20 October 2003

Ulasan Filem : Histeria (2003)




Petang sabtu lepas, saya saja-saja singgah di sebuah kedai VCD dan ternampaklah VCD Histeria ni. Filem Histeria ini saya kira agak kurang dipromosikan berbanding filem-filem tempatan yang lain khususnya dalam bentuk VCD. Diarahkan oleh Anwardi Datuk Jamil, dibintangi oleh Hani Mohsin, Masnaida (Mistik) dan beberapa muka-muka baru di arena seni. Seperti kebiasaan, filem-filem VCD keluaran tempatan, saya akan membelinya yang asli/original berikutan daripada harga yang saya kira agak berpatutan iaitu sekitar RM12-19 sekeping.

Secara ringkasnya, filem yang ala-ala 'momok' ini memaparkan antologi 4 kisah seram atau mungkin dikategorikan sebagai mitos/tahyul, yang biasa diceritakan sejak kecil lagi. Berikut ialah kisah-kisah yang dipaparkan.

Kisah 1 : POKOK TUA
Mengisahkan sebuah pokok tua di sebatang lorong yang menjadi takutan kepada seorang budak bernama Epit. Beliau bagaimanapun sangat berminat pada kisah-kisah seram sehingga menjadi takut untuk melintasi lorong tersebut malah beliau lebih rela mengambil jalan lain yang agak jauh semata-mata untuk tidak melalui lorong tersebut untuk pulang ke rumahnya. Namun, suatu malam itu, Epit terpaksa juga melalui jalan tersebut kerana tiada pilihan lain.

Kisah 2 : PENANGGALAN
Sebuah kisah hantu atau lebih tepat lagi pengamal ilmu hitam yang menanggalkan kepalanya dari tubuh dan terbang mencari mangsanya seperti ibu dan bayi yang baru lahir. Di lakonkan oleh pelakon komedi seperti Isma Alif, Lan Zailani dan Ramasundram yang saya kira terlalu banyak unsur lawak berbanding seram. Kisah ini mungkin menjadi lebih seram lagi sekiranya dikurangkan unsur lawak tersebut.

Kisah 3 : HISTERIA
Saya tidak pasti kenapa pengarah meletakkan tajuk kisah ini sebagai Histeria yang langsung tidak ada kaitan dengan fenomena histeria. Kisah sebenarnya ialah mengenai tiga orang penuntut kolej yang tinggal sebilik di asrama, menerima kemasukan roomate baru yang cukup misteri. Gadis tersebut hanya pulang ke bilik hanya pada lewat malam sahaja, dan tidak pula kelihatan di waktu siang . Sayang sekali, kisah ini sekali lagi boleh 'diseramkan' lagi. Pengarah sepatutnya boleh mengambil inspirasi dari filem-filem seram yang lain contohnya seperti The Ring, Dark Water dan sebagainya. Walaubagaimanapun, saya memuji idea yang ditonjolkan oleh pengarah dan lakonan yang baik oleh muka-muka baru dalam kisah ini.

Kisah 4 : MUZIUM ANTIK
Ini pula mengenai kisah seorang pemuda lakonan Zamruddin memegang watak sebagai Azlan yang mencari kerja sambilan. Akhirnya beliau ditawarkan bekerja sebagai pengawal di waktu malam, di sebuah muzium pameran yang menyimpan khazanah lama "Alat-Alat Penyiksaan", dengan gaji RM200 semalaman. Berikutan itu, kawan-kawannya membuat rancangan untuk menakutkannya. Ada sedikit unsur 'Urban Legend' diselitkan, namun sekali lagi, pengarah kelihatan kekurangan idea.

Filem ini diakhiri dengan adegan Hani Mohsin, yang 'realiti'nya, keseorangan di dalam perpustakaan tersebut. Saya rasa ramai penonton sudah dapat menjangka akan kesudahan tersebut.

Apa-apapun, saya kira filem ini berjaya juga menghasilkan rasa seram di kalangan penonton, namun, saya berharap selepas ini pengarah lebih menumpukan kepada adegan cemas contohnya seperti dalam filem 'pontianak' lakonan Hani Mohsin, ada unsur-unsur cemas ditonjolkan.

Akhir kata, penulis tetap sokong industri filem melayu (VCD saya ada cop KDNHEP lagi!).

**Rating: 2/5**

Kredit foto :
http://www.cinemashops.com
http://www.MYARTIS.com

1 comment:

Anonymous said...

salam..saya pemnat cerita histeria..
saya mahukan copy dari cerita tersebut..
kalau ada lagi vcd nye call 017-6263207..saya bayar jika ada..
pm secepat mungkin
hafiz 13/09/2013