Oleh Nazim Masnawi
Aku tak tahu macam mana nak mulakan. Kenapa aku anggap filem ini antara terbaik dalam sejarah? Kenapa kau belum tengok filem ini lagi, itu persoalan yang lebih penting. Dan kenapa kau tak tahu kau boleh suka ke tak? Buckaroo Banzai adalah sebuah maha karya bizarro, jenis filem yang tak ada siapa pun patut bikin. Dengan menggabungkan aksi, sai-fai, komedi, satira dan cinta, kekuatan utama Buckaroo Banzai adalah ia tidak pernah menuding tepat-tepat ke arah elemen yang kau tengah tengok. Kau sendiri pilih sama ada di skrin itu kelakar ke, mengujakan ke, lawak-lawak ke, atau ngam ke. Dan jujur cakap, kadang-kadang semua sekali dalam satu masa.
Ia berkisar tentang seorang bintang rock/ahli neurologi/samurai/ahli fizik/penjelajah/pencipta/pengembara* Buckaroo Banzai dan para saintisnya yang sama mengancam, The Hong Kong Cavaliers. Senang cerita, jika ada hidupan dari dimensi kelapan yang cuba nak takluk dunia ini, merekalah yang akan berada di barisan hadapan untuk halang.
Sebelum dia menjadi polis robot di pusat bandar Detroit, Peter Weller sebagai Buckaroo mendefinisikan erti cool - sayangnya untuk kita semua, cool di sini bermaksud kemampuan membedah otak sambil berborak dan mencipta barangan yang membolehkan kau bergerak melintasi konkrit. Tak cukup dengan coolness itu, dia ada Jeff Goldblum - sewaktu dia masih aneh-aneh dan bukan hanya tergagap-gagap - dan Clancy Brown (Victor Kruger dari Highlander (1986)) sebagai orang kanannya dalam The Hong Kong Cavaliers. Sebagai seteru kepada Banzai dan rakan-rakannya, filem ini menggabungkan pelakon paling sajak menjadi makhluk asing yang hilang akal - John Lithgow sebagai Dr. Emil Lizardo (yang kena rasuk dek makhluk asing dimensi kelapan, John Whorfin) dan Christopher Llyod sebagai John Bigboote. Yup, betul tu nama dia.
Filem ini perfek atas kemampuannya menggabungkan kesemua elemen, tapi keistimewaannya yang sebenar adalah betapa ia serba-serbi 80-an. Terdapat cakap-cakap di forum bahawa filem ini sudah lapuk, tapi aku tidak faham maksudnya - filem adalah produk semasa dan sewajarnya mencerminkan hakikat itu. Aku suka tengok The Hong Kong Cavaliers ialah satu geng mangsa fesyen New Wave (siap skinny tie dan sebagainya). Aku suka tengok setiap saat filem ini membayangkan dekad ia difilemkan. Dan aku suka nak percaya bahawa pengarah WD Richter pun turut sama bergelak ketawa - dia sedar yang trend dan gaya 80-an sama saja lawak dan merepek seperti keseluruhan filem ini.
Ramai peminat filem ini mengharapkan kesinambungan, Buckaroo Banzai Versus the World Crime League, tapi terus terang cakap, aku lega projek itu tidak menjadi** (itu pun setelah bertahun mengharapkan sebaliknya). The Adventures of Buckaroo Banzai Across the 8th Dimension adalah sebuah filem unik. Sekali rasa dah cukup; dua kali rasa macam terlebih sudah. Buckaroo Banzai mendakap konsep faux serial*** yang menjadi trend kebanyakan filem genre pasca Star Wars (1977) dan Raiders of the Lost Ark (1980), tapi aku kira cuma ini yang benar-benar menjadi; dan aku percaya terdapat pelbagai lagi siri pertualangan ini di dimensi lain, kita kira cukup bertuah salah satunya boleh terlepas ke alam ini.
*Ambik kau, Steve Jobs!
**Filem ini pun tidaklah laku mana.
***Konsep cerita ala picisan yang kelihatan seperti salah satu episod dari sebuah siri panjang; tidak disarat sangat dengan segala asal-usul dan perincian latar belakang.
No comments:
Post a Comment