Oleh Nazim Masnawi
Sesetengah filem memang dilahirkan sempurna, meskipun dihurung ralat sana sini. Bunyinya seperti bercanggah, tapi realitinya kadang kala kekurangan dan kecacatan itulah yang menjadikan satu-satu seni itu indah, dan sinema pun tiada bezanya.
Memang penting untuk mengetahui bahawa filem yang sempurna itu tidak semestinya bagus, dan filem yang bagus juga tidak semestinya sempurna. Sesebuah filem itu boleh menjadi hancur lebur dengan sempurnanya (seperti The Room (2003) arahan Tommy Wiseau). Ia hanya perlu dilaksanakan dengan kesesuaian dan ketepatan sehingga kau sudah tidak nampak apa lagi yang perlu diubah.
Dan aku percaya filem Paul Verhoeven, Starship Troopers juga begitu.
Dalam filemografinya, Paul Verhoeven telah menghasilkan dua filem satira sai-fai yang subversif. Semua orang dapat tangkap subteks Robocop (1987), tapi kebanyakan orang menganggap Starship Troopers tiada lain hanyalah propoganda fasis yang disulami lakonan dan naratif entah apa-apa. Aku pun sama pada mulanya, sehinggalah abang sulung aku kembali memperkenalkan ia pada pertengahan dekad lalu tatkala apresiasi aku terhadap filem kian matang dan kempen Perang Terhadap Keganasan (oleh Amerika) kian memuncak.
Demi Tuhan, timing abang aku tidak mungkin lebih tepat dari itu - filem ini bukan sahaja terbaik malah sempurna apabila aku melihatnya dari kaca mata lebih luas, dan ia secara langsung adalah analogi Perang Terhadap Keganasan yang keluar bertahun-tahun sebelum Perang Terhadap Keganasan tercetus. Ini bukan fakta yang direka-reka. Memetik kata-kata Paul Verhoeven sendiri: "There was a Washington Post editorial that it was a fascist movie, and that was also on the front pages of all the European newspapers. It took some time for people to realise it was really - I think the situation in Iraq might have clarified certain things. It was a certain, not hidden critique, but our feelings on what American politics could be - and they became that way. So I think it was certainly underrated then, but I have the feeling people now are looking at the movie in a different way. Maybe you could describe it as prophetic, although that would be too much honour!"
Tapi aku percaya filem ini layak mendapat "honour" tersebut. Setiap planet yang manusia pergi kelihatan seperti Afghanistan. Serangan ke atas Buenos Aires adalah Serangan 11 September. Segala jingoisme dan keganasan yang diterapkan mencerminkan pentadbiran Bush*. Lebih hebat, filem ini dibuka dengan saranan bahawa semua terjadi berpunca daripada manusia sendiri, dan dengan menjadikan umat serangga itu sama bangkai, sama bahaya, sama ganasnya - tidak ubah seperti puak Taliban dan rejim Saddam Hussein - membuatkan ia lebih relevan.
Aku sebenarnya tidak berniat hendak menonton semula Starship Troopers secara menyeluruh baru-baru ini - aku hanya kepingin menatap tetek Dina Meyers setelah dia muncul di dalam episod CSI: Miami minggu lepas - tapi sekali berita fiksyen pembukanya bermain, aku tidak boleh berhenti. Aku juga tidak boleh berhenti tengok betapa lawak dan ganas adegan aksinya, betapa (sekali lagi) bahlul lakonannya (gila, Denise Richards berlakon lari pun tak reti), dan betapa berat-tak-berat satira politiknya. Semua dilakukan dengan penuh terperinci dan sesedap rasa; dalam erti kata lain, dengan sempurna.
Di Malaysia kita gemar membandingkan sutradara tempatan dengan barat. P. Ramlee dilihat sama dengan Charlie Chaplin, begitu juga gemulah Yasmin Ahmad dengan Eric Rohmer; Aziz M Osman dengan Steven Spielberg**; Prof. A Razak Mohaideen dengan Ed Wood; Yusof Haslam dengan Reni Riefenstahl. Aku kira sudah tiba masanya - pada era siasah nasional yang semakin kacau kini - kita mendoakan kemunculan Paul Verhoeven edisi kita pula.
*Hei, siapa boleh lupakan semangat bahlul ini: "I'm from Buenos Aires and I say we kill 'em all!"
**Tapi ini dulu punya cerita, beb. DULU.
No comments:
Post a Comment