Oleh Nazim Masnawi
Ini merupakan entri pertama aku di blog... tidak, laman web filem seram terbaik di muka bumi, Skrin kelolaan saudara Mahhass. Jadi bersempena dengan itu, aku mengambil keputusan tidak mahu membuat ulasan lazim tentang filem seram yang baru keluar di panggung atau DVD; sebaliknya, aku akan beronani dengan huruf Rumi mengenai salah satu filem seram kegemaran aku yang terbaru.
Memang sukar membayangkan aku hanya berkesempatan menonton Phantom of the Paradise, sebuah filem muzikal komedi seram erotik aneh (ambik kau, Metrowealth!) yang diinspirasi dari Faust, kira-kira setahun lalu di rumah abang aku. Sejak itu aku sudah menonton filem ini berjuta kali tatkala tercari-cari memorabilia Phantom di internet, berbincang dengan rakan sepejabat tentang mengadakan parti Halloween+Aidil Fitri supaya aku boleh berpakaian ala Winslow Leech namun bersongkok, dan sudah tentu, merekomennya kepada sesiapa yang aku kenal, dan memutuskan hubungan dengan sesiapa yang cakap dia tak suka (ya, seperti yang dialami oleh famili aku sekarang).
Bagaimanapun, aku percaya kau sebagai peminat horror gerenti akan menyukai filem ini tahap karma.
Swan adalah seorang impresario misterio di sebalik empayar rock and roll negara. Dia mencipta dan mengubah trend muzik terkini, dan seantero rakyat memandangnya seperti Sifu M. Nasir (zaman pra Mawi, sekurang-kurang). Untuk membuka teater rock utopianya yang bernama The Paradise, Swan memerlukan sebuah maha karya. Muncul Winslow Leech, seorang komposer lurus bendul yang sedang menghasilkan Faust versi kontemporari. Swan menciplak lagu Leech lalu mengenakannya sehingga motherfucker itu dipenjara. Sewaktu di balik tirai besi, Leech terdengar lagunya seakan didendangkan oleh Daughtry bersama Taylor Swift di radio. Berbulu, Leech melarikan diri dan hampir-hampir mati sewaktu berusaha menjatuhkan nama Swan. Dengan wajahnya yang kini habis hodoh macam Syaitan, dia mula datang mengganggu The Paradise dengan pakaian superhero-bondage beserta helmet berbentuk burung (ya, kedua-duanya: Haiwan dan organ kau).
Tetapi Swan tidak ubah seperti Khairy Jamaluddin dalam dunia hiburan; tanpa sedar jadinya, Leech kembali berada dalam rangkulannya – terkurung di dalam sebuah bilik, membanting tulang menyiapkan versi Faustnya. Sementara itu, nafsu Swan mula berbangkit kepada Phoenix, seorang penyanyi wanita yang Leech memang suka sejak dulu. Dan tidak dilupakan juga, kehadiran ternanti-nanti the Iblis himself.
Phantom, terus terang cakap, memang brilliant. Dan pelik. Ia bukan jenis filem yang boleh dihasilkan pada hari ini oleh studio besar mengenangkan tonnya yang berselerak sana sini – berubah-ubah dari slapstik ke melankolik ke mistik ke simpatatik. Dan setiap kali filem ini hampir bertukar menjadi sebuah karya Prof. A. Razak Mohaideen, Prof. Diraja Brian De Palma kita berjaya menyelamatkan keadaan.
Muzik filem ini dihasilkan oleh Paul Williams, alumni The Muppet Show yang juga menghasilkan lagu Kermit the Frog, Rainbow Connection. Dia turut berlakon sebagai Swan the Babi, dan ini merupakan pilihan menarik memperlihatkan parasnya yang genit, kebudak-budakan namun sekali gus creepy as hell. Buah tangannya dalam kedua-dua aspek ini tidak menghampakan. (Namun muzik filem ini dipersembahkan dengan gaya diegesis bak Dreamgirls (2006) – tiada watak yang tidak semena-mena pakai belasah nyanyi, dan kesemua lagu, biarpun yang berkumandang sewaktu montaj dan sebagainya, datang dari ciptaan Winslow sendiri untuk Faust.) Muzik Williams memberat kepada stail rock kapak – dia ada tulis untuk The Carpenters lagipun – dan dari mewarnai filem ini dengan sekalian muzik metal seperti jangkaan semua, ia sebaliknya diseluruhi dengan irama yang beralunan; tapi beralunan ala T.Rex la, bukan berkeroncongan.
Jessica Harper (Suspiria (1977)) memang, secara harfiah dan figuratifnya, cantik sebagai Phoenix, dan William Finley hebat dalam saling bertukar watak sebagai Leech dan The Phantom, tapi anugerah pelakon terbaik (atau terlebih, kau pilih) filem ini harus diberi kepada Gerrit Graham, memainkan watak mat rock gay yang paling gay dalam dunia, Beef. Serius lawak, serius merepek, dan serius gempak; terutamanya sewaktu menyanyikan lagu kegemaran aku di dalam filem ini, Life at Last yang digayakan seperti persembahan epik KISS berulamkan Alice Cooper macam tu.
Phantom boleh dilihat sebagai sebuah satira, muzikal, sebuah episod Death Wish (1983), komedi, tragedi dan horror. Dan sebagai filem De Palma, homaj Hitchcock juga tidak ketinggalan (di sini adegan mandi Psycho (1960) menjadi ilham). Pendapat aku, inilah filem yang mendefinisikan erti cult: Tidak ramai yang pernah tonton, tapi setiap yang menonton akan menghargainya sampai ke liang lahad besok. Ia juga penuh dengan ayat-ayat klasik seperti setiap filem Tarantino yang ada, dan mengetahuinya akan meletakkan engkau di dalam kelas elit sekali dengan Edgar Wright (ini adalah salah satu filem kegemarannya. Bahkan, aku tertarik pun kerana Edgar punya festival The Wright Stuff ada menayangkannya dulu).
Akhir kata, aku merayu kepada kau agar cari filem ini; beli, muat turun, curi, rompak, buat lokanan semula, minta salinan dekat aku, apa saja. Percayalah, produk akhirnya tidak akan mensia-siakan usaha kau walau sedikit pun.
Nota SKRIN : Nazim Masnawi boleh dihubungi atau berinteraksi di Blognya, atau juga secara langsung di Twitter mahupun di Facebook.
No comments:
Post a Comment