(Ulasan ini mengandungi spoiler)
Sasterawan Nazri M. Annuar pernah menyatakan, tak kisahlah kau menghasilkan filem apa pun yang penting fungsinya adalah untuk menghiburkan. Di sini aku kira saudara Nazri tidak pernah menonton karya Michael Haneke*. The White Ribbon, seperti filem-filem Haneke yang terdahulu, menggunakan gaya pengarah itu yang membawa kita menyelami sendiri pengalaman dan pemantauan dikemukakan, dan bukannya dok suap naratif dan kesimpulan yang lazimnya didambakan. Dan aku tak rasa Haneke peduli habis sama ada kau "terhibur" atau tak dengan nukilannya; yang penting perhatian kau sentiasa diraih, seolah-olah sedang melihat kemalangan ngeri di depan mata yang kau tak dapat nak toleh.
Seperti semua filem Haneke, The White Ribbon bermula dengan biasa-biasa saja: Di sebuah kampung pedalaman Jerman beberapa bulan sebelum tercetusnya Perang Dunia Pertama, berlaku suatu siri kemalangan yang dibelenggu misteri kerana rata-rata ia bukanlah terjadi tanpa didalangi sesiapa. Setiap kejadian mempunyai rahsia tersendiri yang secara langsung membawa kita ke dalam kancah masyarakat yang dipenuhi dengan autoriti, hierarki dan keganasan. Dalam pada itu, seorang guru sekolah mula menyusup ke dalam hal ini apabila hakikatnya tidak dapat dipaling lagi.
Dan seperti semua filem Haneke, jawapannya bukanlah sesuatu yang senang-senang kau jumpa pada akhir cerita. Biarpun kisahnya dibentang dengan cukup perlahan bersama kamera yang kadang kala punyalah statik, boleh tertidur Michael Bay dibuatnya, The White Ribbon tetap bergerak seperti sebuah thriller. Tapi dengan mengekalkan naratif yang kelihatan seperti mencari sebuah jawapan, Haneke secara halus membiarkan filemnya merungkai persoalan yang lebih penting - tentang bagaimana isu yang tercetus memberi kesan kepada hidup para karakternya. Penindasan merupakan teraju utama tema The White Ribbon, dan bayangan, asal usul serta penyebaran penindasan itu yang mencicip kita sebagai audiens. Segalanya berbaloi di hujung babak ketiga apabila kita terpaksa menelan kenyataan, sekali lagi dengan penuh halus dan tanpa gah, bahawa misteri kemalangan di kampung tersebut bukanlah sesuatu yang tidak boleh diselesaikan, sebaliknya sesuatu yang tiada siapa ingin selesaikan.
Terdapat segelintir pendapat mengatakan - termasuklah Haneke sendiri - bahawa The White Ribbon berkisar tentang kelahiran ideologi keganasan, baik dalam politik mahupun agama. Tapi aku kurang bersetuju. Jika itulah tesisnya, maka kita semua pengganas. Aku kira lebih sesuai kita melihatnya sebagai kisah teladan bahawa "niat tidak menghalalkan cara." Dalam masyarakat Malaysia sendiri, kita kadang kala terlalu taksub untuk mengekang "kejahatan" sehingga habis keadilan dan kebebasan ditolak tepi. Dan aku tidak bercakap mengenai kerajaan tertentu sahaja; lihatlah bagaimana satu pihak ini bercadang untuk mengenakan denda jutaan ringgit kepada sesiapa yang berani melompat parti kelmarin. Nah, jelas bukan? Untuk melakukan "kebaikan" itu, kepentingan sesebuah pihak kini menjadi lebih utama dari kepentingan individu.
Mungkin Haneke cuba menjentik: Adakah berbaloi semua ini? Adakah berbaloi kita menolak kebebasan semata-mata untuk mengekalkan "kestabilan" itu? Mungkin ramai yang mengangguk iya, tapi lihatlah sejarah, lihatlah kesannya**. Kadang kala orang yang cuba melakukan reformasi terlalu obses melakukan reformasi itu sehingga secara tidak langsung menghidupkan semula proses penindasan tersebut.
Tapi sama ada itu yang ingin disampaikan oleh Haneke atau tidak, terpulang pada dada masing-masing untuk ditepuk; seperti juga halnya dengan persoalan utama filem ini - siapa yang menjadi dalang sekian-sekian insiden - yang boleh dicop di antara McGuffin terbaik dalam sejarah. Memang jelas Haneke agak sengaja mempersembahkan bukti bercanggah agar mustahil bagi kita menemui jawapan definitif. Malah, aku berseronok sendiri dengan merasakan "kemalangan" tersebut dilakukan oleh bukan orang lain tapi Haneke sendiri.
Hei, adakah main teka-teka ni yang saudara Nazri maksudkan dengan hiburan? Mungkin, tapi jangan lupa itu cuma sebahagian, sebahagian lagi fungsi seni adalah untuk kasi kita kacau tak boleh tidur***; dan itulah yang aku rasa setelah menonton filem ini.
*Tak juga sebenarnya, dia yang memperkenalkan aku filem Haneke The Piano Teacher (2000) beberapa tahun lalu.
**Seperti golongan intelektual di negara kita yang diwakili oleh watak si guru dalam filem ini - akhirnya mereka menjadi pasif dan mengambil keputusan untuk berlalu dari sini sekali gus merugikan diri kita sendiri.
***Bak kata novelis Yann Martel. Jelasnya lagi, kita memerlukan kedua-dua aspek tersebut kerana itulah yang menghidupkan sesuatu masyarakat itu.
No comments:
Post a Comment