02 April 2010
The Sadist (1963): Sadis, Seksis, Nihilis, Gila Babis
Oleh Nazim Masnawi
Dihasilkan sedekad sebelum Badlands (1973), filem The Sadist mengambil inspirasi kisah Charles Starkweather (seperti The Natural Born Killers (1994) dan beberapa elemen dalam The Frighteners (1996) sesudah itu) tentang seorang lelaki yang menjelajah ke serata Amerika bagi melakukan siri pembunuhan suka-suka bersama kekasihnya yang baru datang haid dua tiga round. Bergerak mengikut masa sebenar, filem ini bermula apabila kereta yang dinaiki oleh tiga orang guru sekolah (yang dalam perjalanan untuk menonton sebuah perlawanan besbol) rosak tiba-tiba. Mereka kemudian terjumpa sebuah bengkel kosong bersama-sama dengan pembunuh tersebut dan temanitanya - yang terdahulu sudah pun mengekah empunya bengkel. Hatta, bermulalah konfrontasi. Si pembunuh (lakonan Arch Hall Jr. dari Eagah (1962)*) memaksa salah seorang guru tersebut membaiki keretanya supaya dia dan kekasihnya boleh belah dari situ, tapi para guru itu tahu sebaik sahaja kerja membaik pulih tamat, begitu juga dengan hayat mereka di dunia ini.
Apa yang menarik tentang filem ini adalah betapa moden dan bagus penghasilannya, lagi-lagi memikirkan ia hanyalah karya picisan untuk drive-in gitu. Gaya penggambaran yang cukup ke hadapan merupakan ramuan utama ke-best-annya, berkat ihsan bakal pemenang Oscar Vilmos Zsigmond** (sebagai William di sini) yang melakukan kerja pertamanya di Amerika menerusi filem ini. Komposisinya kemas selalu, dan banyak POV dan pergerakan kamera sikit-sikit yang menarik - pan yang berseni di sini, glide yang tersirat di sana - ini memberikan The Sadist skop yang ia tak patut dapat... yang ia tak layak dapat pun.
Filem ini lazimnya agak suspens dan nihilistik; bahayanya sentiasa terasa, biarpun Hall dok kunyah scenery macam kambing jumpa kertas. Menonton The Sadist dewasa ini, aku kagum dengan kekejamannya - pada era penerbitannya, ia pasti merupakan sesuatu yang gila babi punya gila babi; torture porn bagi generasi mak bapak kita. Filem ini jauh sekali grafik, tapi penyeksaan yang dilakukan oleh Hall ke atas para guru itu amatlah personal dan zalim, seperti adegan dia merobek pakaian seorang guru wanita ini dan memaksanya meratah lumpuh - ugh, impaknya sama seperti adegan rogol Monica Belucci dalam Irreversible (2002). Unsur real time yang ditonjolkan secara halus juga membantu menambah gundah gulana di sepanjang durasi filem.
Tidak dinafikan, memang mudah untuk kita mentertawakan lakonan dalam filem-filem tidak bergred begini, tapi lakonan bodoh-tanpa-had Hall merupakan salah satu faktor keberkesanan The Sadist pada hari ini. Secara sinikal, maksud aku. Kalau tidak ada unsur terlampau ini, serius filem ini akan menjadi sebuah filem yang serius semata-mata; tak kisahlah betapa moden zahirnya pun, pacing cerita tetap perlahan nak mampus mengenangkan latar azalinya. Hall secara tidak langsung membawa banyak hilai tawa (dan percayalah, memang banyak) ke dalam adegan-adegan yang asalnya cukup statik, tapi dia juga agak bagus dalam sesetengah bahagian yang kekal menggigit biarpun 50 tahun telah berlalu. Terdapat satu babak, dengan pistol di tangan, Hall memaksa seorang lagi guru berlutut dan bercakap sebanyak mana yang dia boleh bercakap - dan percayalah, apabila Hall meneguk habis air berkarbonatnya di tangan satu lagi, bercakap itu sendiri bukan lagi suatu kemungkinan bagi guru tersebut. Tak tahulah bagaimana syot orang minum air berkarbonat boleh menjadi begitu seram, tapi kamera Zsigmond memberkas setiap nuansa babak tersebut menjadikan Hall begitu menggerunkan apabila dia tidak berusaha "melakonkan" kegerunan itu. Bak kata Gene Hackman, "It's not about the performance itself (apabila bercakap tentang lakonan yang bagus); it's about how the performance being captured."
Setakat ini aku belum jumpa The Sadist dalam format DVD cetak rompak, tapi kau boleh saja muat turun dari internet (seperti aku) atau tonton terus di YouTube. Ia bukanlah sebuah "filem best", juga bukan sebuah karya klasik yang dilupakan; barang kali ia boleh dilihat sebagai buah tangan yang bagus sahaja - atau kritikan terhadap pembikin filem Malaysia yang selalu menggunakan bajet dan produksi kecil sebagai alasan membuat kerja-kerja malas (aku tahu peha siapa yang terasa sakit sekarang). Dengan sehelai sepinggang, filem ini berjaya dibikin dengan dinamik dan efektif. Ya, efektif; kurang-kurang pandangan kau terhadap air berkarbonat akan berubah selepas menonton filem ini.
*Aku belum berpeluang tengok, tapi dengar kata ia adalah cult classic dalam kategori "it's so bad it's good."
**Untuk filem The Deer Hunter (1978).
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment