27 October 2011

Rubber (2009) - Tayar Cerita Banyak

Oleh Nazim Masnawi

Kau pun tahu ini adalah cerita seram pasal tayar yang membunuh. Itu memang tidak syak lagi. Tetapi Rubber hakikatnya lebih dari itu. Dan aku tidak bermaksud dengan nada perli atau ironi atau tahi yang sama waktu dengannya; tapi dengan kejujuran yang tidak terperi. Absurdis, bijak dan cukup kemas krafnya, Rubber adalah sebuah kisah tayar pembunuh, tetapi ia juga sebuah kajian, bak kata orang putih, self-reflective tentang wasilah di antara penonton dan filem. Ya, ia adalah sebuah filem art mengenai tayar yang secara kinetiknya suka terbabokan kepala orang.

Kadang kala apabila sesebuah filem itu dijek lebih-lebih di internet, kau yakin ini kerana faktor coolnya semata-mata. Faktor cool ini terus dapat dilihat di pembukaan Rubber yang tersangatlah pelik dan tersangatlah tiba-tiba - dengan sebuah kereta melelong-lelong di tengah gurun lalu melanggar sebaris kerusi yang tersusun. Ia berhenti dan seorang sherif keluar dari bonet lalu berceramah panjang tentang aspek penting sesebuah filem kepada sekumpulan penonton di balik tirai - cukup perfek sebagai persediaan terhadap segala yang bakal mendatang. Aspek yang dibincang oleh sherif itu adalah bagaimana kebanyakan hal dalam filem terjadi tanpa sebab-musabab langsung. Dia memberi beberapa contoh yang gila merepek sebelum kembali masuk ke dalam bonet dan berlalu. Para penonton itu - yang terdiri dari kalangan remaja, orang berkerusi roda, perempuan mulut becok, nerd yang gemuk dan sebagainya - kemudian mengalih pandangan ke gurun. Dengan menggunakan teropong yang diberi oleh pengurus mereka di situ, kelihatan sebiji tayar yang lama ditinggalkan tiba-tiba hidup lalu bergerak meladeni dunia tatkala semangat membunuh di dalam dirinya mula terbit.

Pengarah Quentin Dupiex - yang asalnya penerbit muzik - telah menghasilkan filem yang benar-benar pelik, hebat, lawak dan mengujakan. Sebahagiannya adalah sebuah filem genre, sebahagian lagi adalah komentari terhadap filem genre, dan sebahagian lagi adalah parodi filem genre; dan setiap satunya dikupas dengan cukup eksplisit. Para penonton itu berdiskusi tentang kelogikan dan praktikaliti hal yang sedang ditonton (termasuklah sama ada tayar akan terapung atau tenggelam jika termasuk ke dalam kolam) sementara Dupieux merakam kisah yang ditonton itu sebijik macam slasher sebenar. Dan semua itu menjadi - komentari metanya, lawak tayar pembunuhnya; termasuklah konsep genre tayar pembunuh itu sendiri.

Faktor penting kehebatan filem ini juga terletak pada barisan pelakon utamanya. Mereka memainkan peranan dengan ton yang cukup kena, dan pemilihan kasting oleh Dupiex juga berkesan. Stephen Spinella ialah bintang kita. Menjadi si sherif, tugasnya adalah memburu tayar pembunuh tersebut dengan kesedaran bahawa ini semua sajian buat para penonton itu. Dia seakan mendefinisikan erti dead-pan dengan dialog yang diutarakan bertukar-tukar di antara serius dan lawak dalam nada sama. Tanpa Spinella, aku kira garisan ton yang cuba dimainkan Rubber pasti tidak sebegitu sukses.

Elemen satu lagi yeng penting ialah Jack Plotnick sebagai The Accountant, pengurus penonton itu yang mempunyai kepalatannya sendiri. Plotnick menyampaikan monolog yang fantastik pada akhir-akhir cerita, dan cara dia memainkan peranan The Accountant gerenti akan membuatkan semua orang suka untuk menyampahnya.

Tidak lupa juga, Wings Hauser sebagai Man In Wheelchair, penonton yang jelas lebih bijak dari "cerita" yang sedang ditontonnya itu. Aku malas nak tabur sebarang spoiler di sini, jadi aku tidak boleh kupas dengan mendalam tentang Hauser; namun terus terang cakap, aku tak pernah tengok watak OKU dibawa dengan sebegini... err, lain.

Dan sudah tentu akhir sekali, Robert, si tayar pembunuh. Mendapat kredit sendiri pada akhir cerita dengan selayaknya, tayar tersebut dihidupkan dengan kesan khas praktikal yang mahir, dan aku percaya beberapa catan digital yang komplikated (biarpun kedua-dua tampak sebati). Tayar tersebut, percaya atau tidak, adalah sebuah karakter yang benar; malah, mempunyai arc. Dia melalui proses kesedarannya sendiri, jatuh cinta dengan awek Perancis yang sedang merentasi gurun itu, dan mengalami kebangkitan politikal apabila dia bertekad menggunakan kuasa membunuhnya untuk menghukum manusia atas khilaf mereka terhadapnya. Inilah kepakaran Ray Harryhausen dulu dalam menghasilkan karakter-karakter stop motion, tapi yang membuatkan aku lebih tabik spring kepada Dupiex dan pasukan kesan khasnya adalah Robert tidak mempunyai sebarang riak. Seperti tayar sebenar, dia hanya berguling sana sini dan mungkin pusing sekali dua untuk tengok orang. Emosi yang paling jelas kita boleh lihat pada Robert adalah sewaktu dia nak letupkan kepala orang - berdenyut sikit sementara muzik perlahan-lahan bertukar kepada kresendo.

Adegan kepala meletup dibikin dengan cukup menggelikan dan menggalakkan. Meskipun banyak komentari meta untuk mencabar minda intelektual di kalangan audiens (hei, seperti pembaca blog ini), ia juga penuh dengan adegan suspen dan seram untuk mencabar kemahuan berhibur (hei, juga seperti pembaca blog ini). Rubber adalah sebuah filem cult yang perfek - lawak, aneh-aneh, bijak dan tersangatlah unik. Seperti maha karya absurd di luar sana, Rubber adalah sejenis filem yang para peminat genre macam tak percaya orang boleh buat, namun tetap menghargai kehadirannya.

1 comment:

Anonymous said...

Video Lawak Bila Ultraman Tak Cukup Kalsium...
http://tinyurl.com/nomilksmallfryultramanzero