THE TENANTS (2006)
Dua penulis, Dua Dunia, Satu apartment. Filem yang berkisarkan tentang penulis (novel, autobiografi dll), sememangnya menguja. Ini kerana watak-watak penulis amat mudah untuk memberi rasa (itupun jika kau juga seorang penulis tak kiralah apa jenis penulisan - blog, media, akhbar dsb).
Walaupun ramai barangkali tak bersetuju dengan aku, tetapi lakonan Snoop Dogg (yang memegang watak Willie Spearmint) amat memikat bagi aku. Pembawakan watak radikal African-American gaya retro-70an, kasar, biadap, kurang ajar sangat berkesan. Gaya serangan psikologi, menjangkau keluar dari segala peradaban etika kaum (antara kulit putih dan hitam) dalam beberapa sekuens (memaki hamun si penulis yahudi – white ass mothafucka’) yang begitu menggetarkan. Filem ini juga seakan berjaya membawa kita mengimbau lagi mencorak bagaimana konfrontasi serta kemelut perkauman yang mungkin berlaku sewaktu awal era 70an di New York. Ironinya, kedua-dua penulis tersebut punya hati pada seorang wanita yang sama.
Berdasarkan novel "The Tenants" karya Bernard Malamud, filem underrated ini tidak harus dilupakan.
HAVOC (2006)
Kalau kau pernah menonton Anne Hathaway dalam produksi Disney berjudul Princess Diaries, kau mungkin terkejut melihat lakonan beliau dalam Havoc. Filem ini sepertimana karya Larry Clark, yang penuh variasi – Kids, Bully dan juga Ken Park, bertunjangkan kebobrokan moral remaja Amerika, namun dibikin dengan gaya serta plotnya tersendiri.
Tetapi ia tidak sekuat, tidak walau satupun setanding karya Clark, dari segi paparan 'keberanian' visualnya, barangkali Anne Hathaway masih belum bersedia untuk itu semua, tetapi Bijou Phillips (yang pernah berlakon di bawah Larry Clark dalam Bully) kelihatan tidak teragak-agak melakonkan sekuens gang-rape dengan agak berkesan (walaupun babak tersebut bukanlah dikatakan 'memorable'). Apapun, filem ini mungkin di tengah-tengah jurang antara mainstream dan bukan mainstream, yang mana akhirnya tenggelam ke dalam jurang tersebut.
Agak malang.
THE FAST AND FURIOUS : TOKYO DRIFT (2006)
Pertamanya, segala tentang 'kelajuan', 'fast-car', race (drift dan drag race terutamanya) adalah kegemaran aku. Dan oleh kerana filem Legend of Speed dan Initial D juga adalah antara filem kegemaran aku, maka filem ini juga mungkin tergolong sekali antara filem kegemaran aku (mengingatkan aku zaman aku gila kereta, bawak gila-gila, cilok sana-sini, lumba haram dan macam-macam lagi haha). Mungkin aku bias, kerana kau boleh katakan yang plot atau cerita sebegini amat biasa, stereotaip, ‘flawed’ sana sini tetapi aku tetap sukakannya.
Cuma yang kurang barangkali ketiadaan emosi, walaupun mainan "eye-candy" Tokyo yang agak menarik divisualkan, seolah-olah kau menonton Lost in Translation 'versi remaja'. Penggunaan CGI yang lebih baik (tampak lebih realistik, kalau dibandingkan kedua-dua versi Fast & Furious sebelumnya, malah Tokyo Drift membuatkan kedua-dua versi tersebut tampak lebih bodoh lagi.
Pengarah Justin Lin membuat homework yang baik, atau mungkin beliau juga sememangnya seorang penggemar kereta. Maka segalanya menjadi mudah baginya.
ADRIFT (2006)
Di Australia, filem ini TIDAK dijudulkan Open Water 2 (yang dikeluarkan agak lewat di sini), seperti mana versi USA, termasuk Singapura dan barangkali juga di Malaysia. Mungkin kerana mereka sedar akan kesilapan penggunaan judul sekuel tersebut yang mana Adrift tidak ada hubungkaitnya dengan filem asal. Aku juga berfikiran begitu, kerana tidak patut wujud kesangsian dalam judul sekuel, sekiranya filem kedua adalah tidak bersambungan secara langsung dari filem pertama.
Adrift mungkin boleh ditakrifkan sebuah naskhah asli, yang mana ia diinspirasi dari kejadian yang benar-benar berlaku. Kisah 6 sahabat yang terapung dilaut, buntu dalam usaha menyelamatkan diri dari mati ditelan lautan. Beberapa sekuens jelas amat baik, sangat “true-horror”, berjaya mewujudkan situasi tegang, ketakutan, panik, mendebarkan juga menimbulkan rasa resah gelisah dalam tontonannya, terutamanya tatkala mendengar tangisan si kecil di atas bot – agak begitu menyentap perasaan (hati ibu bapa mana yang tidak tersentuh). Tetapi garapan akhir filem ini ternyata agak lemah, membuatkan segala emosi yang dijana sebelum itu hilang begitu sahaja. Skrip akhirnya dilihat terlalu bercita-cita tinggi dalam usaha memprovok minda khalayak, yang mana bagi aku sangat tidak menjadi.
Kalau mahu di'mati'kan watak itu, matikan sahajalah! Apa perlu di'twist'kan pula?
No comments:
Post a Comment