26 October 2008

Trailer Park of Terror (2008)



Sekadar informasi, "Trailer Park" boleh didefinisikan sebagai 'setinggan' di Amerika, mengikut takrif secara kasar bahasa Melayu. Komuniti tetangga ini yang terbentuk asalnya dari sebuah mobile-home, dari penempatan sementara akhirnya merebak menjadi sebuah komuniti sosial.

Ia juga sering dikaitkan dengan golongan sosial kelas bawahan berpendapatan rendah, yang sudah tentu tidak mampu membeli tanah apalagi membikin rumah. Justeru komuniti ini wujud, biasanya secara tidak sah di sisi undang-undang, dikatakan 'lubuk' punca timbul permasalahan sosial di sekitarnya.

Di Amerika, subkultur ini sering dilabel dengan ejekan "Trailer Trash". Rujuk filem 8 Mile (2002) antara filem kegemaran aku sebagai contoh terbaik. Kalau kau belum tonton filem itu, kau boleh tunggu filem Eli Roth (pengarah Hostel (2005) tahun depan membawa judul yang sama.

Filem Trailer Park of Terror ini memberi sebuah visual realiti yang baik tentang komuniti 'gelap' ini. Sebuah satira sosial. Bagaimana pesimisnya sikap dan pemikirian subkultur ini, ironiknya sesama mereka sendiri juga selain terhadap orang luar.

Tirai pembukaannya penuh edgy dengan latarbelakang musik western yang membangkit mood tontonan, serta mainan sinematografi gaya retro klasik 70an, apabila anak gadis kepada seorang pelacur terkenal disitu, cuba memulakan hidup dengan teman lelaki baru, bertindak keluar dari komuniti tersebut akhirnya dicemuh masyarakat sekitarnya. Malangnya, teman baru beliau dibunuh (atau sebenarnya secara tidak sengaja). Lantas si gadis itu mengamuk dan membunuh kesemua mereka. Tidak cukup dengan itu, komuniti itu dimusnahkan sepenuhnya dengan cara meletup dan membakar segalanya, termasuk dirinya sendiri. Maka ia lenyap secara zahirnya.

Lebih 20 tahun berlalu dan dalam tempoh tersebut, komuniti itu tidak lenyap sepenuhnya kerana ada cerita-cerita pelik yang dihebahkan. Sebetulnya, ia tipikal horror, tetapi gaya yang dipaparkan oleh Steven Goldmann ketara berbeza (barangkali ekspektasi rendah yang dipertaruhkan aku). Ia membawa gabungan filem-filem subgenre slasher, supernatural, zombie, komedi ke dalam satu. Ya, ia jauh lebih baik dari filem 2001 Maniacs, walaupun agak tidak kena untuk dibandingkan kerana filem ini bukan subgenre splatter. Ia lebih getir dan lebih serius pembawakan temanya.

Segar, kerana sejenak kau terasa menonton sebuah pembaharuan dalam genre horror. Jika kau mencari horror atmosphere serta corak keganasan filem-filem Rob Zombie (Devil's Rejects) – ya, ini sebuah salinan terbaik untuk kau. Malah, filem ini sebenarnya sangat menghampiri rating NC-17 oleh sebab keganasan sadistik seksualnya, komedi gelap tentang dosa dan neraka yang disuntik melalui dialog eksplisit serta elemen musikal (Rock & Roll baby!), detour ala The Hills Have Eyes (2006), Wrong Turn (2003) dan seangkatannya. Pendeknya, filem ini menjanjikan itu semua.

Benar, ia sebuah pembaharuan era horror klasik. Sebuah 'cult' horror. Dan sebagai penggemar horror sejati, sesungguhnya kau patut berasa malu untuk melepaskan filem ini.


"Howdy blondy!"

No comments: