05 April 2007

Texas Chainsaw Massacre : Beginning, Wilderness & The Hamiltons

THE TEXAS CHAINSAW MASSACRE : THE BEGINNING (2006)

Walaupun aku agak ketinggalan, namun adalah tak sah kalau filem ini tidak tersenarai atau tertulis dalam SKRIN.

Seperkara aku boleh perkatakan ialah kalau versi remake 2003 menjadi kesukaan kau, maka tidak mustahil kau akan suka edisi 'mukadimah' ini. Begitu juga sebaliknya. Bagi aku, idea menyingkap latarbelakang kelahiran Leatherface memang menarik. Perhatikan sahaja bagaimana sedihnya keadaan tempat lahirnya leatherface, lalu tong sampah menjadi tempat buangan, akhirnya keluarga disfungsi Hewitt menjumpai lalu membelanya. Juga persoalan siapa sebenarnya si sheriff durjana tersebut, serta kenapa si tua Hewitt itu berkerusi roda terjawab.

Cuma aku rasa filem ini kurang jiwa (tiada kesan emosi/simpatetik terhadap mangsa yang mana bagi aku sangat penting dalam filem slasher), kurang getir serta suspense, lebih-lebih lagi lakonan yang sungguh kaku lagi tidak menyelerakan (mungkin agak cemerlang dari awal hingga ke pertengahan jalannya sahaja). Barangkali juga kerana aku sedar akan undang-undang slasher, semuanya bakal menjadi korban. Pun begitu, segala aspek brutalisme, ‘gore’, kekejaman atau apa sahaja masih ditahap biasa – mungkin terlalu terikat dengan rating kerana filem ini menghampiri rating NC-17 sebelum disensor.

Malangnya menjadikan filem ini bagi aku tidak berjaya mencapai standard "baik" untuk sebuah lagi edisi Texas Chainsaw Massacre. Sekadar melengkapkan sahaja. Oh mungkin benar kata mereka kerana filem ini hanya sekadar satu permulaan. Maka aku terima seadanya.

WILDERNESS (2006)

Filem produksi UK ini barangkali meminjam konsep Batoru Rowaiaru (aka Battle Royale), antara filem "true horror" penting orang Asia, cuma ceritanya diubah menjadi naskhah tersendiri (mungkin Wilderness ada persamaan dengan Dog Soldiers, dari segi tema, tapi aku tidak berani cakap kerana aku belum menontonnya).

Pun begitu, Wilderness punya originaliti. Ia tentang sekumpulan remaja bermasalah yang dihantar ke sebuah pulau – di sana mereka harus menyelamatkan diri masing-masing dari menjadi korban 'perang' gila, sekumpulan anjing yang dilatih, serta peluru yang tak bermata dan juga panah-panah yang tak kenal siapa. Segalanya bukan lagi latihan atau olok-olok. Ia sarat dengan violence, gore, penyiksaan brutal serta berjaya membentuk suasana cemas dalam pergerakan plot yang pantas. Sinematografi yang cukup cemerlang, yang memainkan peranan penting dalam membangkitkan rasa horror (paling banyak dimainkan sewaktu di pulau tersebut). Filem ini, kalau bukan yang terbaik sekalipun, mungkin boleh diletakkan antara yang terbaik dalam genre aksi/horror produksi UK 2006. Kebarangkalian sebuah "cult" UK juga.

Rekomendasi tinggi untuk ditonton.

THE HAMILTONS (2006)

Filem ini sudah pun berstatus "cult" dalam genrenya. Tidak boleh disangsikan lagi. Beberapa pengkritik besar filem sudahpun bercakap tentangnya. Bagi aku, ini filem underrated horror yang setaraf Frailty, The Locals dan lain-lain. Kesemuanya kerana skrip, originaliti ditambah lakonan yang sangat solid.

The Hamiltons adalah tentang keluarga disfungsi. Mungkin kita sudah banyak menonton kisah sebegitu. Masing-masing ada versi tersendiri malah kebanyakannya berlatarbelakangkan kisah pembunuh (rujuk TCM, Capturing The Friedmans, Hills Have Eyes, Rest Stop, House of 1000 Corpses dll). Kisah keluarga Hamilton ini juga tidak terkecuali cuma pada zahirnya tidak kelihatan. Mereka hidup dalam komuniti seperti mana masyarakat ordinari. Yang menariknya, penjanaan plotnya berjaya membentuk suasana misterius hingga terungkai di akhir ceritanya. Lalu kau akan tahu apa sebenarnya yang dialami oleh mereka, di konklusinya. Ia sungguh gelap lagi menggelapkan.

Filem produksi independent ini telahpun menggondol beberapa anugerah di beberapa festival antarabangsa. Aku akan tunggu naskhah seterusnya dari pengarah The Butcher Brothers ini.