau, maksud aku menyiat kulit sekor-sekor. Nasib kini terletak di tangan Danny Glover untuk menyelesaikan kes ini sebelum dia sendiri menjadi itik gantung seterusnya.

Dan seteru tersebut tiada lain sudah tentulah sang Predator kita. Nah, ceritanya lebih kurang sama dengan filem pertama bukan, jadi mesti sama gempak ya tak? Jauh sekali. Bagi aku inilah faktor utama kegagalan filem ini; seolah-olah tiada siapa peduli untuk memasukkan sedikit kreativiti ke dalam naratifnya. Sepatutnya filem ini benar-benar menyambung kisah asal tentang Dutch (Arnold Schwarzengger) dan melebarkan lagi visinya (menempatkan hero kita di angkasa lepas sebagai contoh; meneruskan homaj karya Beowulf yang sebahagiannya menjadi asas tema filem pertama, membuatkan bukan sekadar hero tetapi seluruh penduduk Los Angeles bertubuh sasa; dan sebagainya), namun Predator 2 melakukan dosa bagi sesebuah sekuel itu yang melebihi 17 dosa besar Abu Tholib Al-Makki: Memulakan segalanya dari poin A semula. Sekonyong-konyongnya tanpa sebab munasabah, kita terdampar mencari-cari identiti makhluk pembunuh itu. Ya, memang seronok merungkai persoalan ini sedikit demi sedikit dengan filem pertama, tapi itu tidak bermakna kita perlu meladeninya sekali lagi terutamanya apabila pengetahuan kita jauh ke hadapan dari si hero. Setiap plot, setiap rentak aksinya menyadur habis filem asal - hero kita bersemuka dengan Predator sendirian di babak ketiga, hero kita buka topeng Predator, hero kita dah nak kalah, hero kita akhirnya dapat melarikan diri dari sebuah letupan besar; hero kita habis dilitupi tepung gomak sewaktu diselamatkan. Keseluruhan filem ini seolah-olah beraurakan, bak kata orang putih, "been there, done that." Tapi semua ini berlaku di bandar bukan, jadi mesti ada kelainannya? Kepala otak kau! Kecuali kau ni budak terencat umur 12 tahun, tak tahulah aku macam mana kau boleh termakan gimik bahlul begitu.

Ada banyak lagi ralatnya dengan Predator 2 - arahan Stephen Hopkins yang hampir-hampir tiada imaginasi*; menjadikan pak cik Danny Glover yang sentiasa gelabah sebagai hero ganas adalah sesuatu yang Harrison Ford dalam Witness saja mungkin boleh percaya; dan tidak lupa, rupa Predator yang berbaur rasisme. Dengan membuatkan dreadlocksnya bermanik apa semua, para pembikin filem ini secara tidak langsung memaksa kita mengaitkan kebangkaian makhluk ini dengan kaum negro. Di tambah lagi dengan Predator hanyalah penyamun jalanan kali ini.

Pun begitu, sejak awal lagi memang tidak mungkin Predator 2 mampu menyaingi filem pertamanya, tapi aku kira semua itu boleh dimaafkan sekiranya kita dapat melihat daya usaha mereka di belakang tabir dalam membuatnya; biarpun sedikit. Namun sebusuk-busuk filem ini, ia tahap taska jika hendak dibanding dengan kedua-dua filem Alien Vs. Predator yang merupakan alasan terbaik untuk kita menolak sama sekali medium seni abad ke-20 ini dan menyertai Taliban ramai-ramai.


*Pun begitu, filem ini kelihatan cukup menarik. Estetika visualnya memang jelas sehingga kau boleh membayangkan kehuru-haraan, kepanasan dan tekanan suasananya. Hatta Stephen Hopkins tidak sepatutnya mengarah, sebaliknya menjadi pengarah fotografi untuk sutradara yang lebih baik.

Entri seterusnya: Ulasan aku akan bermula begini, "Alien Vs. Predator adalah produk anak haram, dan anak haram tersebut adalah Paul WS Anderson." Ambik kau!

05 July 2010

Pra Predators #1: Predator (1987)

(Menjelang Khamis ini instalmen baru Predator akan mula ditayangkan di pawagam seluruh negara. Jadi untuk beberapa hari yang masih tersisa ini, aku akan mengulas kedua-dua filem pertama aksi fiksyen sains raksasa ini, disusuli dengan duologi Alien Vs. Predator serta dikonklusikan dengan resensi Predators sendiri (ya, filem baru tu!). Niat aku bukan hendak mengimbau semula memori terhadap filem-filem tersebut (baik atau buruk), tapi lebih ke arah nak beritahu siapa tak suka Predator dia anak haram.)

"Predator adalah filem fiksyen sains kedua terbaik dalam sejarah bagi saya." - Tok "Ricky" Rimau di status Facebook pada tahun lepas

Okey, mungkin kenyataan blogger soljah kita tu terlebih sangat nyalinya, tapi aku akui bagi subgenre aksi pertualangan raksasa begini, Predator merupakan salah satu yang terhebat.

Dan apa yang membuatkannya hebat adalah air tangan pengarah John McTiernan. Biarpun filemnya yang akhir-akhir tiada lain hanya macam celaka, pada penghujung 80-an/awal 90-an dahulu, dia bagaikan nafsu serakah Ariel Peter Pan dari segi kreativiti untuk filem aksi Hollywood; tak kisahlah sama ia adalah bapak kepada bapak filem pencakar langit Die Hard, mahupun mak kepada mak filem dalam air The Hunt for Red October. McTiernan menghasilkan filem yang membuatkan karya Michael Bay, Len Wiseman dan McG saling tak tumpah macam episod Roda-Roda Kuala Lumpur.

Ini kerana kehebatan filemnya - seperti Predator sendiri - terletak pada kompleksiti perlaksanaan semata-mata; tiada lain. Asas filem Predator amatlah senang, ia hampir-hampir boleh dikategorikan bangang: Letaklah sekumpulan mamat macho kerek gila ni di dalam hutan eksotik; buatkan mereka yakin bahawa tiada siapa boleh menundukkan mereka di medan perang; dan buatkan mereka bertembung dengan seekor makhluk asing yang menjadikan segala senjata dan otot jahanam mereka sia-sia. It's a cat-and-mouse game, bak kata orang putih, dan tidak seperti rancangan Survivor, tiada wang ringgit yang menunggu mereka di hujung musim memburu ini; hanyalah nyawa sekor-sekor melayang sebelum ketibaan "the choppah." Dan kini, segalanya terletak di bahu Arnold Schwarzenegger yang habis berlumur lumpuh sampai ke telur untuk bergasak dengan makhluk tersebut di dalam siri adegan yang penuh suspens dan membentak minda.

Pengisian skripnya mengikhtisarkan erti cacamarba; aku kira semasa penggambaran yang ada di atas kertas hanyalah sinopsis tiga perenggan (setiap perenggan untuk setiap babak). Tapi percaya atau tidak, itulah yang membuatkan ia menjadi tu. Ia tak ada unsur eksistensialisme apa lancau semua untuk memberikan makna lebih mendalam; cuma cerita kejar-mengejar yang dihasilkan dengan ketelitian (seperti yang aku katakan tadi). Kesan khas yang tak seberapa digunakan untuk menambah perisa, bukan menjadi asas resepi itu sendiri (kerana itulah kau tak rasa janggal sangat). Setiap watak biarpun tidak berdimensi, amatlah menarik dan distintif (kau boleh membezakan siapa adalah siapa dalam suasana mendung itu). Intipati al-kisahnya pula cukup tipis tapi ia tidak pernah membuang masa sehingga kau terfikir ada yang kurang dan tak kena. Juga baik adalah lakonan Arnold Schwarzenegger sendiri. Buat pertama kali dalam sejarah - mungkin juga satu-satunya dalam sejarah - kita boleh lihat proses pemikiran di sebalik anak mata tespian bagak ini. Lihatlah reaksinya sewaktu melihat apa yang tinggal pada Hawkes yang baru disasah Predator; kalau itu bukan lakonan berkaliber Oscar, kawan-kawan, I don't know what is.

Tapi yang terbaik bagi aku adalah suasana hutan yang menambahkan lagi rasa bahaya dan isolasinya. Ia benar-benar terasa seperti hutan betul (dan bukan sekadar hutan simpan yang lazimnya digunakan industri filem) dengan ketebalannya, kelembapannya dan makhluk liarnya yang melingkar sana sini - terasa seperti sebuah karakter sendiri dan bukan hanya latar belakang. Skor oleh Alan Silvestri juga hebat* dan hasil kerja mekap gemulah Stan Winston memang tiada tolok bandingan; memang tak terkejutlah setiap makhluk bota yang direkanya sejak itu menyerupai wajah ikonik lubang pantat Predator.

Maaflah jika ini bukanlah sebuah resensi mendalam sebab ia tiada lain hanyalah sekadar penyataan bahawa Predator adalah filem klasik. Sedihnya, Predator tidak pernah selayaknya dikembangkan menjadi sebuah francais dengan setiap filem seterusnya semakin tidak berkualiti. Apa yang membuatkan Predator menjadi bukanlah skrip yang mantap** atau bajet sebesar Avatar, tapi teraju utama berbakat yang bukan sekadar mementingkan kuantiti. Nuansanya, seperti homaj Beowulf dan filem-filem aksi terdahulu, membuktikan McTiernan menghasilkan filem ini dengan sepenuh hati dan ingin benar menghiburkan penonton; bukan setakat mencapai sasaran kehendak orang ramai***.

Bagaimanapun, tidak seperti Tok Rimau, Predator bukanlah filem kedua sains fiksyen terbaik bagi aku. Tapi terus terang cakap, dah dekat-dekatlah tu.


*Tapi tidaklah begitu hebat di luar konteks.

**Skrip bukanlah elemen terpenting, tapi peminat filem tempatan suka mengingatkan benda itu. Jika itulah hakikatnya, bagaimana dengan Francis Ford Coppola dan Paul Greengrass yang lazimnya menemui naratif filem mereka di bilik suntingan?

***Tidak seperti usaha kebanyakan pengarah berarus utama kita yang gemar menyuap nasi semalam.

Entri seterusnya: Predator masuk bandar! Malangnya, itu sajalah yang boleh dikatakan segar tentang sekuel suam-suam kuku ini.

01 July 2010

The White Ribbon (2009): Gila Berani Aku Ulas Filem Ni!

(Ulasan ini mengandungi spoiler)

Sasterawan Nazri M. Annuar pernah menyatakan, tak kisahlah kau menghasilkan filem apa pun yang penting fungsinya adalah untuk menghiburkan. Di sini aku kira saudara Nazri tidak pernah menonton karya Michael Haneke*. The White Ribbon, seperti filem-filem Haneke yang terdahulu, menggunakan gaya pengarah itu yang membawa kita menyelami sendiri pengalaman dan pemantauan dikemukakan, dan bukannya dok suap naratif dan kesimpulan yang lazimnya didambakan. Dan aku tak rasa Haneke peduli habis sama ada kau "terhibur" atau tak dengan nukilannya; yang penting perhatian kau sentiasa diraih, seolah-olah sedang melihat kemalangan ngeri di depan mata yang kau tak dapat nak toleh.

Seperti semua filem Haneke, The White Ribbon bermula dengan biasa-biasa saja: Di sebuah kampung pedalaman Jerman beberapa bulan sebelum tercetusnya Perang Dunia Pertama, berlaku suatu siri kemalangan yang dibelenggu misteri kerana rata-rata ia bukanlah terjadi tanpa didalangi sesiapa. Setiap kejadian mempunyai rahsia tersendiri yang secara langsung membawa kita ke dalam kancah masyarakat yang dipenuhi dengan autoriti, hierarki dan keganasan. Dalam pada itu, seorang guru sekolah mula menyusup ke dalam hal ini apabila hakikatnya tidak dapat dipaling lagi.

Dan seperti semua filem Haneke, jawapannya bukanlah sesuatu yang senang-senang kau jumpa pada akhir cerita. Biarpun kisahnya dibentang dengan cukup perlahan bersama kamera yang kadang kala punyalah statik, boleh tertidur Michael Bay dibuatnya, The White Ribbon tetap bergerak seperti sebuah thriller. Tapi dengan mengekalkan naratif yang kelihatan seperti mencari sebuah jawapan, Haneke secara halus membiarkan filemnya merungkai persoalan yang lebih penting - tentang bagaimana isu yang tercetus memberi kesan kepada hidup para karakternya. Penindasan merupakan teraju utama tema The White Ribbon, dan bayangan, asal usul serta penyebaran penindasan itu yang mencicip kita sebagai audiens. Segalanya berbaloi di hujung babak ketiga apabila kita terpaksa menelan kenyataan, sekali lagi dengan penuh halus dan tanpa gah, bahawa misteri kemalangan di kampung tersebut bukanlah sesuatu yang tidak boleh diselesaikan, sebaliknya sesuatu yang tiada siapa ingin selesaikan.

Terdapat segelintir pendapat mengatakan - termasuklah Haneke sendiri - bahawa The White Ribbon berkisar tentang kelahiran ideologi keganasan, baik dalam politik mahupun agama. Tapi aku kurang bersetuju. Jika itulah tesisnya, maka kita semua pengganas. Aku kira lebih sesuai kita melihatnya sebagai kisah teladan bahawa "niat tidak menghalalkan cara." Dalam masyarakat Malaysia sendiri, kita kadang kala terlalu taksub untuk mengekang "kejahatan" sehingga habis keadilan dan kebebasan ditolak tepi. Dan aku tidak bercakap mengenai kerajaan tertentu sahaja; lihatlah bagaimana satu pihak ini bercadang untuk mengenakan denda jutaan ringgit kepada sesiapa yang berani melompat parti kelmarin. Nah, jelas bukan? Untuk melakukan "kebaikan" itu, kepentingan sesebuah pihak kini menjadi lebih utama dari kepentingan individu.

Mungkin Haneke cuba menjentik: Adakah berbaloi semua ini? Adakah berbaloi kita menolak kebebasan semata-mata untuk mengekalkan "kestabilan" itu? Mungkin ramai yang mengangguk iya, tapi lihatlah sejarah, lihatlah kesannya**. Kadang kala orang yang cuba melakukan reformasi terlalu obses melakukan reformasi itu sehingga secara tidak langsung menghidupkan semula proses penindasan tersebut.

Tapi sama ada itu yang ingin disampaikan oleh Haneke atau tidak, terpulang pada dada masing-masing untuk ditepuk; seperti juga halnya dengan persoalan utama filem ini - siapa yang menjadi dalang sekian-sekian insiden - yang boleh dicop di antara McGuffin terbaik dalam sejarah. Memang jelas Haneke agak sengaja mempersembahkan bukti bercanggah agar mustahil bagi kita menemui jawapan definitif. Malah, aku berseronok sendiri dengan merasakan "kemalangan" tersebut dilakukan oleh bukan orang lain tapi Haneke sendiri.

Hei, adakah main teka-teka ni yang saudara Nazri maksudkan dengan hiburan? Mungkin, tapi jangan lupa itu cuma sebahagian, sebahagian lagi fungsi seni adalah untuk kasi kita kacau tak boleh tidur***; dan itulah yang aku rasa setelah menonton filem ini.


*Tak juga sebenarnya, dia yang memperkenalkan aku filem Haneke The Piano Teacher (2000) beberapa tahun lalu.

**Seperti golongan intelektual di negara kita yang diwakili oleh watak si guru dalam filem ini - akhirnya mereka menjadi pasif dan mengambil keputusan untuk berlalu dari sini sekali gus merugikan diri kita sendiri.

***Bak kata novelis Yann Martel. Jelasnya lagi, kita memerlukan kedua-dua aspek tersebut kerana itulah yang menghidupkan sesuatu masyarakat itu.

27 June 2010

Aliens (1986): Aliens Vs. Alien Vs. Director's Cut Vs. Avatar

Anak buah sulung aku memang gila filem aksi (hei, pada usia lapan tahu begitu, who isn't?), jadi mengenangkan habis kesemua filem ganas di rak DVD aku sudah dilayannya, aku mengambil keputusan untuk buka juga set Alien Quadrilogy aku yang tersimpan sejak sekian lama dan kasi dia tonton Aliens. Dan mengenangkan durasi dia lepak di rumah aku tidak lama, aku terpaksa pilih versi asal; bukan director's cut punya.

Dan demi Tuhan nasib baik. Aku bukanlah peminat nombor satu director-director's cut ni, dan versi Aliens barang kali antara yang aku paling benci*. Aku tak faham buat apa mereka nak tunjuk Planet LV 426 sebelum ketibaan geng askar kita di sana, dan lagi teruk, wasilah ibu-anak di antara Ripley dan Newt dijolok - bukan setakat ke tekak, malah terus - ke lubang dubur dengan memperkenalkan konsep anak Ripley yang dah mampus. Adegan senjata sentri agak menarik, tapi aku tak rasa ia menambah apa-apa perisa kecuali memanjangkan lagi filem yang sudah tersedia panjang ini.

Apa yang menarik tentang Aliens adalah betapa lapuk ia kelihatan, dan betapa kusam rupanya. (Hakikat ini diakui sendiri oleh James Cameron di dalam komentari.) Tak tahulah dengan kau orang, tapi kalau nak dibanding dengan genre lain, genre aksi lazimnya lebih cepat dimamah usia - kesan khas api yang kelihatan menakjubkan 20 tahun lalu sekarang ni secara harfiahnya macam palat**, dan adegan tembak-menembaknya pula cuma pakai belasah - tiada dinamika, tenaga dan sebagainya. Asal ada bunyi bang-bang dah cukup. Apa yang kekal menjadi dengan Aliens pada hari ini adalah adegan-adegan suspens yang membawa kepada serangan Xenomorph; dari segi atmosfera dan tensyennya, demi Tuhan, memang TAKKAN dimamah usia. Dan adegan klasik ketika Hudson mula cuak sebab pengesannya memberitahu puak bota kita sudah berada dalam bilik yang sama memang gila babi punya berdebar.

Bagaimanapun, yang paling kacau tentang Aliens bagi aku adalah betapa tak gunanya Xenomorph dalam filem ini. Konsep "Kalau sekor dah macam lahanat, bayangkan ada banyak" memang mengujakan, tapi ini sekali gus membuatkan sekalian makhluk ini jadi bangang bahlul. Aku bayangkan dalam filem Ridley Scott yang asal, Xenomorph yang satu tu cuma bayi; itu yang membuatkan dia bahaya dan seram tu. Siapa tahu mungkin di luar sana terdapat planet Xenomorph yang penuh peradaban dan sebagainya; tak pun lagi gasar dan lagi bijak? Tapi filem Aliens membuktikan mereka sememangnya makhluk yang senaif anak kecil; sekadar semut yang saiznya terlebih besar. Darah asidnya pun tidak sehebat mana. Kalau yang asal ia boleh menembusi setiap tingkat kapal angkasa dengan *petik jari* begitu sahaja, di sini bila kena langgar dengan kereta kebal, man-man saja kenderaan itu meneruskan perjalanan. Tapi lantaklah, ini sekadar pendapat seorang mat nerd yang lebih menggemari unsur seram sejuk Alien (1979) dari aksi pertualangan yang menyeluruhi Aliens. Tapi semasa kecil, sewaktu IQ aku sama paras dengan kau orang sekarang, Aliens aku kira memang terbaiklah.

Dan terdapat beberapa elemen aku kira masih terbaik. Meskipun aku kecewa dengan Xenomorph dewasa, facehuggernya pula memang tiada tolok bandingan. Menjadikannya satu ancaman tersendiri membuatkan Aliens berjaya memperluaskan lagi mitologinya, dan bukan setakat dok ulang benda sama. Kita juga tahu dengan lebih mendalam tentang Xenomorph, tapi tidaklah lebih-lebih sangat. Dewasa ini setiap benda seolah-olah wajib diperjelaskan dengan penuh terperinci (topeng Batman diimport dari Singapura apa lancau semua entah), tapi Aliens tidak dan ini sekali gus membuatkan makhluk asing itu kekal misteri***.

Menonton Aliens buat pertama kali sejak Avatar (2009) memang mengagumkan sebab banyak gila elemen yang James Cameron sadur kaw-kaw. Tapi apa yang menjadi dalam Aliens tidak semuanya menjadi dalam Avatar. Nah, askar dalam Aliens memang stereotaip semata, tapi kurang-kurang mereka beribu kali ganda lebih menarik dari mana-mana individu dalam Avatar. Dan pertempuran power suit lebih ngam dalam Aliens sebab fizikaliti yang kita lihat di skrin. Menonton filem moden, setiap adegan aksi yang penuh CGI kelihatan seperti previu permainan video. Real things make things realer, bak kata orang putih, dan itu memang memainkan peranan yang amat besar.

Apa-apa pun, anak buah aku tetap minat cerita ini (tapi dia lagi suka Predator (1987), dan aku turut bersetuju). Semasa menyimpan semula DVD-nya ke dalam kotak, anak buah aku yang ternampak Alien 3 (1992) serta Alien Resurrection (1997) tertanya-tanya bila dia boleh tonton kedua-dua filem itu. Dan sebagai pak cik yang cool aku hanya menjawab, "No, those aren't films. Those are series of pictures, with noise."


*Ironinya versi director's cut The Abyss (1989) arahan James Cameron adalah di antara yang terbaik.

**Ya, secara harfiahnya! Nampak macam berketul-ketul dan elastik!

***Ingat, kawan-kawan, apa yang menjadikan satu-satu filem seram itu seram adalah ketidaktahuannya; bukan maklumat itu ini. Lagi sikit kau tahu lagi elok, kecuali satu filem ni.