Oleh Nazim Masnawi
(Okey, ini bukan filem seram, tapi skati arr! Mahhass jemput AKU ulas filem dekat sini, howkeyy, bukannya korang!!)
The A-Team adalah di antara filem yang paling bodoh bahlul aku tengok tahun ni.
Setiap sudut memang merepek gila. Pemilihan pelakon yang tak masuk akal - dengan Liam Neeson yang tahap Oscar boleh berganding bahu dengan Bradley Cooper yang asalnya cuma pelakon TV bersama ahli gusti Quentin "Rampage" Jackson dan Sharlto Copley yang berlakon sekali saja setakat ini (itu pun sekadar memainkan peranan yang lebih kurang sama dengan dirinya. Tengok ekstra DVD District 9 (2009) kalau tak percaya). Siri TV yang menjadi sumber inspirasi pula punyalah picisan, rasanya avant garde lagi karya Ahadiat Akashah. Adegan aksi yang semacam mem-fuck-you-kan segala hukum fizik Isaac Newton. Dan jalan cerita yang semacam meng-go-to-hell-kan sekalian konsep logik Zaman Kesedaran.
Bagaimanapun, memetik kata-kata Labu tentang benda-benda basi begini - "Itulah yang Pak Haji suka tu" - gentle cakap, pendapat aku sealiran dengan Pak Haji apabila tiba bab filem ini.
Semasa mula-mula mendengar tentang pengumuman projek ini, aku tak berapa berkenan. Bukan sebab The A-Team semacam kitab yang tidak boleh diubah atau apa, tapi atas sebab sebaliknya - ia tak boleh dianggap sebagai satu wacana apa pun yang wajar "dipopularkan kembali" kepada masyarakat. Pun begitu, sewaktu berteleku di panggung minggu lepas, menghadam segenap kegilaan yang pengarahnya Joe Carnahan cuba persembahkan, aku berhenti melihatnya sebagai suatu saduran atau nafas baru atau whatever, dan mula meladeni hiburan serba lunasi ini sebagai produk yang berdiri sendiri.
Beberapa minggu lepas, aku memuat turun siri TV yang asal sikit-sikit dari internet. Memori aku terhadapnya agak kabur - aku masih ingat Hannibal, Face, Murdock, B.A. Baracus, dan jip hitam tu; yang lain-lain, nah, aku tak ingat apa kejadah premisnya pun. Menontonnya semula, aku semacam tidak percaya siri TV itu boleh ada dekat seratus episod sebab setiap episod lebih kurang sama saja cerita - The A-Team adalah sebuah skuad askar upahan yang membantu orang menyelesaikan masalah mereka; itu saja. Dan memikirkannya semula, aku terlupa bahawa itulah definisi TV suatu masa dulu - sekadar alasan untuk kita tonton benda sama setiap minggu. Salah satu sebab TV sekarang semakin menarik adalah ia telah berkembang dari takuk itu, dan ironinya, filem pula mengambil alih tugas tersebut. Kebanyakan orang pergi tengok sekuel atau saduran atau nafas baru bukan kerana mereka hendak memamah pengalaman segar, tidak, tapi kerana mereka sendiri mahukan benda-benda klise begitu. Mereka mendambakan keseronokan menonton produk baru dengan jiwa dan perasaan yang tidak ada beza dengan pengalaman-pengalaman sebelumnya. Mereka yang Robert Zemeckis copkan sebagai audiens McDonald's.
Dan dengan aku sudah menonton filemnya, suka cita dimaklumkan bahawa para pembikinnya tidak lupa untuk memberi homaj kepada siri asal, tapi mereka juga tidaklah begitu terikat dengan setiap elemen. Filem ini berfungsi sebagai hikayat asal usul (well, aren't they all these days?), maka banyaklah diubah untuk membariskan versi karakter ini di tempat masing-masing. Dalam siri asal, mereka semua pernah berkhidmat untuk Vietnam, tapi kali ini, dek jurang usia yang agak luas, filem ini terpaksa melakukan beberapa aksi poco-poco dalam naratifnya untuk membuatkan mereka bersatu pada permulaan cerita, lalu membentukkan mereka sebagai sebuah pasukan tentera supaya mereka boleh diletakkan di dalam satu situasi yang berfungsi sebagai basis untuk seantero siri TV-nya.
Kepada yang sudah terlupa akan siri TV asal, tidak ada apa yang perlu ditelaah. Seperti yang dikatakan, ia adalah produk yang mampu berdiri sendiri. Ia berkisar tentang sebuah skuad komando yang dianiaya atas kesalahan merompak dan membunuh pada hari-hari terakhir perang Iraq. Untuk membersihkan nama yang diconteng arang, mereka terpaksa bertawaf ke sekalian lubang cacing tatkala mengelak serangan daripada pihak penguasa tentera dan kerajaan. Hatta... well, itu sajalah kisahnya - kisah yang lebih kurang sama dengan The Losers (2010); lengkap dengan seorang fratboy lahanat yang menjadi dalang segalanya. Kedua-duanya juga dilakonkan oleh tespian yang aku minat, cuma di sini adalah Patrick Wilson dan bukan Jason Patric. Memang aneh kalau kau tengok terdapat banyak elemen - dan aku bukan bercakap dari segi struktur cerita semata - yang sama dalam kedua-dua filem itu.
Perbezaan yang paling jelas adalah The Losers agak sempoi dan old-school, menitikberatkan karisma dan persefahaman antara para pelakon daripada adegan aksi. The A-Team pula dibikin atas dasar kegilababian stail dan skop. Kedua-dua filem ini aku boleh layan dengan cara berbeza. Keempat-empat pelakon utama The A-Team berkacak sendiri, dan biarpun agak bagus secara individu, aku tak rasa mereka bernafas dalam dunia yang sama. Liam Neeson entah macam mana kebelakangan ini boleh jadi pelakon dalam kategori gagah, tapi aku tak terkejut sangat mengenangkan fizikalnya yang gila gedang di samping keterampilan yang membuatkan kau percaya dia boleh mengepalai grup seperti ini. Aku tahu Mr. T adalah ikon budaya pop, dan aku faham kenapa, tapi siapa boleh sangkal dia adalah pelakon yang gila jahanam. Terus terang cakap, bakat lakonan "Rampage" Jackson sejuta kali ganda lagi bagus daripada Mr. T, dan dia membawa watak B.A. Baracus dengan gaya tersendiri - garang macam celaka tapi setia, dan lebih mengetengahkan kekuatan otot dari otak yang lazimnya diserah kepada rakan lain. Bradley Cooper, seorang pelakon yang gila bosan sampailah dia hadir dengan The Hangover (2009), memainkan peranan Face dengan karisma yang secukup rasa. Lepas ni kalau Hollywood nak cari hero bangsat yang kau tak boleh nak menyampah, inilah orangnya. Pun begitu, pelakon yang membuatkan aku paling ternanti-nanti adalah Sharlto Copley. Biarpun mendengar pelbagai cerita yang tak best mengenai sikap tak profesionalnya sepanjang penggambaran, aku rasa pemilihannya sebagai Murdock memang gila menarik. Sebagai pilot yang, bukan konon, tapi memang betul-betul gila dalam pasukan ini, aku rasa memang kena dia bercakap dengan aksen yang bertukar-tukar setiap dua minit; menutup loghat Afrika Selatan Copley tatkala menambah lagi kemerengan watak tersebut.
Aku adalah peminat tegar pengarah Joe Carnahan. Narc (2002) adalah di antara filem jenayah yang terbaik dekad lepas, sementara iklan BMW-nya Ticker (2003) adalah yang aku paling suka dalam siri itu (ya, mengalahkan Wong Kar-Wai, Alejandro Gonzalez-Innarritu, arwah John Frankenheimer apa semua). Walaupun jiwa dalam kedua-dua karya itu langsung tidak ada dalam The A-Team, ia memberi justifikasi kepada Carnahan sebagai pengarah pilihan untuk buat filem bodoh musim panas begini. Dia menerajui filem ini seperti budak-budak darjah empat yang membayangkan filem The A-Team dalam kepala otak mereka sendiri, dan sikap pakai belasah dalam adegan aksinyalah (sekali lagi, macam budak-budak yang melaga-lagakan model Combat mereka) yang membuatkan ia cukup menghiburkan. Terdapat satu babak di pertengahan cerita, melibatkan sebuah kereta kebal "terbang" yang semacam mengikhtisarkan ton filem ini. Dan kalau kau tak boleh terima adegan ini, kau - walau letak pistol di kepala - takkan suka filem ini. Aku tak rasa filem ini boleh membuatkan penonton rasa suka tak suka - sama ada "best ah" atau "suck ah." Full stop.
Menontonnya di panggung umum, reaksi audiens aku tengok memang hebat. Semua orang suka gila dan ada yang siap bertepuk tangan bila habis cerita. Aku kira inilah yang penonton nak dari sesebuah filem pada musim panas yang agak mengecewakan ini - sebuah produk bodoh Hollywood yang sedar ia adalah produk bodoh Hollywood yang tanpa segan silu mengaku ia adalah produk bodoh Hollywood.
Ya, The A-Team punyalah self-aware, aku terkejut tak ada karakter yang, bak kata orang putih, breaking the fourth wall dan terus bercakap dengan kita. Aku betul-betul berharap korang tonton filem ini. Pada saat aku menulis resensi ini, aku masih tersenyum lebar mengingatinya; dan pada musim filem yang tak ngam begini, aku kira itu adalah satu anugerah.
No comments:
Post a Comment