03 November 2011

Trespass (2011) - Filem Yang Kasi Aku Stress, Bak Kata Orang Putih, In a Bad Way

Oleh Nazim Masnawi

Dengan kelahiran semula blog Skrin*, aku ingat hendak menjadi pengulas filem elitis dengan cara tersendiri. Yakni, hanya menulis tentang filem genre yang benar-benar terasing dan tidak didendang orang; bukan yang sedang galak ditayang di pawagam. Kemudian, aku tersedar ini bukan blog aku, tapi blog Mahhass. Aku hanya penulis tamu di sini, dan aku tidak rasa misi utama Mahhass membuat blog ini adalah untuk menyisihkan lagi orang; sebaliknya mendekatkan lagi khalayak dengan sekalian filem seram di luar sana, tak kisahlah yang cult mahupun berarus utama.

Malangnya, aku terpilih filem Trespass untuk merasmikan lembaran baharu ini.

Trespass adalah sebuah filem home invasion yang cikai. Segala pengisiannya pernah digarap jauh lebih baik dalam filem-filem sealiran terdahulu. Nah, aku kira IQ mamat tiga line paling rendah pun mampu membayangkan idea yang bernas lagi. Filem ini teramatlah bosan, repititif, jauh di bawah standard kedua-dua bintang utamanya, namun sajak betul dengan jenama sutradara Joel Schumacher. After all, dia sebelum ini pernah mengarahkan The Number 23 (2006), salah satu thriller yang paling jahanam dalam sejarah tamadun manusia.

Plot asas filem ini saja sudah klise habis. Kyle Miller (Nicolas Cage) ialah seorang broker berlian yang gila kerja. Dia sudah lama tak berapa layan zahir dan batin bininya, Sarah (Nicole Kidman) yang sekadar suri rumah (tapi memperlihatkan wajah Kidman dewasa ini, aku kira dia juga bekerja sambilan sebagai iklan botox bergerak). Sarah berusaha keras mempertahankan rumah tangganya dari roboh. Namun masalah jauh hati Kyle ditambah lagi dengan kederhakaan anak remajanya, Avery (Liana Liberto) dari sehari ke sehari. Avery, maaf cakap, seorang bohsia. Dan pada suatu malam, dia ikut seorang anak lord ni, Jake (Nico Tortella) membongkar peti simpanan ayah mamat berkenaan yang tersimpan dadah. Namun seliar-liar Avery, dia mengambil keputusan untuk pulang saja. Dalam pada itu, Sarah ada membeli sehelai lingerie untuk mengembalikan kehangatan hubungannya dengan Kyle. Malangnya, dia tak sempat nak pakai; dan malang sekali bagi audiens, kita tak sempat nak layan aurat Kidman lebih-lebih sikit.

Ini kerana rumah mereka diserang. Tidak semena-mena, namun ada diberi bayangan sedikit kerana... well, dah itu ceritanya. Penceroboh itu terdiri daripada empat orang: Jonah (Cam Gigandet); abangnya, Elias (Ben Mendelson); awek Elias yang penagih dadah dan penari bogel, Petal (Jordana Spiro); dan seorang mamat yang tak stabil ni (Dash Mihok). Perlahan-lahan kita mula sedar yang mereka tahu setiap inci tentang Kyle, Sarah dan Avery: Nama mereka, tabiat, nombor surat beranak, warna kegemaran, dan terutamanya barangan yang Kyle ada di balik pintu peti besinya: Berlian dan wang tunai berjumlah sejuta dolar. Mengenangkan sekor-sekor bertopeng, permintaan mereka mudah saja: Buka serta kosongkan peti itu dan mereka akan berambus. Namun Kyle tidak percaya yang dia dan familinya akan dibiarkan hidup, jadi dia enggan mengikut arahan. Dengan itu sebagai kuasa tawar-menawar, konflik tercetus kerana para penceroboh itu ingat benda ini boleh selesai dalam tempoh 15 minit.

Hatta, berlakulah rundingan penuh jerit di antara kedua-dua pihak, satu dua usaha cabut lari yang jadi tak jadi, dan lebih penting, pendedahan tentang hubungan sebenar di antara famili itu dan para penceroboh. Secara spesifik, dakwaan bahawa ada orang telah main kayu tiga dari segi peribadi mahupun profesional. Elias juga mempunyai alasan tersendiri hendak mengenakan famili itu, terutamanya Sarah. Alasan itu tidak masuk dek akal langsung, namun dia tetap berpegang teguh kerana aku kira sudah termaktub di skrip. Jonah turut mempunyai sebab tidak bersetuju dengan abangnya. Seperti yang dijangka, ini membawa kepada pertelingkahan di antara pada penceroboh itu sendiri. Hati tercalar dan satu dua mayat turut terkulai. Sementara itu, Kyle dan familinya sedang melunaskan pelan terbaik untuk keluar dari rumah itu hidup-hidup.

Trespass bukanlah filem jahanam, tapi sebagai thriller, ia cukup mudah dijangka, derivatif dan langsung tidak mengujakan. Jika kau tolak tepi kedua-dua pelakon Oscar kita, ia tiada lain hanyalah sebuah telefilem Hallmark yang kau terpaksa tengok tengah malam kerana remote Astro terlalu jauh untuk dicapai. Selain dari kena bercakap lebih laju dari larian Usain Bolt di mukadimah dan bertukar semburan air liur dengan Elias sekali-sekala, Kyle tiada sebarang kekuatan untuk dikembangkan Cage. Kebanyakan masa dia asyik dibelasah, diikat, diugut, dan di-kau-pun-tahulah-resmi-home-invasion-macam-mana.

Kidman juga tak ada apa sangat. Dia ada momen yang agak suspens dengan Elias dan sebuah alatan hospital yang dibawanya sebagai ancaman, tapi aku tak faham kenapa pistol yang tersedia ada tidak mencukupi. Mungkin ini ada kena-mengena dengan punca kebenciannya terhadap Sarah yang entah apa-apa. Ben Mendelson boleh tahan over-acting sampai bergegar projektor dia kerjakan**, namun ini menjadikan Elias watak paling fun di sini. Sebagai Jonah, Cam Gigandet ialah Cam Gigandet - memegang peranan sebagai mamat konon seksi tetapi bahaya yang semacam obses dengan famili itu. Para wanita dan para Nizam Zakaria di luar sana pasti gembira tengok dia pakai seluar mandi sahaja pada suatu ketika. Selain itu, tiada apa yang boleh diperkatakan. Aku kira inilah bukti bahawa karier Schumacher sudah jauh tersungkur ke dalam longkang. Dengan Cage dan Kidman sebagai tulang belakang pun, dia tidak mampu menghasilkan sesuatu yang berbaloi masa kau.

*Yang aku percaya akan mati semula dalam satu dua ulasan lagi.

**Serius! Di pawagam yang aku tengok, setiap kali dia menjerit - maksud aku setiap kali - gambar di layar akan bergetar sikit.

4 comments:

KatANoTA said...

tengok poster, filem ni mcm klise jer..sama mcm filem popcorn hollywood yg len..tapi baca review ni..rasa mcm teruja plak nak tengok huhuhuh

PRICE TAGGED said...

mcm best jer

Anonymous said...

Video Lawak Bila Ultraman Tak Cukup Kalsium...
http://tinyurl.com/nomilksmallfryultramanzero

Unknown said...

Perkenalkan, saya dari tim kumpulbagi. Saya ingin tau, apakah kiranya anda berencana untuk mengoleksi files menggunakan hosting yang baru?
Jika ya, silahkan kunjungi website ini www.kumpulbagi.com untuk info selengkapnya.

Di sana anda bisa dengan bebas share dan mendowload foto-foto keluarga dan trip, music, video, resepi dalam jumlah dan waktu yang tidak terbatas, setelah registrasi terlebih dahulu. Gratis :)