(Menjelang Khamis ini instalmen baru Predator akan mula ditayangkan di pawagam seluruh negara. Jadi untuk beberapa hari yang masih tersisa ini, aku akan mengulas kedua-dua filem pertama aksi fiksyen sains raksasa ini, disusuli dengan duologi Alien Vs. Predator serta dikonklusikan dengan resensi Predators sendiri (ya, filem baru tu!). Niat aku bukan hendak mengimbau semula memori terhadap filem-filem tersebut (baik atau buruk), tapi lebih ke arah nak beritahu siapa tak suka Predator dia anak haram.)
Kebanyakan filem sekuel tidak menjadi bukannya apa, tapi kerana idea asasnya tidaklah seluas mana untuk dikembangkan. Secara pragmatisnya, tidak ada sekuel yang sehebat filem asal, kerana itulah tidak guna untuk berdebat sama ada satu-satu sambungan itu sama bagus atau tidak. Tapi kadang kala muncul sebuah sekuel yang mensia-siakan habis setiap inci potensinya sampai aku rasa elok ia menjadi kisah teladan tentang sekuel yang tidak menjadi. Filem seperti Predator 2.
Lagi sekali aku ingin menekankan bahawa Predator adalah salah sebuah filem aksi fiksyen sains terbaik dalam sejarah. Ia adalah sebuah filem yang aku boleh tonton berulang kali. Di antara tarikannya adalah para karakternya, humor gelapnya, adegan aksinya serta ketrampilan makhluk Predator itu sendiri; namun yang paling utama adalah keyakinan arahan John McTiernan - mengumpul segala elemen tersebut dengan cukup cantik sehingga menterjemah filem genre begini kepada sesuatu yang berada dalam kelas tersendiri.
Malangnya, filem sekuel ini langsung tidak boleh dikategorikan dalam kelas mana-mana; biarpun di sekolah kanak-kanak spastik.
Predator 2 mengambil tempat di Los Angeles kira-kira sepuluh tahun selepas berlakunya filem pertama. Setiap hari ada saja berlaku kes tembak-menembak di antara pihak polis dan geng pengedar dadah. Bagaimanapun, muncul seteru baru yang tidak dikenali di tengah kota sekali gus mengacau zon selesa kedua-dua belah pihak. Dan dengan mengacau, maksud aku menyiat kulit sekor-sekor. Nasib kini terletak di tangan Danny Glover untuk menyelesaikan kes ini sebelum dia sendiri menjadi itik gantung seterusnya.
Dan seteru tersebut tiada lain sudah tentulah sang Predator kita. Nah, ceritanya lebih kurang sama dengan filem pertama bukan, jadi mesti sama gempak ya tak? Jauh sekali. Bagi aku inilah faktor utama kegagalan filem ini; seolah-olah tiada siapa peduli untuk memasukkan sedikit kreativiti ke dalam naratifnya. Sepatutnya filem ini benar-benar menyambung kisah asal tentang Dutch (Arnold Schwarzengger) dan melebarkan lagi visinya (menempatkan hero kita di angkasa lepas sebagai contoh; meneruskan homaj karya Beowulf yang sebahagiannya menjadi asas tema filem pertama, membuatkan bukan sekadar hero tetapi seluruh penduduk Los Angeles bertubuh sasa; dan sebagainya), namun Predator 2 melakukan dosa bagi sesebuah sekuel itu yang melebihi 17 dosa besar Abu Tholib Al-Makki: Memulakan segalanya dari poin A semula. Sekonyong-konyongnya tanpa sebab munasabah, kita terdampar mencari-cari identiti makhluk pembunuh itu. Ya, memang seronok merungkai persoalan ini sedikit demi sedikit dengan filem pertama, tapi itu tidak bermakna kita perlu meladeninya sekali lagi terutamanya apabila pengetahuan kita jauh ke hadapan dari si hero. Setiap plot, setiap rentak aksinya menyadur habis filem asal - hero kita bersemuka dengan Predator sendirian di babak ketiga, hero kita buka topeng Predator, hero kita dah nak kalah, hero kita akhirnya dapat melarikan diri dari sebuah letupan besar; hero kita habis dilitupi tepung gomak sewaktu diselamatkan. Keseluruhan filem ini seolah-olah beraurakan, bak kata orang putih, "been there, done that." Tapi semua ini berlaku di bandar bukan, jadi mesti ada kelainannya? Kepala otak kau! Kecuali kau ni budak terencat umur 12 tahun, tak tahulah aku macam mana kau boleh termakan gimik bahlul begitu.
Ada banyak lagi ralatnya dengan Predator 2 - arahan Stephen Hopkins yang hampir-hampir tiada imaginasi*; menjadikan pak cik Danny Glover yang sentiasa gelabah sebagai hero ganas adalah sesuatu yang Harrison Ford dalam Witness saja mungkin boleh percaya; dan tidak lupa, rupa Predator yang berbaur rasisme. Dengan membuatkan dreadlocksnya bermanik apa semua, para pembikin filem ini secara tidak langsung memaksa kita mengaitkan kebangkaian makhluk ini dengan kaum negro. Di tambah lagi dengan Predator hanyalah penyamun jalanan kali ini.
Pun begitu, sejak awal lagi memang tidak mungkin Predator 2 mampu menyaingi filem pertamanya, tapi aku kira semua itu boleh dimaafkan sekiranya kita dapat melihat daya usaha mereka di belakang tabir dalam membuatnya; biarpun sedikit. Namun sebusuk-busuk filem ini, ia tahap taska jika hendak dibanding dengan kedua-dua filem Alien Vs. Predator yang merupakan alasan terbaik untuk kita menolak sama sekali medium seni abad ke-20 ini dan menyertai Taliban ramai-ramai.
*Pun begitu, filem ini kelihatan cukup menarik. Estetika visualnya memang jelas sehingga kau boleh membayangkan kehuru-haraan, kepanasan dan tekanan suasananya. Hatta Stephen Hopkins tidak sepatutnya mengarah, sebaliknya menjadi pengarah fotografi untuk sutradara yang lebih baik.
Entri seterusnya: Ulasan aku akan bermula begini, "Alien Vs. Predator adalah produk anak haram, dan anak haram tersebut adalah Paul WS Anderson." Ambik kau!
No comments:
Post a Comment