19 July 2010

Inception (2010) - Himpunan Benda yang "Cool" Semata-Mata

Oleh Nazim Masnawi

Aku terhutang budi dengan Christopher Nolan. Maha karyanya Memento (2000) merupakan wacana yang membuka minda aku tentang keupayaan penceritaan visual untuk, bukan setakat menghiburkan, malah memberi semacam meditasi transendental. Sebelum Memento, filem bagi aku adalah bahan pakai buang; bukan makanan ruji. Namun selepas tontonan pertama filem Nolan itu menerusi VCD haram nan gelap, aku mula menelaah tentang erti sinema itu sendiri. Aku mula membaca buku, esei, resensi dan sebagainya tentang aspek filem. Bagaimana segala elemen visual dan bunyi digabungkan untuk memindahkan kita ke dunia lain sekali gus, dan bukan setakat melayari rentetan peristiwa*. Mudah kata, kerana Memento aku menjadi peminat tegar filem; kerana Memento filem menjadi medium seni kegemaranku; dan kerana Memento aku menghobikan kerja-kerja mengaibkan orang melalui ulasan filem.

Maka dengan itu, nama Nolan sentiasa teratas, indah bercahaya bak Laila. Dia tidak perlu menghasilkan sebuah lagi maha karya untuk mendapat sokongan aku. Menghasilkan filem-filem yang cuma okey seperti Insomnia (2002) dan The Prestige (2006) sudah cukup memadai. Inception, dengan penuh tulus ikhlas aku katakan, adalah sebuah filem yang cuma okey. Tapi aku tak rasa kali ini, itu sudah cukup memadai.

Inception bagaikan anti-Memento. Ia tidak rasa seperti sebuah filem; hanyalah siri koleksi adegan yang kedengaran cool sewaktu Christopher Nolan kelentong para penerbit eksekutifnya. "Cool tak kalau kita buat bandar Paris berlipat, dan kau boleh berjalan atas bawah tepi apa semua macam klip video Lionel Richie tu?" Aku bayangkan dia bertanya. Dan jawapannya ya, memang cool. Tapi ia cuma cool seperti engkau memakai kemeja T yang cool: Momentari, kosong dan tidak bermakna. Imejnya menarik, sudah tentu, tapi ia tidak mencengkam. Dan bandar Paris yang berlipat itu? Ia tidak pernah habis pakai potensinya; seperti juga keseluruhan filem ini.

Dom Cobb (Leonardo DiCaprio) dan pasukannya (Joseph Gordon-Levitt, Tom Hardy dan kemudiannya Ellen Page serta bomoh dari Drag Me To Hell (2009)) bekerja sebagai pencuri idea dari mimpi orang. Pada suatu hari, bagaimanapun, dia didatangi oleh seorang pelanggan (Ken Watanabe) yang bukan memintanya untuk mencuri idea, sebaliknya menanam idea ke dalam minda seseorang (Cillian Murphy). Cobb bersetuju biarpun dalam diam dia sedar ia bukan sesuatu yang mudah kerana jauh di alam mimpinya (dan tugas ini memang memerlukannya pergi jauh), terdapat bayangan gemulah isterinya (Marion Cotillard) yang hanya menunggu peluang untuk menjahamkan misinya lantas menjahanamkan minda Cobb sekali.


Ya, asas cerita Inception kedengaran agak kompleks tapi sebenarnya tidak, ini adalah filem Nolan yang paling mudah dihadam kerana, seperti yang dikatakan, ia sekadar alasan untuk menghimpun adegan yang secara konsepnya cool dan menayangkannya kepada umum atas nama sinema. Nah, jika hendak dikira kebanyakan filem blockbuster musim panas begitu, tapi penghasilan yang baik diisi dengan karakter, ton dan visual menarik. Ambil filem The A-Team (2010) yang keluar pada bulan lepas sebagai contoh; ia diarah dengan ton berwarna dan aksi bergaya oleh Joe Carnahan.

Dan sebagai filem aksi**, Inception langsung tiada gaya. Terdapat beberapa momen menarik muncul di sana sini, tapi Nolan - pada kebanyakan masa - seolah-olah lumpuh. Suntingan filem ini tidak pernah sesekali berjaya menghasilkan suasana mimpi, dan visual keseluruhan alam tersebut diberkas seakan dunia realiti kita. Langsung tak mengujakan. Aku akui tidak semua filem harus mencipta alam mimpi secara totaliti seperti catan Salvador Dali, namun alam mimpi Inception langsung tidak seperti yang kita biasa lalui - yang selalunya bergeografi penuh neraka tapi masih logik dalam konteks. Hanya terkadang waktu terutamanya di babak ketiga kita dihidangkan dengan sesuatu yang mendekati erti skop. Bagaimanapun, kalau kau hendak mencari sesuatu yang lebih epik dari bandar Paris berlipat, lupakan***.

Sudah tentu, mungkin bajetnya tidaklah sebesar mana untuk memungkinkan liputan dunia Avatar (2009); mungkin imaginasi Nolan sendiri tidaklah seluas mana untuk memungkinkan estetika visual The Fountain (2006). Tapi dialog yang bagus seharusnya boleh ditulis oleh pembikin filem yang paling mentah sekalipun, dan filem ini diungguli oleh tespian hebat-hebat yang berkemampuan melontarkan kata-kata dengan baik. Tapi skrip Inception - yang merupakan hasil solo pertama Nolan sejak Following (1998) - tidak memberikan mereka apa sangat untuk bertutur (kecuali penerangan tentang hal itu dan ini yang tidak habis-habis sehingga babak ketiga). Dan ini kerana tidak ada seekor pun karakternya mempunyai sebarang definisi. Nah, watak-watak dalam filem heist begini memang pun tidak berdimensi sangat, tapi kurang-kurang mereka berpersonaliti yang jelas tiada dalam filem ini. Para karakter di sini hanya ditakrif oleh fungsi mereka - Gordon-Levitt kerjanya sekian-sekian, Hardy kerjanya sekian-sekian. Yang celakanya pada babak ketiga, fungsi setiap karakter dibuang begitu sahaja. Watak Ellen Page yang dicanang sebagai arkitek mimpi dikurangkan menjadi ahli terapi DiCaprio semata-mata (!). Gordon-Levitt dan Hardy? Kerja mereka hanya menembak mati orang yang kau tidak kenal; yang kau tidak peduli pun.

Ini merupakan satu lagi masalah Inception. Ia mempunyai alasan "unik" untuk melahirkan seteru yang terdiri dari kalangan, bak kata orang putih, faceless goons. Secara konsep ia masuk akal - mereka adalah unjuran or whatever fuck dari mimpi, jadi sebarang personaliti tidak diperlukan - tapi di skrin ia memberi kejanggalan kerana kau tidak kenal mereka. Apabila Gordon-Levitt bertarung tanpa graviti dengan mereka di koridor hotel, kau tidak dapat mendedikasi sebarang emosi. Ia tidak rasa seperti pertarungan muktamad di antara si hero dan orang jahat kerana tiada dualiti di situ, dan tiada percanggahan ideologi, dan tiada urgensi. Adegan pertarungan itu berlaku hanya kerana ia berada di klimaks filem, itu saja.

Ini sayang kerana ia sepatutnya boleh menjadi adegan aksi yang bagus. Tapi dengan aku yang tidak berkemampuan untuk peduli habis dengan pengakhirannya, dan dengan Nolan yang bagai tidak reti hendak mencipta sebarang tension, ia gagal sama sekali. Sekali lagi, secara konsep ia memang cool. Tapi perlaksanaannya jadi-tak-jadi. Dan terus terang cakap, itulah ikhtisar bagi seantero filem ini.


Tidak seperti sebahagian rakan aku yang seakan mempunyai homoerotic tension dengan DiCaprio, aku sudah lama belajar untuk bertolak ansur dengan penampilannya. Bagaimanapun, wataknya di sini tidak berisi mana. Skrip filem ini ada memberinya arc, tapi ia tidak diselit dengan personaliti. Pada permulaan cerita, kita diberitahu bahawa Cobb adalah pencuri idea terbaik di muka bumi tapi perkara itu tidak pernah dibuktikan sebab segala kecelakaan yang menimpa misi mereka berpunca dari dia sendiri. Malah, boleh dikatakan dialah punca permasalahan di babak ketiga yang membuatkan mereka terjerumus ke lembah mimpi yang lebih dalam. Suatu ketika aku tertanya-tanya kenapa Gordon-Levitt dan yang lain boleh nak bekerja dengan motherfucker ini. Pun begitu, kesialan Cobb memberi peluang kepada DiCaprio untuk berlakon stail terjerit-jerit, penuh emo dan asyik mengamuk dia yang tercipta sejak The Aviator (2004). Aku tidak kisah sangat karakteristik begitu jika Cobb adalah watak yang jujur dan benar, namun mengenangkan ini adalah filem blockbuster musim panas, dia tiada lain hanyalah arketip yang menjengkelkan.

Inception bukanlah filem yang teruk, tapi ia juga tidak sebagus mana. Terdapat adegan aksi di pergunungan salji pada akhir cerita yang memberi homaj kepada On Her Majesty's Secret Service (1969). Tapi mengenangkan ini adalah mimpi dan bukan realiti maya, aku tidak faham bagaimana watak Hardy - mereka berada di dalam mimpinya pada tahap tersebut - boleh mengangankan keadaan seperti dalam filem James Bond. Mungkin ia cuma cool untuk lihat orang menembak sambil berski. Dan apabila orang jahat habis tewas, reaksi paling hebat aku boleh bagi adalah "Oh, bahagian ini dah habis. Next!" Adegan itu okey. Nolan tidak memberi sebarang keistimewaan, juga tidak menjahanamkannya teruk-teruk. Ia cuma perlaksanaan yang amat senada. Itu kau boleh buat kalau setakat main laga-laga action figure di rumah, tapi tidak di dalam filem. Filem memerlukan ancaman, ia memerlukan karakter, ia memerlukan sesuatu yang lebih dari setakat konsep gimik memasuki mimpi orang dan curi idea apa semua. Aku tidaklah tertekan sewaktu menonton Inception, dan masa aku tidaklah dirasakan terbuang begitu saja; cuma ini bukan sebuah filem sinema, dan ia bukan sesuatu yang memaksa aku untuk berfikir dalam-dalam seperti alam mimpi itu sendiri (tidak seperti orang lain yang ditipu bulat-bulat dek "isinya").

*Kalau setakat itu, novel dan teater pun boleh.

**Dan jangan gelarkan filem ini sebagai fiksyen sains. Sia-sia aku pelangkung kepala sekor-sekor.

***Kecuali kau merasakan bangunan runtuh di tepi pantai adalah sesuatu yang menakjubkan, well, by all means.

1 comment:

Anonymous said...

Video Lawak Bila Ultraman Tak Cukup Kalsium...
http://tinyurl.com/nomilksmallfryultramanzero