Oleh Nazim Masnawi
Dark Star secara teknikalnya adalah filem sulung John Carpenter, namun dia jarang-jarang mengaku sebab malu. Aku boleh faham dari mana datang gusarnya. Tapi mengenangkan asal Dark Star hanyalah sebuah filem student*, ia cukup hebat. Biarpun sumber kemaluan utama Carpenter terhadap filem ini adalah kesan khasnya yang tersangatlah Power Point, itulah yang membuatkannya tersangat charming tu. Bintang utama filem ini walau bagaimanapun adalah skripnya yang dihasilkan oleh Carpenter dan Dan O' Bannon. Tidak syak lagi sebuah satira kepada filem seperti 2001: A Space Odyssey (1968), ia juga dipenuhi dengan idea yang jelas berambisi (sesetengahnya dikitar semula oleh O' Bannon dalam menghasilkan skrip Alien (1979)). Salah satu yang cukup ikonik bagi aku adalah imej bekas kapten kita. Disebabkan kemalangan yang tidak dapat dielakkan, dia tidak lagi mengemudi malah beku terperangkap di satu sisi kapal tersebut. Pun begitu, dia masih dapat berkomunikasi dengan bekas anak kapalnya dengan penuh seram nak mampus - itulah dia dekat poster tu.
Sorotan utama filem ini - tak pun paling selalu dirujuk setiap kali nama filem ini disebut orang - adalah sekuens panjang lebar yang melibatkan usaha Sarjan Pinback (lakonan O'Bannon sendiri) menghentikan amukan, kegilaan dan keganasan seekor makhluk asing ni yang disimpan sebagai spesimen di kapal tersebut. Makhluk asing tersebut aku kira adalah di antara efek khas paling jahanam yang pernah disebut sejarah. Aku percaya para pembikinnya mendapat inspirasi sewaktu bermain bola tampar dengan anak-anak pada suatu petang sebab... well, kau tengoklah sendiri:
Seperti kesemua filem suam-suam kuku 70-an yang lain, Dark Star mempunyai sedikit masalah dari segi pacing. Tapi sekuens makhluk asing itu - yang jelas merupakan saduran babak Jupiter Mission dalam 2001 - cukup mengetengahkan bakat mereka yang terlibat dari segi gagasan mahupun garapan. Walaupun rupanya macam boleh dibuat lempang, keseraman makhluk asing itu jelas terasa barang kali kerana tangan yang tersembul itu mirip Creature from the Black Lagoon (1954) punya. Dan persaingan di antara Pinback dan makhluk asing yang semacam membawa semangat Tom and Jerry itu lengkap dengan kegeniusan absurd. Ia turut menampilkan kesan khas yang cukup inovatif dari segi nak kurangkan bajet - juga kelakar nak mampus; khasnya "lorong lif" yang kasi Pinback sangkut tu. Ia hanyalah laluan mendatar yang dirakam supaya kelihatan seperti lorong yang menegak. Bila memikirkan intensiti lakonan O'Bannon dalam adegan tersebut - walhal dia setakat berpaut pada lantai - membuatkan aku kadang-kadang tergelak sendiri; lagi-lagi apabila setiap kali ternampak lantai.
Pun begitu, bahagian terbaik filem ini bagi aku adalah adegan diari video Pinback yang ditulis dengan cukup teliti dan bijak. Aku tidak mahu memberi spoiler, tetapi ia melibatkan twist yang cukup memeranjatkan - bukan sahaja membuatkan kau hendak menekan butang stop lalu tonton semula segenap filem dari awal kerana jelas klu-klunya amat kelihatan di sepanjang durasi cuma kau sahaja yang lalai melancap dan sebagainya; malah membuatkan interpretasi kau terhadap filem ini bertukar 180 darjah terus. Ditambah lagi dengan lakonan O' Bannon yang cukup nuansa lawaknya, tidak semena-mena filem yang sekadar satira sai-fai bertukar menjadi komedi eksistensial sekali gus.
Bagaimanapun, aku tak nak jual filem ni lebih-lebih. Secara asasnya, ia memang teruk. Nah, bukan Carpenter sahaja yang segan; dek sambutan yang antitesis bagi segala erti "menggalakkan," O'Bannon sendiri hampir-hampir angkat kaki dari bidang ini dan mengalami sedikit kemurungan waktu tu. Filem ini bukanlah untuk semua orang. Tetapi jika kau tidak dimanjakan sangat dengan keepikan dan skop filem Hollywood berbajet besar masa kini, aku percaya kau tidak akan kecewa. Tak pun tengok saja atas dasar suka-suka untuk melihat benih yang bakal bercambah di kebun minda O'Bannon lalu menjadi Alien kelak.
*Filem ini asalnya cuma sepanjang 45 minit dan dirakam dengan 16mm. Penerbit Jack H. Harris yang mendapat hak tayangan ke pawagam memintanya supaya dipindah ke 35mm dan bagi dua tiga ringgit lagi untuk tambah durasi sekitar 40 minit macam tu.
No comments:
Post a Comment