(Menjelang Khamis ini instalmen baru Predator akan mula ditayangkan di pawagam seluruh negara. Jadi untuk beberapa hari yang masih tersisa ini, aku akan mengulas kedua-dua filem pertama aksi fiksyen sains raksasa ini, disusuli dengan duologi Alien Vs. Predator serta dikonklusikan dengan resensi Predators sendiri (ya, filem baru tu!). Niat aku bukan hendak mengimbau semula memori terhadap filem-filem tersebut (baik atau buruk), tapi lebih ke arah nak beritahu siapa tak suka Predator dia anak haram.)
"Predator adalah filem fiksyen sains kedua terbaik dalam sejarah bagi saya." - Tok "Ricky" Rimau di status Facebook pada tahun lepas
Okey, mungkin kenyataan blogger soljah kita tu terlebih sangat nyalinya, tapi aku akui bagi subgenre aksi pertualangan raksasa begini, Predator merupakan salah satu yang terhebat.
Dan apa yang membuatkannya hebat adalah air tangan pengarah John McTiernan. Biarpun filemnya yang akhir-akhir tiada lain hanya macam celaka, pada penghujung 80-an/awal 90-an dahulu, dia bagaikan nafsu serakah Ariel Peter Pan dari segi kreativiti untuk filem aksi Hollywood; tak kisahlah sama ia adalah bapak kepada bapak filem pencakar langit Die Hard, mahupun mak kepada mak filem dalam air The Hunt for Red October. McTiernan menghasilkan filem yang membuatkan karya Michael Bay, Len Wiseman dan McG saling tak tumpah macam episod Roda-Roda Kuala Lumpur.
Ini kerana kehebatan filemnya - seperti Predator sendiri - terletak pada kompleksiti perlaksanaan semata-mata; tiada lain. Asas filem Predator amatlah senang, ia hampir-hampir boleh dikategorikan bangang: Letaklah sekumpulan mamat macho kerek gila ni di dalam hutan eksotik; buatkan mereka yakin bahawa tiada siapa boleh menundukkan mereka di medan perang; dan buatkan mereka bertembung dengan seekor makhluk asing yang menjadikan segala senjata dan otot jahanam mereka sia-sia. It's a cat-and-mouse game, bak kata orang putih, dan tidak seperti rancangan Survivor, tiada wang ringgit yang menunggu mereka di hujung musim memburu ini; hanyalah nyawa sekor-sekor melayang sebelum ketibaan "the choppah." Dan kini, segalanya terletak di bahu Arnold Schwarzenegger yang habis berlumur lumpuh sampai ke telur untuk bergasak dengan makhluk tersebut di dalam siri adegan yang penuh suspens dan membentak minda.
Pengisian skripnya mengikhtisarkan erti cacamarba; aku kira semasa penggambaran yang ada di atas kertas hanyalah sinopsis tiga perenggan (setiap perenggan untuk setiap babak). Tapi percaya atau tidak, itulah yang membuatkan ia menjadi tu. Ia tak ada unsur eksistensialisme apa lancau semua untuk memberikan makna lebih mendalam; cuma cerita kejar-mengejar yang dihasilkan dengan ketelitian (seperti yang aku katakan tadi). Kesan khas yang tak seberapa digunakan untuk menambah perisa, bukan menjadi asas resepi itu sendiri (kerana itulah kau tak rasa janggal sangat). Setiap watak biarpun tidak berdimensi, amatlah menarik dan distintif (kau boleh membezakan siapa adalah siapa dalam suasana mendung itu). Intipati al-kisahnya pula cukup tipis tapi ia tidak pernah membuang masa sehingga kau terfikir ada yang kurang dan tak kena. Juga baik adalah lakonan Arnold Schwarzenegger sendiri. Buat pertama kali dalam sejarah - mungkin juga satu-satunya dalam sejarah - kita boleh lihat proses pemikiran di sebalik anak mata tespian bagak ini. Lihatlah reaksinya sewaktu melihat apa yang tinggal pada Hawkes yang baru disasah Predator; kalau itu bukan lakonan berkaliber Oscar, kawan-kawan, I don't know what is.
Tapi yang terbaik bagi aku adalah suasana hutan yang menambahkan lagi rasa bahaya dan isolasinya. Ia benar-benar terasa seperti hutan betul (dan bukan sekadar hutan simpan yang lazimnya digunakan industri filem) dengan ketebalannya, kelembapannya dan makhluk liarnya yang melingkar sana sini - terasa seperti sebuah karakter sendiri dan bukan hanya latar belakang. Skor oleh Alan Silvestri juga hebat* dan hasil kerja mekap gemulah Stan Winston memang tiada tolok bandingan; memang tak terkejutlah setiap makhluk bota yang direkanya sejak itu menyerupai wajah ikonik lubang pantat Predator.
Maaflah jika ini bukanlah sebuah resensi mendalam sebab ia tiada lain hanyalah sekadar penyataan bahawa Predator adalah filem klasik. Sedihnya, Predator tidak pernah selayaknya dikembangkan menjadi sebuah francais dengan setiap filem seterusnya semakin tidak berkualiti. Apa yang membuatkan Predator menjadi bukanlah skrip yang mantap** atau bajet sebesar Avatar, tapi teraju utama berbakat yang bukan sekadar mementingkan kuantiti. Nuansanya, seperti homaj Beowulf dan filem-filem aksi terdahulu, membuktikan McTiernan menghasilkan filem ini dengan sepenuh hati dan ingin benar menghiburkan penonton; bukan setakat mencapai sasaran kehendak orang ramai***.
Bagaimanapun, tidak seperti Tok Rimau, Predator bukanlah filem kedua sains fiksyen terbaik bagi aku. Tapi terus terang cakap, dah dekat-dekatlah tu.
*Tapi tidaklah begitu hebat di luar konteks.
**Skrip bukanlah elemen terpenting, tapi peminat filem tempatan suka mengingatkan benda itu. Jika itulah hakikatnya, bagaimana dengan Francis Ford Coppola dan Paul Greengrass yang lazimnya menemui naratif filem mereka di bilik suntingan?
***Tidak seperti usaha kebanyakan pengarah berarus utama kita yang gemar menyuap nasi semalam.
Entri seterusnya: Predator masuk bandar! Malangnya, itu sajalah yang boleh dikatakan segar tentang sekuel suam-suam kuku ini.
No comments:
Post a Comment