Oleh Nazim Masnawi
Aku bertakat-takat pada tahap ini korang sudah boleh berkas kaedah aku pos ulasan di Skrin - aku akan menyelang-nyelikan filem baru (atau agak baru) dengan filem yang setua mak kau. Dan filem kali ni memang setua mak kau; kebetulan, ia juga mengenai semut gergasi yang bersaiz lebih kurang sama dengan punggung mak kau.
Dan segala haru biru ini terjadi berpunca dari kesan - tak, tak, bukan hasil rabakan abah kau, tapi - ujian atomik yang dilakukan di New Mexico. Bosan hanya spesies diorang yang selalu kena pijak selama ini, para semut ini mengambil keputusan sudah tiba masanya diorang pula bangkit melenyek manusia. Pun begitu, disebabkan tak pandai cover line, sarang diorang di New Mexico habis diserang dan dimusnahkan oleh pihak tentera Amerika (hei, macam biasalah). Tapi terdapat sekor dua queen ni sempat melarikan diri, apply lesen dekat kementerian kesihatan, lalu buka SPCA untuk spesies diorang sendiri di celah-celah saluran najis Los Angeles.
Gentle cakap, biarpun sinopsis aku kedengaran agak menyindir*, Them! bagi aku adalah filem paling best dalam subgenre "raksasa terlahir dek kesan nuklear" yang cukup popular sekitar 1950-an dulu. Godzilla ke, Gojira ke, lantaklah apa yang otaku dekat luar sana nak panggil pun; semuanya kalah. Terdapat beberapa sebab kenapa Them! lebih baik, tapi aku rasa paling utama adalah keupayaannya membuat sepasukan semut gergasi ni jadi seram dan menakutkan. Maksud aku, bengkarung yang mulutnya keluar api konfem boleh mengundang bahaya, tapi semut api?
Filem seram lazimnya merupakan pernyataan terbaik bagi satu-satu era itu kerana, sedar atau tak, ia mencerminkan pemikiran dan rasa takut orang pada ketika itu. Beberapa tahun lepas, banyak filem home invasion dan torture porn keluar sebagai komentar terhadap Serangan 11 September dan Perang Terhadap Keganasan. Pada tahun 1953 dahulu, sana sini orang risau pasal bom. Tapi yang menariknya tentang Them!, para semut ni mewakili bayang-bayang komunisme sekali gus. Ini secara langsung memberi Them! kesegaran kalau korang dah sajak sangat tengok filem rupa gini - yang strukturnya tak ada lain membawa hero saintis kita yang gagah perkasa (biasalah, beb, 50-an) menemui jalan penyelesaian untuk memusnahkan sang raksasa berkenaan. Di sini manusia cuma mengharapkan senjata api saja (atau lebih tepat, penyembur api). Seorang dua saintis tetap ada, tapi hero kita yang ngamnya didatangkan dari barisan penguatkuasa ala Gerak Khas** (seorang polis, seorang lagi ejen FBI).
Setelah menonton Them! buat kali pertama di TV3 sewaktu kecil dulu***, aku tak habis-habis lari keliling rumah sambil buat bunyi para semut tu (hatta, "kree, kree, kree"). Filem ini dan King Kong (1933) yang membuatkan aku nak sangat tengok macam mana rupanya orang kena makan dengan raksasa betul-betul****. Menonton dari kaca mata dewasa, aku kagum dengan kualitinya - ia bukanlah sekadar filem sampah gred B, biarpun dianggap begitu sejak sekian lama. Tiada tongue-in-cheeknya, tiada main-mainnya, semua benda dipandang serius; baik ancaman, mahu pun karakternya. Tidak semua hero kita kekal hidup pada akhir cerita. Dan para semut itu kekal di latar sehinggalah babak ketiga, melahirkan suspens yang rasa macam nak terkeluar tulang rangka.
Jaws (1975), Alien (1979), The Thing (1980) dan Jangan Pandang Belakang Congkak (2009) perlu berbanyak-banyak terima kasih dengan filem ini.
*Apa boleh buat, hampir 24 jam aku tidak tidur bertemankan dua teko kopi.
**Memperlihatkan kemerepekan siri kepolisan ini dari tahun ke tahun, aku rasa tidak janggal jika Yusof Haslam menyelitkan plot melawan semut gergasi ke dalam satu dua episod.
***Ia ditayangkan tengah malam hujung minggu. Aku tak tahu apa demam TV3 waktu itu. Carnival of Souls (1962) pun ada main.
****Setakat ini, futej orang kena serang dengan ikan yu semua menghampakan.
No comments:
Post a Comment