Oleh Nazim Masnawi
Demam Halloween bulan ini membuatkan aku menonton semula Frankenstein (1931), Dracula (1931) dan The Wolf Man (1941). Kemudian, buat pertama kali aku menonton The Bride of Frankenstein (1935) yang dan-dan tu memberi aku inspirasi untuk menamakan kucing ayah aku yang baru lahir, Elsa. Dan dua tiga hari ini, entah mengapa, aku sekonyong-konyongnya gatal nak layan sekuel-sekuel kepada The Wolf Man.
Yang menariknya, kau boleh lihat filem ini sebagai Frankenstein 5 atau The Wolf Man 2. Lawrence Talbot, dengan penuh malang seperti biasa, tak pernah dapat sekuelnya sendiri - dia cuma muncul sana sini dalam filem yang monster lain tumpang sekaki (dikenali sebagai monster rally movies), dan Frankenstein Meet the Wolf Man adalah gabungan julung-julung kalinya.
Aku terfikir satu dua benda:
- Talbot seorang undead. Dia bangkit dari kubur pada awal-awal cerita hanya sebab kena suluh dek bulan penuh. Menariknya di sini, dalam filem Universal Monster seterusnya, dia sama saja undead seperti Frankenstein Monster dan Dracula.
- Talbot betul-betul nak mati. Maksud aku, betul-betul punya. Berapa kerat saja kau dapat hero yang motivasinya cuma nak mampus, nak mampus dan nak mampus? Gila tacing.
- Ada kontinuiti dari filem terdahulu dekat sini. Peristiwa dalam The Wolf Man memainkan peranan penting dengan Talbot berkawan-kawan dengan ibu Bela, serigala jadian gipsi yang mengubah takdir dia. Kontinuiti dari The Ghost of Frankenstein (1942) pun ada, tapi dah kena potong. Dalam filem itu, otak Ygor dimasukkan ke dalam kepala Frankenstein Monster lalu dia jadi buta sikit. Dalam versi uncut filem ini (yang aku kira sudah hilang), Frankenstein Monster bercakap dengan suara Ygor dan kekal buta. Test audience tak boleh masuk tengok Frankenstein Monster bercakap dengan slanga Eropah Timur Bela Lugosi, jadi semuanya kena edit keluar lantas membawa kita kepada Frankenstein Monster yang paling tak kacip dalam sejarah siri ini; biarpun wajah Ygornya memberi aku semacam katarsis kontinuiti yang aneh-aneh*.
Filem dibuka dengan tracking shot gila mengagumkan di tanah perkuburan yang mengebumikan Talbot, dan ia juga mempunyai adegan-adegan monster yang fun - aku gelak besar tengok Frankenstein Monster macam nak mampus berpaut pada pedati ketika dia dan Talbot melarikan diri dari serangan orang kampung - tapi aku betul-betul tak suka Frankenstein Monster versi Lugosi. Kalau hendak dibanding dengan versi Boris Karloff yang penuh emosi, dia punya kaku tahap karma. Dah tu, mekap muka dia gila rabak. Jujur cakap, hanya Karloff dan Glenn Strange punya Frankenstein Monster yang boleh belah bagi aku**.
Tidak syak lagi filem ni agak lekang dek zaman (hei, dia lagi tua dari perempuan simpanan bapak kau, okey?), tapi jika terdapat satu benda yang filem moden boleh belajar dari karya-karya klasik Universal adalah konklusinya yang pantas lagi lekas. Meskipun sayang kita hanya dapat tengok Wolf Man dan Frankenstein Monster bergasak pada minit-minit terakhir (tengokkan Chaney buat sepak pusing Wolf Man seraya berguling di atas badan Lugosi sahaja sudah berbaloi masa kau), finale filem ini menyusur - empangan pecah sekali gus membunuh para monster kita - lalu terpapar kapsyen "The End." Tak ada epilog, tak ada apa. Nah, monster-monster kau dah mampus; tunggu apa lagi, berambuslah dari panggung.
*Dalam Ghost, Lugosi jadi Ygor dan Lon Chaney, Jr. jadi Frankenstein Monster.
**Mengikut Wikipedia, gambar Strange sebagai Frankenstein Monster asyik tersalah letak dalam obituari Karloff di dada-dada akhbar dulu. Peh!
1 comment:
Video Lawak Bila Ultraman Tak Cukup Kalsium...
http://tinyurl.com/nomilksmallfryultramanzero
Post a Comment