Oleh Nazim Masnawi
Setiap ulasan harus dikarang berdasarkan konteks. Dan konteks bagi Bisikan Arwah (tak, tak, ia bukan berdasarkan filem Indonesia arahan Jopi Burnama itu) adalah ia dikraf oleh bakat-bakat yang baru melangkah masuk ke dalam genre drama seram televisyen: Pengarah Javed Nizar sebelum ini lazimnya mengarahkan komedi; Ellyna Ahmad* sebelum ini penulis skrip filem dan pertama kali menghasilkan siri mini televisyen secara total; Intan Azura, biarpun berpengalaman berbelas tahun dalam bidang lakonan, baru berjinak-jinak ke dalam genre sebegini; dan Wan Raja pula adalah bintang yang baru hendak menyinar (tetapi sudah sepekan dua terlibat di belakang tabir). Jadi apabila sekalian bakat hijau ini bergabung untuk projek terbaru Astro Prima ini, ekspektasi tidaklah setinggi mana. Dan ini merupakan faktor utama betapa positifnya penerimaan aku terhadap bahagian pertama siri empat episod ini**.
Bisikan Arwah bermula dengan Amirah (Intan Azura) mengalami sebuah siri mimpi aneh yang dari awal tidak kelihatan seperti mainan tidur biasa. Biarpun tidak endahkan oleh orang sekeliling termasuklah suaminya Imran (Wan Raja), garisan di antara alam mimpi dan realiti mula bercampur baur dan ini dibebankan lagi dengan kemunculan bayangan wanita berselendang dan kanak-kanak yang kelihatan seperti dari keturunan asli Skull Island. Secara langsung Amirah kini terpaksa pulang ke kampung untuk menemui ibunya (Zarina Zainuddin) yang kemerengannya kemungkinan besar mampu merungkai segala kemisterian yang membelenggu Amirah; di samping menambah lagi persoalan yang lain.
Bisikan Arwah, seperti hampir semua kisah seram di televisyen Malaysia sekarang, adalah sebuah cerita teka-teki ala J-Horror. Dan terus terang cakap, tidak ada salahnya di situ. Malah jika hendak dibandingkan dengan cerita seram yang ada di TV sekarang, Bisikan Arwah adalah yang terbaik. Ini kerana penulis skripnya tahu benar tentang selang-seli dan zigzag sesebuah teka-teki itu, dan kisah seperti ini memerlukan tangan si penaip yang teliti untuk melaksanakannya.
Bagaimanapun, kisah teka-teki juga ada padahnya kerana segenap naratif adalah sebuah trik. Banyak perkara disamarkan dan disorokkan demi pendedahan tertentu; ia bukan berkenaan rentak emosi tapi kesungguhan untuk, bak kata orang putih, pull the rug out on viewers at the end. Filem J-Horror seperti Ringu menjadi kerana ia adalah sebuah filem yang berdurasi dua jam dan bukannya siri mini 360 minit. Keseluruhan struktur Bisikan Arwah seharusnya digilap lagi dari awal. Ironinya kini sebagai sebuah cerita teka-teki ia tidak pernah benar-benar diputar-belitkan untuk mainan penonton. Sebaliknya, meskipun kisah begini lazimnya memberi klu dan makna tertentu di setiap sudut, para pembikinnya tampak tidak begitu komited untuk berbuat demikian; dan pada akhir episod ini memang terasa benar ada kekurangan dari segi intipatinya - segalanya hanyalah asas yang akan terbayar pada episod-episod seterusnya. Ya, ia memang penuh dengan adegan seram obligatori setiap beberapa minit, namun terkadang waktu ia seperti penambahan semata-mata. Adakah Bisikan Arwah jauh lebih hebat jika keseluruhan episodnya dipertonton secara maraton kelak? Mungkin, tapi tidak tahulah jika aku ingin menonton episod pertama ini sekali lagi. Terdapat elemen karakter di dalam Ringu yang membuatkan ia berbaloi ditonton berulang kali; melebihi tahap teka-tekinya, tapi Bisikan Arwah dirasakan tidak lebih dari itu. Isinya tidak sebanyak mana - dan sekali lagi, sebagai sebuah karya televisyen, tidak ada salahnya di situ.
Dan jika ada pun ia dapat dilupakan apabila para pelakonnya dibarisi oleh bakat yang bukan sebarangan. Intan Azura yang merupakan salah seorang pelakon kegemaran aku melakonkan watak Amirah dengan intensiti yang bersesuaian. Intan aku kira adalah ratu lakonan low key di Malaysia. Jika pelakon lain, mahu sahaja setiap adegan takutnya ditambah volume kepada 11 seperti speaker Nigel Tufnel. Zarina Zainuddin yang telah membuka mata aku menerusi siri Senja Permai membawa watak ibu Amirah dengan kecantikan yang diselubungi keseraman. Dan sebagai seorang yang membesar dengan penghidap paranoid schizophrenia, aku kira pembawaannya agak tepat (dan ya, orang yang aku kenal itu dengan penuh klise pernah menyikat rambut di anak tangga). Para pelakon tambahan yang lain juga tiada masalah kecuali pelakon kanak-kanak yang membawa watak bayangan budak hantu itu. Secara umumnya dia okey, namun rangsangannya kurang untuk menjadikan watak tersebut benar-benar seram dan ikonik.
Rangsangan itu, walau bagaimanapun, kita boleh lihat dengan Wan Raja. Biarpun terikat dengan watak yang tidak semegah mana, Wan Raja jelas berkacak sendiri menyeluruhi personaliti Imran dengan penuh karisma dan kehangatan*** sehingga kadang kala aku mengharapkan naratif bertukar fokus terus kepadanya. Jika Wan Raja adalah komoditi Hollywood, sudah tentu namanya dijulang oleh fanboy di forum internet untuk menjadi Batman atau James Bond seterusnya. Di sebalik raut yang murah dengan senyuman, terdapat secuil kegelapan merangkumi matanya yang membuatkan ia bukan setakat menarik buat penonton wanita, malah kepada struggling heterosexual seperti aku (dan Fadz).
Sayangnya, dia dikemudi oleh gaya arahan dan suntingan yang mengecewakan. Alfred Hitchcock pernah berkata, kita tidak perlu menjadi ahli seni untuk menghasilkan filem seram; kita hanya perlu menjadi manipulator yang hebat. Cita rasa aku amat sederhana sebenarnya - aku tidak mengharapkan Javed melakukan sesuatu yang baru. Aku tidak minta dia hadir untuk melakukan sebuah reformasi ke atas genre seram. Apa yang aku mengharapkan dia mengambil segala teknik filem seram yang terdahulu lalu menyudahkannya dengan baik. Malangnya, tiada siapa yang menonton episod pertama Bisikan Arwah akan merasakan begitu. Javed seolah-olah tidak faham bahawa kita sebagai penonton sudah tahu trik-triknya, kita tersedia sajak dengan gaya dan rentak kisah seram begini, dan Javed serta penyuntingnya gagal menggunakan kelebihan itu sebaiknya. Tidak pernah kita ditakut-takutkan dengan tempoh yang setepatnya, malah buatkan kita kekal ternganga dan bukannya disebabkan terperanjat. Sesetengah adegan seperti Amirah di ampaian agak terlalu lama dilengah-lengahkan, sementara adegan seperti Imran di meja makan terlalu gesit pula disimpulkan. Kejutan kecil dan kejutan besar tidak dibezakan. Javed dan penyuntingnya seakan tidak pernah melihat diri mereka sebagai penonton, sebaliknya melihat kita sebagai anak kecil yang perlu disuap gula-gula sahaja; tidak lebih dari itu.
Dan hal ini amat merisaukan aku. Kemungkinan besar lakonan Bisikan Arwah akan bertambah baik apabila arc watak utamanya kian jelas di episod seterusnya; dan kemungkinan besar skripnya akan bertambah elok apabila naratifnya yang berselirat mula membuahkan hasil. Tapi aku sangsi mutu arahan dan suntingan akan berubah kerana lazimnya itu adalah faktor kekal bagi sesebuah penceritaan visual. Melainkan berlaku sebuah keajaiban, aku tidak rasa akan berlaku sebarang pembaikan dari aspek ini. Bagaimanapun, aku tetap mengharapkan yang terbaik untuk episod kedua dan seterusnya kerana kali ini konteksnya sudah berbeza: Sesebuah episod siri mini itu haruslah lebih baik dari sebelumnya (kerana kau cuma ada beberapa peluang saja lagi). Dan mengenangkan aku melihat Bisikan Arwah adalah sebuah karya yang bagus, ekspektasi aku juga sudah meningkat berpuluh kali ganda.
*Dan, oh, Ajami Hashim. Entah siapa entah mamat tu.
**Ia ditayangkan di Astro Prima setiap Ahad jam 10:00 malam sepanjang bulan Julai ini.
**Ini sebagai kesinambungan ayat homoerotik Fadz yang mengatakan Wan Raja adalah seorang pelakon yang seksual dalam ulasannya.
No comments:
Post a Comment