Oleh Nazim Masnawi
Puasa sudah bermula, tiba masanya untuk kita keluar berseronok, bergembira dan layan ganja sepam dua. Tapi tunggu! Sebelum engkau nyalakan api itu, fikirkan akibatnya. Kau mungkin akan terlibat dalam kemalangan jalan raya. Mungkin juga kau akan merogol seseorang. Atau paling teruk, kau mungkin akan bermain piano gila babi punya laju.
Ya, ini adalah di antara beberapa kemungkaran yang kau boleh lihat dalam Reefer Madness, sebuah filem propaganda yang kemudian berubah menjadi filem exploitation yang kemudian berubah lagi menjadi filem komedi cult. Dibiayai oleh sebuah badan gereja pada 1936 di bawah tajuk Tell Your Children, filem Amerika ini berkisar tentang bahaya yang perlu ditanggung oleh sesiapa yang memandai-mandai hisap ganja. Filem ini kemudian dibeli dan disunting semula sebagai komoditi exploitation. Terdapat banyak filem seperti ini dalam pasaran tersebut – filem-filem yang sepatutnya memberi kau amaran tentang bahaya pengaruh dadah dan alkohol, tapi sebenarnya hanya alasan untuk tunjuk barang-barang dalam kain yang tidak boleh lepas sebarangan (objektif genre ini menjadi jelas dengan filem Mom and Dad (1945). Filem ini dipersembahkan sebagai sebuah kisah teladan seks bebas, dengan jaminan bahawa penonton akan melihat kupasan eksklusif kehidupan seorang bohsia macam tu. Penonton terkejut beruk (ada yang rasa gerun, tapi aku rasa ramai sebenarnya teruja) melihat gambaran eksplisit bayi dilahirkan. Betul-betul klasik).
Kemudian, Reefer Madness hilang selama beberapa dekad (setelah diberi pelbagai nama termasuklah Love Madness) sebelum ditemui semula pada tahun 1971 oleh pengasas NORML (National Organization for the Reform of Marijuana Laws) di dalam American Library of Congress. Dia mula menayangnya kepada kaki-kaki high di kampus universiti yang sebaliknya menjadi kian high melihat lakonanya yang hancur, cerita yang entah apa-apa dan paranoia umum tentang bahaya ganja yang sebenarnya tidaklah sebahaya mana. Dan jika tidak kerana Reefer Madness, produksi New Line Pictures (yang kemudian menjadi New Line Cinema) barang kali tidak akan wujud – kompeni ini mula berkembang dengan menayangkan filem tersebut di serata kolej segenap Amerika.
Bayangkan, jika tidak kerana filem ini tidak akan ada Freddie Kruger dan The Lord of the Rings (2001-2003).
Legasi Reefer Madness terus kekal hingga ke hari ini. Aku percaya hampir sekalian kaki ganja di Amerika pernah menonton filem ini; maka dengan penuh tanggungjawab, aku rasa sudah tiba masanya ia dibawa kepada kaki ganja negara ini pula. Filem ini dengan mudah boleh dimuat turun dari Youtube mengenangkan ia bukan hak milik sesiapa. Ada juga versi warna (siap didatangkan dengan komentari), sebuah sekuel (ini aku tidak pasti bagaimana rupanya) dan juga sebuah saduran yang diterbitkan tahun 2005 lakonan Alan Cumming dan Kristen Bell (boleh tahan, tapi terlalu self-aware). Dan biarpun Refer Madness kini telah menjadi sebahagian dari budaya popular, ia kekal sebodoh dan selawak seperti semua PKM di luar sana yang hakikatnya bernenekmoyangkan filem ini.
Jadi sekarang, siapa sudi menukar Syukur 21 atau Maut menjadi filem exploitation pula?