Oleh Nazim Masnawi
Aku tidak tahu jika terdapat satu subgenre seram dewasa ini yang begitu ghairah diasak dan dipasak ke tekak kita selain dari found footage. Aku kira ia sepatutnya hanya muncul sekali-sekala dan tidak wajar dijadikan trend kerana ia secara asasnya sama saja* - ada pernyataan di pembukaan bahawa satu futej ini telah dijumpai; diikuti dengan siri orang terkejut beruk dek gangguan makhluk tertentu; semuanya diberkas melalui kamera yang tunggang-langgang; semua orang mampus dan mayat mereka hilang entah ke mana; tamat.
Namun sudah tentu, tatkala aku nekad membuat keputusan tidak mahu melayan lagi filem seram found footage, muncul sebuah karya seperti Troll Hunter. Menariknya, Troll Hunter sarat dengan klise penceritaan yang aku sebut di atas tadi, dan sekalian plotnya telah pun digunakan filem-filem terdahulu. Pun begitu, meskipun tiada yang baharu tentang pengisahannya, ia digarap dengan cukup, cukup cantik.
Kali ini, karakter utama kita yang menempah maut ialah trio pelajar kolej di Norway. Setelah mendengar khabar bahawa seorang pemburu haram beruang sedang mengganas di luar sana, mereka berpakat untuk angkat kamera dan membuat doku ke atas subjek berkenaan. Pemburu tersebut akhirnya ditemui. Tapi dari melaporkannya kepada pihak berkuasa, mereka sebaliknya mewawancara pemburu itu. Berkat kedegilan dan kejaga-tepi-kain-an mereka - biasalah, wartawan - ketiga-tiga pelajar ini mendapat tahu bahawa mamat itu hakikatnya pemburu troll. Yang halal pulak tu.
See, rupa-rupanya troll memang ada dan bermastautin di rimba dan gunung-ganang Norway, tapi kerajaan tempatan merahsiakan kewujudan mereka kerana... well, bak kata orang putih, why the hell not? Begitupun, para troll itu diasingkan di kawasan tertentu, tapi sekali-sekala terlepas juga lalu menyerang manusia. Apabila insiden seperti itu tercetus, kerajaan akan pergi kepada Hans, pemburu kita untuk membuat kerja-kerja penghapusan.
Hans mengambil masa untuk betul-betul rasi dengan para wartawan itu, namun dia akhirnya bercerita juga tentang selok-belok kerjayanya. Mengapa dia berbuat demikian? Well, kerjanya banyak tapi gaji ciput, dan dah bertahun-tahun dia buat kerja ni tapi secara rasminya dia tak pernah diiktiraf. Pendedahan ini sekurang-kurangnya akan membuat pihak atasan buka mata sikit dan kalau nak kira, dia bukannya rugi apa pun.
Dengan relaks-relaks, kita mula nampak kelawakan filem ini dengan cara pengisiannya. Pemburu troll itu bukanlah seorang panglima gagah berani, tapi orang tua bacin yang bermastautin di kem lusuh. Bila dia siap berperisai untuk keluar memburu, ayat pertama yang keluar dari mulutnya adalah "God, I hate this shit." Tapi sentuhan aku paling suka adalah segala borang yang perlu diisi Hans setelah melakukan satu-satu pembunuhan itu. Pada abad ke-21, kerja memburu raksasa pun tidak boleh nak lari dari masalah birokrasi dan kertas kerja.
Satu lagi sentuhan emas adalah cara teknologi moden dikahwinkan dengan mitologi troll. Contohnya, disebabkan troll akan bertukar menjadi batu atau/dan meletup setelah terkena sinaran matahari, Hans menggunakan lampu UV yang bapak besar sebagai senjata utamanya dan bom dinamit untuk menghapuskan patung yang terhasil. Mengenangkan para troll boleh mencium darah orang Kristian senang-senang, lagu Kristian digunakan sebagai mata kail. Sains biologi moden juga digunakan untuk menganalisis contoh darah troll dalam satu adegan konon serius ni.
Biarpun sarat dengan pendekatan moden, mundane dan pseudosaintifik, filem ini masih kekal magik. Ini paling jelas dalam persembahan trollnya. Makhluk ini direalisasikan dengan cukup kenes dan benar-benar real, jauh dari yang aku jangka dalam filem Eropah berskala kecil begini. Mereka bergerak, bernafas dan beriak seperti hidupan yang terisi darah daging, namun hidung yang gedang dan kulit berceracak seakan keluar terus dari buku Himpunan Cerita Dongeng Dari Negara Scandinavia terbitan DBP. Mereka, pendek kata, cukup syok untuk ditatap.
Lebih menarik, kewujudan troll ini digunakan sebagai metafora alam semula jadi. Ya, mereka bahaya buat anak Adam, tapi itu bukan salah ibu mengandung. Mereka cuma raksasa, tak reti nak buat apa selain makan, tidur, berak, beromen. Hans menjelaskan yang para troll ini boleh hidup sampai seribu tahun, proses penghadaman mereka saja boleh mencecah 10-15 tahun dan setiap troll hanya mampu melahirkan seekor anak. Meskipun, iyalah, penghapusan mereka agak perlu dalam kes-kes tertentu, agak sedih memikirkan makhluk-makhluk ini kian pupus dan bila mereka dah tak ada besok, dunia akan kehilangan sesuatu yang ancient, kuno, (bak kata orang putih, in its own way) cantik dan tak boleh ditukar ganti lagi. Bagaimanapun, para troll ini masih seram nak mampus. Siri momen tutup-muka-dengan-bantal dan suspens juga tidak terlepas, meskipun gabungan shaky-cam dan pembacaan sari kata seperti duologi [Rec] memang cukup menyeksa batin aku.
Troll Hunter barang kali tidak menyelit pembaharuan dalam naratifnya, tapi pendekatan yang dilakukan agak lain dari yang lain. Cara para karakter ini berhadapan dengan troll-troll itu cukup kejam namun penuh respek dalam masa yang sama. Satira birokrasi yang dipaparkan memang mengundang sengihan, metafora alam semula jadinya tersangatlah halus lantaran menjadikannya lebih menjadi dan para troll itu sendiri jelas dipersembah dengan penuh keyakinan dan usaha. Filem ini ditayang di pawagam terpilih seluruh Malaysia sepanjang tiga minggu lalu, kalau kau sebaliknya pilih filem seram lain untuk tengok - seperti The Thing (2011) - dan bukannya filem ini, shame on you.
*Ya, found footage ada juga disuntik ke dalam genre lain tapi masih belum lagi ke tahap berarus utama.
1 comment:
Video Lawak Bila Ultraman Tak Cukup Kalsium...
http://tinyurl.com/nomilksmallfryultramanzero
Post a Comment