11 March 2011

Battle: Los Angeles (2011) - Battle: L.A, Battle: Ek Eleh

Oleh Nazim Masnawi

Bila bercakap tentang filem makhluk asing serang bumi, aku kira yang penting bukan terletak pada kesegaran ideanya - heck, bagi genre sebegini lapuk, gagasan apa lagi yang kau boleh cetuskan pun - tapi angle yang dipetik. District 9 (2009) dengan angle pendatang haramnya; War of the Worlds (2005) dengan angle Serangan 11 Septembernya; dan kini yang terbaru, Battle Los Angeles dengan angle pihak pertahanannya.

Disebabkan kita sekarang berada dalam era pasca Obama, mungkin sinisisme terhadap pihak tentera bekas kuasa besar tu dah agak kureng sikit. Hatta, sambil-sambil terhibur, aku tak kisah sangat kalau Hollywood nak tayang habis dedikasi dan keperwiraan mereka. Masalah dengan Battle, ia langsung tidak pernah berkembang lebih dari itu.

Lazimnya, aku tak kisah sangat - malah, lebih suka - apabila filem popcorn begini tidak melebih-lebihkan falsafahnya. Bagaimanapun, Battle, bak kata orang putih, is about nothing. Bukan mengikut konteks Seinfeld, tapi dari segi grand statementnya. Ia bermula apabila kota-kota besar dunia diserang oleh makhluk asing. Setelah Tokyo, Shanghai, Paris, Rio De Janeiro semua jatuh, Los Angeles pula menjadi sasaran. Dan sepasukan marin yang diketuai oleh Sarjan Nantz (Aaron Eckhart) dikerah untuk menghentikan kemaraan kuasa yang melampau hebat ini. Sudah tentu, sebaik sahaja mereka masuk ke medan perang, keadaan bertukar kelam-kabut - terputus terus hubungan mereka dengan sesiapa.

Dan ini maksud aku secara menyeluruh. Dari sini sehinggalah sebelum klimaks, geng platun ini bagaikan an island unto itself. Setiap tindakan mereka tidak membawa sebarang makna terhadap plot. Mereka hanya bergerak dari babak ke babak kerana skripnya ditulis begitu. Dan orang yang berada di luar kepompong mereka pun tidak pernah sesekali memberi impak begitu besar kepada para marin ini. Ya, ada pihak tentera lain datang memberi bantuan; ya, ada orang awam perlu dilindungi; namun segalanya sekadar Macguffin. Battle kadang kala agak bijak menyelit eksposisi melalui siaran radio dan televisyen di sana sini; buat seketika kau menyangka melaluinya ia akan menyelit sedikit satira, atau komentari sosial, atau komentari politikal (mungkin menunjukkan ahli politik tak reti nak buat apa dalam keadaan getir dan sekadar menekan pihak tentera untuk mempertahankan Los Angeles), namun sebarang ekspektasi memang ternyata sia-sia. Filem ini langsung tiada ambisi dari segi tema dan subteksnya.

Maka, nak tak nak kita tiada lain hanya dihidang dengan adegan gasaknya... lagi, dan lagi, dan lagi. Dan sekali lagi, aku tak kisah sangat jika ia digarap dengan baik. Pengarahnya, Jonathan Liebesmen membuat pilihan menarik dengan menyuntik estetik quasi-documentary ke dalam filem ini; seperti sekalian filem perang sejak Saving Private Ryan (1998)*. Natijahnya, tiada apa yang dirasakan baru di sini. Malah, setelah seketika ia menjadi repititif. Terdapat semacam satu syarat bagi filem aksi blockbuster bahawa ia perlu menaikkan barnya setiap kali keluar yang baru, namun Battle tidak pernah bercita-cita untuk berbuat demikian - ia relaks-relaks sahaja menunjukkan aksi kombat yang boleh tahan adrenalinnya, boleh tahan rancaknya, namun tersangatlah standard. Unsur kinetik itu okeylah juga, tapi sinematografinya yang berkocak memanjang membuatkan geografinya terasa macam celaka kadang-kadang. Pada suatu ketika seorang marin ni terpisah dari platunnya di kawasan perumahan, kau agak sikit tertanya kalau-kalau dia sebenarnya tersangkut di teratak yang sama. Lagi parah, adegan aksinya muncul agak independen dari plot - kau boleh tengok adegan aksinya sahaja dan berpuas hati mengenangkan setiap sekuens tercipta atas nama thrill semata-mata. Seperti permainan video - suka hatilah kau nak lompat adegan sinematiknya atau tak kerana ia tidak memberi sebarang informasi penting bagi permainan itu sendiri.

Dan seperti permainan video itu, tiada sebarang karakter di dalam filem ini yang kau ambil pusing. Mungkin cuma makhluk asing tersebut, tapi itu pun sebab... well, mereka adalah makhluk asing. Walaupun konsep bio-mekanikalnya amatlah menarik, ia tidak pernah benar-benar menjadi sumber kegerunan yang jitu. Kau terima mereka sebagai antagonis sebab mereka dah memang antagonis filem ini. Tapi aku kira karakteristik ini jauh lebih baik daripada para protagonis kita. Sarjan Nantz, si hero, seakan memang sengaja ditipiskan karakternya. Beberapa minit setelah muncul di skrin, kau sudah boleh jangka kesudahan arcnya kelak. Karakter-karakter lain juga tiada beza - dalam seragam serba kelabu itu, kau mengecam mereka hanya kerana kau kenal para pelakon tersebut. Hei, pak lawak dalam Transformers 2 tu! Hei, minah dalam Avatar tu! Hei, minah yang suami dia kena tibai dek Gisele Bundchen tu! Tidak syak lagi kebanyakan pelakon ini mempunyai darjat karismanya yang tersendiri, namun karakter mereka cuma wujud untuk datang dan pergi bila cerita ini mendambakannya.

Andai kata para karakternya berkesan, rasanya filem ini tetap tidak akan menjadi pujaan hatiku. Jadi biarpun aku tidak boleh melakukan sebarang rekomendasi bermakna, aku percaya ia masih wajar diladeni oleh peminat-peminat ketat genre ini. Atau kau boleh saja menonton semula Independence Day (1996), yang bagi aku pukul keliling filem ni.

*Ya, secara tepatnya, ia lebih ke arah filem perang. Kehadiran makhluk asing hanyalah sekadar gimik. Filem ini boleh sahaja mencampak para marin kita ke Iraq sekitar pertengahan dekad lalu dan mendapat hasil yang lebih kurang sama.

2 comments:

Dr. Bentara said...

bro... lama tak update?

Anonymous said...

Video Lawak Bila Ultraman Tak Cukup Kalsium...
http://tinyurl.com/nomilksmallfryultramanzero