Terus-terang, aku sendiri tidak mampu menjawab semudah atau sepantas kilat untuk soalan itu. Untuk merasai “seram”, secara literalnya, barangkali jawapan paling ringkas, selepas aku kaget dan terkebil-kebil seketika memikirkan jawapan yang paling kena.
Maka untuk topik ini, barangkali penjelasan terhadap jawapan aku itu diharapkan akan terbit seraya aku menaip artikel ini. Aku akan cuba pendekkan selagi boleh.
Ya, aku tahu genre horror tidak mendapat tempat di hati rata-rata peminat filem. Tidak, aku tidak mahu mencari jawapan dari mereka. Mungkin aku sudah tahu sebab-musababnya.
Sebenarnya, sudah banyak yang aku dengar jawapan cliche (serta touche) antaranya : “Aku takut hantu”, “aku mabuk darah”, “tak boleh tengok orang kena bunuh”, “aku fobia mayat bangun dari kubur cekik atau makan orang”, “nanti malam aku mengigau... taknak”, “trauma”, nanti aku muntah kang?”, “aku tak tahan berdebar, jantung aku tak kuat” dan sebagainya. Sebetulnya, aku gembira malah tergelak besar dengan jawapan itu semua. Semua itu jujur (walau gelap sekali simbolik jawapan, mudahnya – “tak suka”). Persoalannya adakah aku seorang pemberani? Kalau aku berani, tak perlu aku menonton.
Takut ditakutkan
Sebenarnya, tidakkah menonton itu adalah satu method yang cukup ‘selamat’ tanpa perlu ‘berdepan’ dengan bahaya sebenar? Sangat mudah tentunya bukan? Dan sebagai penonton, kita hanya perlu merasai apa jua yang dialami (emosi serta ketakutan) beberapa karakter mahupun protagonis (perasaan empati kerana biasanya protagonis menjadi mangsa watak hitam) dalam filem tersebut.
Atmosfera seram
Orang kata itu horror atmosphere – suasana keadaan sekeliling serta perasaan takut secara lahiriah yang timbul apabila manusia takutkan sesuatu yang barangkali sedang bersembunyi di ruang kegelapan dan akan keluar (biasanya secara mengejut) pada bila-bila masa. Justeru apabila ini berlaku, di saat ini deruan adrenalin pasti dirasai kita. Lalu kita berasa ‘seronok’ ditakutkan. Maka tidakkah itu suatu kemuncak ‘kepuasan’ tontonan yang biasanya tidak wujud dalam genre lain?
Ketakutan yang terkawal
Jawapan aku barangkali berbaur pretensi. Atau mungkin sebenarnya lebih bersifat peribadi. Memang benar sesetengah orang benci apabila ditakutkan. Ada yang cepat melatah. Orang suka minum sirap, aku suka minum darah. (Apa kau ingat aku dah hilang akal?) Tetapi pengalaman ditakutkan sebetulnya sangat berharga. Dan kita diberi pilihan untuk itu semua.
Kita boleh duduk di panggung atau bersandar selesa di sofa, lantas bersedia untuk ditakutkan oleh apa jua visual seram yang bakal dipaparkan. Maka pengalaman itu dalam suasana ‘terkawal’ ketakutannya (controlled environment). Apabila ia selesai maka selesailah. Apresiasi menjadi soal lain. Sejauh mana keseraman itu dirasai, barangkali sangat subjektif dan ia menjadi suatu topik seronok untuk dibincang bersama teman-teman sepertontonan.
Mesej sosial
Ada yang berpendapat filem horror mempromosikan keganasan. Aku tidak setuju. Setakat ini, tak pernah pula aku terlintas untuk berlagak hero, mahupun antagonis, membunuh sesiapa yang bermasalah dengan aku atau menghunus pisau mengamuk dekat jiran-jiran aku. Sebetulnya, tema sesebuah filem horror (yang baik) biasanya membawa mesej moral yang sihat secara simbolik, di samping mengingatkan kita bahawa kejahatan sememangnya wujud dikalangan sosial.
Filem yang baik biasanya membawa kita menelaah isi kandung serta punca kejahatan itu wujud : rujuk remake Halloween (2007) apabila kita disorot kebelakang mencari titik punca si pembunuh kejam dalam filem itu. Begitu juga filem-filem yang membongkar beberapa buah keluarga disfungsi yang wujud dalam sosial masakini.
Subgenre horror
Pendeknya, filem horror yang baik memvisualisasi serta menjelaskan punca kejahatan itu (rujuk : subgenre slasher seperti Texas Chainsaw Massacre, House of 1000 Corpses, Hills Have Eyes).
Dan secara relatif, ia membawa mesej yang berat terhadap kebobrokan institusi pemerintahan. Manakala subgenre Zombie pula, aku menjadi pengikutnya kerana zombie itu adalah metafora gelap tentang konsumer, kapitalisme serta rasisme. Isu ini dibawakan pembikinnya George A. Romero sejak filem zombie pertama beliau tahun 1969.
Lalu, apabila subgenre ini menjadi semakin diminati, maka pembikin=pembikin seterusnya (seperti penglibatan awal Peter Jackson dalam Bad Taste, Braindead serta Sam Raimi dalam Evil Dead) berjaya membawa beberapa mesej sosial-satira, mengikut perkembangan semasa (kutukan terhadap peperangan khususnya yang dibawa dalam remake Night of The Living Dead, serta 28 Days Later) dalam gaya zombie kontemporari yang lebih spektakular dengan efek khasnya.
Akhir sekali, jangan pula disalah anggap, kerana aku masih meminati segala apa jua genre filem. Buktinya, kebanyakan resensi filem aku sebelum ini berkepelbagaian (rujuk link di atas). Serius, aku masih penggemar filem sejati.
Genre Horror ibarat satu penambahan ruang 'dimensi' dalam dunia seorang penggemar filem. Dan itu tidak memberi apa jua kesan tontonan filem lain khususnya filem-filem mainstream yang hebat-hebat masakini. Cuma dimensi itu yang menjadi pilihan utama aku.
Sekian dan jangan tanya lagi kenapa.
No comments:
Post a Comment