Oleh Nazim Masnawi
Seperti yang dijangkakan, episod kedua Bisikan Arwah jauh lebih bagus dari predesesornya. Plot dan motivasi karakter tertentu sudah mula diperinci. Jika ini adalah permainan catur, sekalian buahnya telah mengambil tempat dan para bidaknya sudah mula melakukan langkah pertama (dan ya, hanya langkah pertama). Namun yang lebih mengejutkan aku adalah betapa subtle skripnya ditulis. Jika di tangan orang lain, mudah saja cerita seram yang bersemangat melodrama ini dilebih-lebihkan sana sini.
Kisah Bisikan Arwah diteruskan dengan siri adegan flashback yang membawa kita beberapa dekad sebelum itu. Tidak boleh menerima hakikat bahawa dia telah diduakan, Khatijah (Zarina Zainuddin) berkomplot untuk mengenakan madunya Siti (Intan Azura) dengan sedaya mungkin. Ini membawa kepada pelbagai tipu muslihat, hasad dengki dan seterusnya pertumpahan darah (secara harfiahnya). Berlaku suatu peristiwa yang membuatkan kisah tersebut tidak usai di situ sahaja, dan ini jelas membuktikan bahawa bayangan wanita berselendang tersebut adalah Siti. Secara tidak langsung harapan kini terletak di tangan Amirah (Intan Azura) untuk menyelesaikan konflik berzaman ini. Dalam pada itu, suaminya Imran (Wan Raja) mula didatangi oleh roh Siti yang bukan berniat hendak mengganggu, sebaliknya bermadu kasih sebagai jelmaan Amirah.
Apa yang mungkin meresahkan penonton tentang episod kedua ini adalah struktur asasnya - ia diceritakan dari dua perspektif: Dulu dan sekarang. Kedua-duanya tidak bergerak selari - masing-masing mempunyai objektif dan pacing berbeza - dan ini sekali gus membuatkan keseluruhan cerita seolah-olah berawangan. Tapi episod ini berkenaan karakter, bukannya plot, maka yang membuatkannya kekal menyengat adalah watak-watak dan para pelakonnya. Pun begitu, dalam perjalanan tersebut, terdapat juga kejutan kecil - bagaimana kisah rumah tangga pada era dulu hakikatnya mencerminkan apa yang sedang berlaku sekarang lalu memberi kita benih kepada malapetaka yang tidak dapat dihalang apabila berlaku kelak (di episod-episod seterusnya). Sebahagian besar episod dua ini membuatkan kau rasa tak banyak benda berlaku, tapi jika dilihat dari kanta lebih luas, sebenarnya banyak cuma bukan dengan cara yang kau dambakan.
Perbandingan di antara perspektif dua era ini yang membuatkan episod dua Bisikan Arwah amat baik bagi aku. Tatkala Amirah semakin tersisih dari peluk cium suaminya, kita melihat bagaimana Khatijah semasa mudanya dulu pun melakukan kesilapan yang lebih kurang sama (cuma dengan sengaja). Dan kedua-dua hal ini melibatkan Siti secara langsung. Dengan perlahan-lahan kita melihat sejarah kembali berulang - bukanlah konsit baharu, namun ia dihasilkan dengan kerja tangan yang cukup halus. Adegan zaman dulu yang penuh dosa dan khilaf mula mempengaruhi adegan zaman sekarang tatkala kau menyedari sebuah rancangan dendam sedang terbalas sedikit demi sedikit. Terdapat beberapa ketika pada zaman sekarang yang membuatkan kau terlupa tentang signifikan adegan lalu, tapi dengan bijak sedikit kejutan dan perkembangan dilontar ke dalam konflik usang ibu-ibu bapa Amirah itu. Pengarah Javed Nizar juga membuat pilihan baik dengan tidak memasukkan terlalu banyak adegan seram obligatori pada zaman sekarang kerana dengan motivasi watak yang kian jelas, keseluruhan subplot melibatkan roh Siti cuba menawan hati Imran adalah sesuatu yang lebih mengujakan dari kemunculan budak separuh bogel - lelaki pulak tu! - di semak samun.
Namun segala naratif berselirat dan penelaahan karakter ini tidak akan berjaya jika ia tidak dilakonkan dengan baik. Intan Azura meneruskan kecemerlangannya dengan Amirah, namun yang lebih mengagumkan aku adalah pembawaannya sebagai roh Siti. Biarpun seorang tespian yang tidak pernah mencuba genre ini, Intan tahu benar selok belok persembahan yang harus dibawa. Secara ternikalnya dia memegang tiga watak berbeza (Amirah, Siti zaman dulu dan roh Siti), tapi dia berupaya mengubah setiap seorang hanya dengan mainan emosi. Ambil roh Siti sebagai contoh; Intan melakukan segalanya menerusi pandangan mata - roh Siti yang cuba menggoda Imran mempunyai sedikit kekerasan fizikal yang seratus kali ganda lebih menggerunkan dari hantu yang merangkak sana sini. Matanya yang bulat lagi tajam menyuntik rasa kegasaran dan kedinginan sesuatu yang bukan semula jadi; biarpun sewaktu membelai rambut Imran. Dan sewaktu dia sempat mengerling ke arah audiens dalam pada itu, aku hampir-hampir terloncat dari kerusi bukan sebab takut tapi kerana menyedari kuasa roh Siti menjangkaui tahap meta, yang bagi aku cukup genius untuk menambahkan lagi bahayanya di samping membuatkan kita sedar betapa masak nasib Amirah dan Khatijah besok.
Bercakap tentang Khatijah, lakonan Zarina Zainuddin juga bertambah baik. Biarpun Khatijah di usia muda tidak sedimensi mana, Zarina berjaya melahirkan kontra yang amat dengan karakternya pada usia tua; kau masih percaya mereka adalah individu sama cuma yang di zaman sekarang jiwanya jelas dirundung kesal. Mungkin kecantikan Zarina dan gambar-gambarnya semasa remaja yang tersimpan kemas di dalam laptop membuatkan aku masih mampu bertolak ansur dengan kesialan wataknya. Begitu pun, dia mempunyai stabiliti dalaman yang membuatkan aku percaya dia boleh kekal berkahwin dengan ayah Amirah, Sulaiman (Javed Nizar, ya, sutradara kita sendiri). Aku tidak mempunyai masalah dengan lakonan bidan terjun Javed (yang mengambil alih watak ini dari pilihan asal Nasir Bilal Khan), namun terkadang waktu dia seakan berada dalam cerita lain - terlalu selamba dan, ironinya, bagaikan tidak tahu di mana letaknya kamera.
Malangnya, yang paling kurang mendapat pendedahan positif kali ini adalah Wan Raja. Ini kerana subplotnya agak triki: Tatkala terkesima dibelai oleh roh Siti, dia juga semakin menjauh dari isterinya kerana salah faham yang terjadi sehingga Amirah menyangkakan dia ada perempuan lain (!). Masalah paling besar episod dua adalah di sini. Ini kerana aku terasa seolah-olah para pembikinnya percaya kita sebagai penonton tidak sebijak mana. Kesemua karakter yang berkaitan - terutamanya Imran - mengambil masa sikit punya lama untuk mencapai konklusi berkenaan kekeliruan ini. Biarpun Imran cuba menerangkan keadaan kepada Amirah berkali-kali, dia gagal dalam setiap peluang. Dia asyik diherdik atau didiamkan. Adegan ini ralat betul. Aku tidak kisah jika rentetan ini berlaku di dalam komedi screwball kerana ini sedikit sebanyak menyumbang kepada kemerepekannya. Tapi apabila ia berlaku dalam sebuah cerita seram; drama lagi, aku terasa seperti hendak membaling sesuatu di skrin TV kerana ini jelas menunjukkan betapa bodoh bahlul karakternya.
Sebab utama aku tidak berbuat demikian adalah kerana Wan Raja. Ketrampilan dan intelek yang boleh dilihat dalam pelakon ini membuatkan kita masih boleh empati dengan tindakannya. Pada penghujung episod, skripnya menyedarkan Imran sesuatu (akhirnya!) namun yang membuatkan kita mempercayai adegan ini adalah lakonan Wan Raja. Sekalian proses pemikirannya jelas terhidang di mata. Dan apabila dia menoleh ke rumah ibunya seolah-olah sedang mendalami sesuatu - mungkin memikirkan siapa yang dia dah romen malam tadi - kita sama sekali boleh merasai kegerunan yang melanda dirinya.
Rakan pengulas Fadz pernah berkata, Bisikan Arwah bukan cerita seram, tapi sebuah melodrama yang mempunyai adegan seram di dalamnya. Mungkin benar kata Fadz, namun aku juga percaya itulah poinnya. Penulis siri mini ini Ellyna Ahmad* bukannya bodoh. Dan skrip ini jarang terperangkap dalam kancah melodramatiknya (kecuali bab berlengah-lengah itu). Dengan memantau setiap wasilah karakter dengan dekat, kita juga boleh memahami setiap perspektif situasi. Kau boleh lihat punca kegilaan Khatijah yang memaksanya menyingkap kisah lalu; kau boleh lihat tragedi kehidupan Siti yang membawanya kepada keadaan sekarang; kau boleh bersimpati dengan kekacauan yang dialami Amirah berikutan sejarah keluarganya yang gelap; kau boleh faham betapa stimnya Imran apabila isterinya yang biasanya busuk masam tiba-tiba muncul semerbak harum narwastu dan berkebaya ketat. Dan Javed menemukan semua ini, bak kata orang putih, with a sense of building doom and dread. Seperti episod terdahulu, semua orang barang kali tidak begitu gemar dengan penamatnya yang dirasakan tidak cukup tergantung; tapi memperlihatkan sedutan episod tiga, kita semua tahulah bagaimana mata masing-masing akan dibuka tutup dengan bantal busuk di minggu hadapan.
Mungkin ramai tertanya-tanya kaitan episod ini dengan filem Star Trek II: The Wrath of Khan (1982) selain kedua-duanya adalah sambungan bagi sebuah karya genre. Hakikatnya sewaktu Star Trek: The Motion Picture (1979) keluar, ia menerima pelbagai maklum balas negatif dek penceritaan yang terlalu perlahan dan tidak berjiwa. Antara pengkritik yang lantang bersuara adalah Janet Maslin dari The New York Times. Bagaimanapun, tiga tahun kemudian muncul The Wrath of Khan dan ia diangkat sebagai filem yang berbaloi dengan kesarwajagatan dunia pulpi ciptaan Gene Roddenberry itu. Dan Maslin yang amat menyukai sekuel ini memulakan resensinya begini: "Well, that's more like it."
Dan terus terang cakap, itulah yang aku rasa dengan episod kedua Bisikan Arwah ini.
*Nak buat macam mana, aku memang sucker bab-bab karakter menyedari kehadiran audiens ni.
**Dan, oh, Ajami Hashim. Aku masih tidak kenal mamat tapi dengar cerita dia botak.
No comments:
Post a Comment