18 September 2008

Felon (2008)



Aku masih ingat, waktu itu hampir jam 1 pagi. Selepas kereta aku pakir di posisi elok di garaj, langsung aku masuk ke rumah. Aku mahu cepat-cepat lari dari suhu beku yang mencecah 2 darjah celsius. Dalam rumah, suhu aku rasakan lebih kurang saja, entah kenapa. Biasanya hangat sikit. Terus aku ke dapur seperti biasa dan sudah menjadi rutin, aku ke bilik komputer yang terletak di bahagian belakang rumah aku.

Aneh, kerana aku merasa semakin dingin. Aku ke pintu cermin belakang. Dalam kesamaran, penglihatan aku tertumpu ke luar rumah. Aku dapat melihat dengan jelas bangku terletak di posisi rapat ke pagar.

Bingung. Aku tak pasti bila masanya aku letak di posisi sedemikian. Aku amati lagi, melalui pintu kaca itu, akhirnya aku baru perasan tiada kaca yang membatasi penglihatan aku.

Ya, pintu kaca itu sebenarnya sudahpun dipecahkan. Aku sedar sekarang rumah aku sebenarnya telah dipecah masuk. Norma degupan jantung aku berubah secara drastik. Adrenalin aku mengalir deras. Maka tak hairanlah rumah aku dingin semacam. Terus aku melangkah deras ke dapur. Aku capai kapak di bawah sinki. Itu saja yang ada waktu itu. Keselamatan. Kalau diberi pilihan, chainsaw pun aku guna kalau ada.

Terus, satu persatu bilik aku periksa dimulakan dengan bilik anak aku. Aku khuatir sipenceroboh bangsat itu masih bersembunyi di mana-mana. Kau boleh bayangkan bagaimana aksi aku dengan kapak itu. Tatkala itu aku cuma fikirkan untuk mempertahankan diri, paling mustahak, keluarga aku. Takut-takut diserang membabi buta.

Kosong. Tiada siapa. Si penceroboh itu tiada. Barangkali sudah keluar. Atau sudah lari lintang pukang di saat aku pulang melalui pintu depan tadi.

Aku periksa bilik komputer. Laptop aku masih ada. Masih elok bersinkroni dengan desktop serta jaringan hardware lainnya. Ia di posisi asal atas meja sebelum aku keluar petang itu. Aku ke ruang TV, pemain dvd aku juga tak terusik. Manakala dua buah tabung siling replika gajah yang separa penuh disumbat aku juga masih tersergam di atas peti ais. Pendeknya, segalanya tak terusik.

Aku percaya, ops ceroboh itu tidak sukses secara total. Mungkin baru di peringkat awal. Segalanya terganggu akibat kepulangan aku secara tiba-tiba. Dia barangkali kesal. Dan oleh sebab aku pulang tepat pada waktunya, setidak-tidaknya menjadikan aku bukan digelar seorang pembunuh. Kalau tidak, kisah yang digarap dalam filem Felon ini akan menjadi persis kisah aku. Bezanya, dalam filem itu, si penceroboh itu mati hanya dengan satu hentakan menggunakan bat baseball. Ironinya, protagonis itu disumbatkan ke jel atas tuduhan membunuh.

Serius, aku tidak dapat bayangkan kalau aku terlewat beberapa detik. Kemungkinan besar, rumah aku bermandi darah. Setidak-tidaknya, ‘true-horror’ ini menjadi pengalaman paling getir buat aku.

Lalu kisah aku itu menjadi tajuk muka depan akhbar tempatan di sini. Tidak mustahil di Malaysia juga : “Seorang warga Malaysia di Australia ditahan, selepas berjaya mematahkan cubaan menceroboh rumah beliau awal pagi kelmarin.....” ataupun lebih dramatik : “Seorang warga Malaysia di Australia terkorban akibat pergelutan, dalam usaha........bla bla bla”.

No comments: