27 March 2007

The Tenants, Havoc, Tokyo Drift & Adrift

THE TENANTS (2006)

Dua penulis, Dua Dunia, Satu apartment. Filem yang berkisarkan tentang penulis (novel, autobiografi dll), sememangnya menguja. Ini kerana watak-watak penulis amat mudah untuk memberi rasa (itupun jika kau juga seorang penulis tak kiralah apa jenis penulisan - blog, media, akhbar dsb).

Walaupun ramai barangkali tak bersetuju dengan aku, tetapi lakonan Snoop Dogg (yang memegang watak Willie Spearmint) amat memikat bagi aku. Pembawakan watak radikal African-American gaya retro-70an, kasar, biadap, kurang ajar sangat berkesan. Gaya serangan psikologi, menjangkau keluar dari segala peradaban etika kaum (antara kulit putih dan hitam) dalam beberapa sekuens (memaki hamun si penulis yahudi – white ass mothafucka’) yang begitu menggetarkan. Filem ini juga seakan berjaya membawa kita mengimbau lagi mencorak bagaimana konfrontasi serta kemelut perkauman yang mungkin berlaku sewaktu awal era 70an di New York. Ironinya, kedua-dua penulis tersebut punya hati pada seorang wanita yang sama.

Berdasarkan novel "The Tenants" karya Bernard Malamud, filem underrated ini tidak harus dilupakan.

HAVOC (2006)

Kalau kau pernah menonton Anne Hathaway dalam produksi Disney berjudul Princess Diaries, kau mungkin terkejut melihat lakonan beliau dalam Havoc. Filem ini sepertimana karya Larry Clark, yang penuh variasi – Kids, Bully dan juga Ken Park, bertunjangkan kebobrokan moral remaja Amerika, namun dibikin dengan gaya serta plotnya tersendiri.

Tetapi ia tidak sekuat, tidak walau satupun setanding karya Clark, dari segi paparan 'keberanian' visualnya, barangkali Anne Hathaway masih belum bersedia untuk itu semua, tetapi Bijou Phillips (yang pernah berlakon di bawah Larry Clark dalam Bully) kelihatan tidak teragak-agak melakonkan sekuens gang-rape dengan agak berkesan (walaupun babak tersebut bukanlah dikatakan 'memorable'). Apapun, filem ini mungkin di tengah-tengah jurang antara mainstream dan bukan mainstream, yang mana akhirnya tenggelam ke dalam jurang tersebut.

Agak malang.

THE FAST AND FURIOUS : TOKYO DRIFT (2006)

Pertamanya, segala tentang 'kelajuan', 'fast-car', race (drift dan drag race terutamanya) adalah kegemaran aku. Dan oleh kerana filem Legend of Speed dan Initial D juga adalah antara filem kegemaran aku, maka filem ini juga mungkin tergolong sekali antara filem kegemaran aku (mengingatkan aku zaman aku gila kereta, bawak gila-gila, cilok sana-sini, lumba haram dan macam-macam lagi haha). Mungkin aku bias, kerana kau boleh katakan yang plot atau cerita sebegini amat biasa, stereotaip, ‘flawed’ sana sini tetapi aku tetap sukakannya.

Cuma yang kurang barangkali ketiadaan emosi, walaupun mainan "eye-candy" Tokyo yang agak menarik divisualkan, seolah-olah kau menonton Lost in Translation 'versi remaja'. Penggunaan CGI yang lebih baik (tampak lebih realistik, kalau dibandingkan kedua-dua versi Fast & Furious sebelumnya, malah Tokyo Drift membuatkan kedua-dua versi tersebut tampak lebih bodoh lagi.

Pengarah Justin Lin membuat homework yang baik, atau mungkin beliau juga sememangnya seorang penggemar kereta. Maka segalanya menjadi mudah baginya.

ADRIFT (2006)

Di Australia, filem ini TIDAK dijudulkan Open Water 2 (yang dikeluarkan agak lewat di sini), seperti mana versi USA, termasuk Singapura dan barangkali juga di Malaysia. Mungkin kerana mereka sedar akan kesilapan penggunaan judul sekuel tersebut yang mana Adrift tidak ada hubungkaitnya dengan filem asal. Aku juga berfikiran begitu, kerana tidak patut wujud kesangsian dalam judul sekuel, sekiranya filem kedua adalah tidak bersambungan secara langsung dari filem pertama.

Adrift mungkin boleh ditakrifkan sebuah naskhah asli, yang mana ia diinspirasi dari kejadian yang benar-benar berlaku. Kisah 6 sahabat yang terapung dilaut, buntu dalam usaha menyelamatkan diri dari mati ditelan lautan. Beberapa sekuens jelas amat baik, sangat “true-horror”, berjaya mewujudkan situasi tegang, ketakutan, panik, mendebarkan juga menimbulkan rasa resah gelisah dalam tontonannya, terutamanya tatkala mendengar tangisan si kecil di atas bot – agak begitu menyentap perasaan (hati ibu bapa mana yang tidak tersentuh). Tetapi garapan akhir filem ini ternyata agak lemah, membuatkan segala emosi yang dijana sebelum itu hilang begitu sahaja. Skrip akhirnya dilihat terlalu bercita-cita tinggi dalam usaha memprovok minda khalayak, yang mana bagi aku sangat tidak menjadi.

Kalau mahu di'mati'kan watak itu, matikan sahajalah! Apa perlu di'twist'kan pula?

22 March 2007

Shortbus, Grimm Love, DEN, I Am A Sex Addict & Running Scared

SHORTBUS (2006)

Objektif sesebuah filem pornografi ialah memapaparkan seks untuk merangsang atau menstimulasikan nafsu syahwat penontonnya (secara relatifnya), maka Shortbus sebenarnya tidak dicipta untuk itu (walaupun tema besarnya ialah seks). Shortbus barangkali sebuah filem eksperimentasi dalam mengupas persoalan seks dari pelbagai macam sudut (heteroseksual, homoseksual, lesbianisme dll). Perhatikan sahaja teknik pembukaan filem ini, memaparkan babak "self-fellatio", "kinky" serta seks akrobatik dan macam-macam lagi, maka kau akan sedar apa lagi yang akan berlaku seterusnya. Dibikin dengan penuh bergaya oleh John Cameron Mitchell, pembawakan watak-watak yang baik (paling penuh 'manusia' sudah tentunya Sophia lakonan Sook-Yin Lee). Walaupun segala macam teknik boleh sahaja dianggap baik, (oh seperkara paling menarik ialah di klimaksnya!), namun secara peribadinya, aku tidak berapa gemarkan filem ini.

GRIMM LOVE (a.k.a Rohtenburg) (2006)

Filem ini diinspirasikan dari kisah jenayah benar yang pernah berlaku di Jerman. Grimm Love ialah seorang kanibal. Satu persoalan menarik dalam filem ini ialah adakah seseorang itu dikatakan pembunuh apabila mangsa dengan rela hati menyuruhnya dibunuh lalu dimakan? Pembentukan watak protagonisnya (walaupun boleh ditakrifkan antagonis) sangat baik – kuat, maka sifat melankolik, depressing itu kau akan rasai, tetapi struktur plotnya sungguh mendatar dan lemah (paling tepat ialah membosankan), sehinggakan kau akan berasa musykil, samada betul atau tidak jenayah semacam ini benar-benar berlaku.

DEN (2001)

Ini barangkali sebuah kisah klise – kisah pembunuh bersiri (Den) menculik 4 orang, lalu dirantai dan ditempatkan bersama. Aku fikir bajetnya sangat-sangat rendah, malah hampir tidak boleh dikategorikan dalam B-Movie. Si penculik (selaku peneraju utama) juga adalah pengarah serta penulis layarnya. Walaubagaimanapun, persoalan atau tema yang dikupas sangat-sangat menarik, ditambah dengan lakonan kelima-lima mereka yang jauh lebih baik dari beberapa pelakon mainstream yang ada. Mungkin paling tepat kalau filem ini aku katakan punya sedikit persamaan dengan SAW, namun temanya berbeza, unik dan tersendiri. Keempat-empat mangsa dijadikan bahan perbincangan, debat, yang merangkumi segala macam aspek dari peribadi, sosial, politik, perundangan hinggalah keagamaan. Dan elemen twist serta konklusi dipengakhirannya memantapkan lagi kisahnya.

Filem ini dinominasi di beberapa buah festival filem underground.

I AM A SEX ADDICT (2005)

Sekali imbas, filem ini tampak seperti sebuah lagi filem-filem pretensius seks Peranchis. Tetapi ia sebenarnya jauh berbeza, malah sangat unik, kelakar dan apa-apa lagi. Ia adalah sebuah mokumentari. Kisah sebenar yang diambil dari separa perjalanan hidup dekonstruktif pengarah serta penulisnya, Caveh Zavedi – yang juga teraju utama filem ini tentang masalahnya yang ketagihan seks. Kronologi masalahnya itu disorot sejak beliau mula mendirikan rumahtangga (sekitar 1981), sehinggalah ke saat ini. Struktur naratifnya amat memikat, sangat hilarius, kadang-kadang tampak jelek tetapi segala-galanya sangat jujur diceritakan. Menurut Caveh, tiada satupun rekaannya, kerana semua paparan itu (yang dilakonkan semula) memang pernah berlaku.

RUNNING SCARED (2006)

Filem ini aku tertinggal (atau sebenarnya aku yang sombong lengah-lengah, walaupun Quentin Tarantino sudah bilang dia sukakannya). Sepatutnya aku tonton tahun lepas lagi. Akhirnya terpaksa aku tunggu DVD Release, yang hanya keluar akhir bulan lepas. Apapun, filem ini antara yang terbaik dibikin tahun sudah, yang mana pembikin filem thriller harus tiru gaya sebegini. Malah teknik violence, fotografi, CGI dibuat lebih baik dari The Departed. Paul Walker sudah mula tunjukkan kejantanannya, tidak seperti watak undercover lembik yang dipegangnya dalam The Fast and Furious, malah Running Scared lebih pantas (fast-paced) dari Fast and Furious.