03 July 2004

Ulasan Filem : Berlari ke Langit (2004)

Berlari ke Langit"Berlari-lari 'anak' Ke Langit"

Oleh Fadz


Kalau di Hollywood, filem ini bolehlah ditulis sebagai 'the most anticipated movie by the acclaimed director, Bada Hj. Azmi'. Filem ini memang, antara filem yang ditunggu-tunggu tayangannya (sampai, ada orang macam aku berkira, filem ini boleh menang besar di FFM-17, dan ini hanya kerana menonton 'gezet'nya). Malah Azwan juga memberitahu, "Tengok sajalah posternya. Mana ada filem Melayu yang menjual lelaki sebagai tarikan simbol seksnya (Rosyam Nor berambut panjang dengan baju kemeja terbuka). Bukankah itu satu perubahan dari yang 'biasa-biasa'?".

Aku, Azwan dan Ina menontonnya pada Selasa lepas. Takut kalau-kalau filem ini diserbu (aku tahu, sekarang ramai yang menyerbu Spiderman 2, antara filem yang aku nak tunggu sampai demam mengada-ngada warga 'the in crowd' reda) kerana reputasinya, aku beli awal-awal untuk tiket pukul 6.20ptg. Tapi aku silap. Aku ingat filem ini akan diserbu hebat seperti mana yang berlaku pada Pontianak. Bukannya ia takde penonton- ada (aku tahu, peminat Rosyam Nor, Bada, orang yang nak tahu siapa Fasha, ramai hari tu, yang kebanyakannya berumur dalam awal 30 dan lewat 20), tapi ia tidaklah sehebat yang ingin menonton Pontianak.

Yang menarik untuk dikatakan, bagi aku dan Azwan adalah bagaimana reaksi manusia 'orang kita' menonton filem ini, kerana, aku boleh kata, filem ini 'lain sedikit' dengan gaya filem biasa Melayu (juga ada 'lembabnya' yang agak mengambil kesabaran aku pada awal satu jam dan pertengahan filem ini, tetapi tidak untuk Azwan). Filem ini tidaklah berat, hanya ia ada menggunakan beberapa gaya yang agak 'baru' untuk pembikinan filem Melayu. Seperti babak akhir filem ini apabila 'roh' watak adik kandung Rosyam bersebelahan Rosyam di kubur. Ramai penonton yang menyorak, "La, ingatkan dah mati!", yang sememangnya Bada agak pandai 'bermain' dengan akal penonton kita apabila 70% dari penonton petang itu percaya watak adik Rosyam masih hidup.

Lebih menariknya lagi tentang filem ini adalah, ia bolehlah dikatakan sebuah filem yang mempunyai pelbagai 'lapisan'. Filem ini boleh dilihat sebagai hanya sebuah filem biasa tentang cinta, tentang penyesalan kerana cinta, tentang perjalanan untuk memilikinya dan benteng-benteng yang harus dihadapi kerana ingin memilikinya. Tetapi terjemahan lain yang boleh dilihat dalam filem ini ialah, ia sebenarnya mengajak kita, sebagai penonton, untuk melalui satu perjalanan rohaniah, (perjalanan di sini bolehlah dikira sebagai satu pilihan jalan, yang mana ia sama erti dengan 'tariqat' dalam tasawuf, yang juga makna tersuratnya adalah 'jalan' atau 'the way'), mengajak penontonnya membawa 'roh' kita dari satu tempat ke satu tempat yang lain (maka di sini, makna 'Langit' bermain di kepala kita), mungkin lebih cantik, lebih tinggi dari tempat sebelumnya.

Dan bagaimana caranya ia berbuat begitu? Ia mengajak kita menyelami watak Rosyam Nor sebagai Indra, yang baru 'bangun dari mati' (dalam tasawuf, untuk seseorang mengetahui 'hakikat' dan rahsia 'keramat'nya, mereka terpaksa melalui 'kematian'), atau terselamat dari 'chaos' (seakan baru bebas dari dosa, atau bala). Maka di sini, elemen-elemen air (sebagai unsur kehidupan, ujian dan kemurkaan Tuhan, elemen-elemen ini penting dan unik untuk filem-filem Melayu kerana ia tidak hanya menunjukkan unsur semula jadi alam, tapi adanya hubungan utuh manusia dengan Tuhan atau kewujudan Tuhan sangat dekat terhadap hambaNya. Seakan Tuhan mendengar kalbu hambaNya dan bertindak terhadap hambaNya secara terus. Perkara ini sangat sufi pendekatannya.

Elemen air juga memainkan peranan penting kerana suasana filem ini berkenaan dengan nelayan, maka rezeki mereka di 'air') tanah, angin dan api dimainkan untuk memperlihatkan 'rasa dan semangat' antara Indra dan Tuhan. Diuji, menguji, menghampiri dan menjauhi (makna 'Ihsan' penting di sini). Ini boleh sahaja ditonton, dengan amat puitis sekali dibuat oleh Bada dalam beberapa mis-en-scene di awal filem ini:

1. Siang, redup - waktu Indra bertemu kekasih hati dan tiba-tiba mendapati dia sudah bertunang dengan orang lain.

2. Angin bergolak - Indra mencarik layarnya, dirinya runsing dengan apa yang dia ketahui.

3. Hujan ribut bergolak - Scene 'flashback' menunjukkan bagaimana kapal Indra boleh karam dan dijangka dirinya mati. Indra ditunjukkan terkapai-kapai di atas kapal, menayangkan Tuhan sedang membuat kerja 'menyuci/menguji' hambaNya.

4. Hujan di tepi jalan - Indra dalam basah kuyup, tiba-tiba berjumpa Fasha Sandha yang cuba mencari pertolongan kerana keretanya tersumbat dalam lubang (lihat, unsur tanah dimainkan di sini). Tuhan seakan-akan ingin Mempertemukan dua insan ini. Kebaikan Indra (yang boleh dianggap mulia) telah membuat Fasha terpaut.

Memang silap-silap, mis-en-scene tadi boleh juga nampak seperti sebuah babak dalam filem hindustan. Tapi dengan tangan Bada, filem ini menjadi puitis sepuitis filem-filem Indonesia seperti Pasir Berbisik atau Bulan Tertusuk Ilalang (antara filem kegemaran Erma isteri Bada). Ina dapat melihat perbezaanya apabila, antara babak yang dia suka benar dalam filem ini (selain dari tangkapan fotografinya yang amat cantik, berkesan dan menjadi 'lagu sebenar' filem ini) adalah perbezaan babak waktu Indra membiarkan dirinya terapung dalam air (menonjolkan hatinya penuh kehidupan) dan babak dia membiarkan dirinya kaku baring di atas batu (menonjolkan hatinya mati).

Konflik, pertemuan tidak diduga, pemilihan masa depan, antara unsur yang dimainkan dalam filem ini membawa kita pada konsep qada' dan qadar berlaku (atau dalam inggersinya 'the art of fate and circumstances' seperti dalam filem Three Colors: Red) dan kewujudan Tuhan sebagai si Pemanipulasi dapat dirasai. Maka, dalam perjalanan Indra untuk mencapai 'cinta'nya, beliau terpaksalah memilih (sewaktu satu babak waktu Indra berjalan dengan adiknya, dan tiba-tiba mereka berjalan di jalan yang lain, menunjukkan semangat dan pilihan Indra waktu itu), jalan yang mana dan adab yang mana harus diikuti supaya 'halangan-halangan' ini dapat dilalui.

Aku beritahu Azwan, bagaimana filem ini, seperti signifikasi Layla Majnun, memaparkan ia sebenarnya satu perjalanan rohaniah untuk seorang hamba menemui Penciptanya. Seperti Majnun, Indra akan mengambil satu perjalanan 'pencarian' yang tidak masuk akal (malah, tiada sesiapa yang melarangnya. Dalam tasawuf ada konsep seorang murid terpaksa melawan tabii norma atas desakan gurunya untuk menemui rahsia hatinya)- mencari 'kekasih'nya di bandar.

Sesuatu yang menarik lagi, Bada di sini menonjolkan perbezaan jelas antara suasana bandar dan kampung. Kampung, walaupun penuh ujian dan cerca, ia seakan lebih syurgawi nafasnya. Manusia hidup dalam keadaan majmuk, perselisihan akan terpadam secara tiba-tiba. Di bandar, seperti yang biasa dilakukan oleh para pembikin filem, ia digambarkan sebagai satu 'babylon', bernafas neraka, penipuan (berkenaan dengan tugas Syaitan Laknatullah), siksa dimana-mana. Maka Indra, dengan hati yang mulia dan telus, cuba melaluinya untuk mencapai 'kekasihnya'.

Rosyam NorRosyam Nor adalah 'teraju utama' dalam filem ini. Filem ini memang dibuat untuk dia. Kuasa emosi, mental dan fizikalnya berbaur membuatkan lakonannya dalam filem ini antara lakonannya yang paling cemerlang dan dinamik yang pernah aku tonton. Fasha Sandha juga agak bagus. Mungkin aku agak tidak menyukai suaranya yang agak garau, tetapi mainan matanya dan fizikalnya amat berkesan. Kadang-kadang, dengan melihat wajahnya yang penuh senyuman, kita tahu dia seorang bidadari yang banyak merahsiakan.

Pelakon-pelakon pembantu yang lain juga sangat baik, lebih-lebih lagi pelakon yang memainkan watak sebagai penagih dadah. Lakonannya sama tahap 'method acting' yang kita lihat dalam filem-filem Barat. Tapi aku tak tahu, kenapa aku tak begitu suka gaya lakonan Danial yang tidak bersahaja. Hanya pada akhir babak filem ini, waktu dia mengeluarkan air mata, dia tampak seorang pelakon yang benar-benar 'merasai' wataknya (hahaha, sakit AF!!).

Kalau begitu, kenapa filem ini tidak menang besar pada malam anugerah FFM-17? Aku agak menyebelahi pihak juri FFM tahun ini kerana sebab-sebab tertentu. Pertama, kerana lagu synchronizer 'asyik' yang meleret-leret (juga antara penyebab buat aku mengantuk menonton filem ini), tanpa henti-henti mengeluarkan perasaan mendayu-dayu telah menghambarkan 'kuasa sebenar' filem ini.

Kita semacam diarah untuk menonton filem ini sebagai 'hanya sebuah drama tangis syahdu ala "tearjerker Esok" Jins Shamsuddin'. Ina dan Azwan juga, langsung tidak tersentuh dan menangis (aku ternangis, ops, waktu klimaks filem ini, hehe) kerana (dan aku agak menyokong) Bada seakan terlalu mencuba, membina dari satu babak ke satu babak memaksa penontonnya mengeluarkan air mata, membuatkan elemen-elemen sedih yang sepatutnya membawa pada 'showdown' yang penuh air mata (macam Titanic) kepada fikiran runsing dan tidak sedap hati. Unsur 'nihilistic' ini yang sudah biasa dalam filem Melayu amat bergetar dalam filem ini, antara unsur yang membuat Azwan 'pissed-off' dengan filem ini.

Antara babak yang tidak masuk akal adalah waktu Fasha mendapati Rosyam dan watak adiknya berada di konsert Siti Sarah di TV untuk masa yang agak lama! Azwan agak betul apabila dia katakan, mungkin produser filem ini cuba memendekkan masa untuk Bada menyelami lagi karyanya (Azwan memang suka filem yang ambil masanya untuk bercerita), maka 'plot hole' yang dilihat tidak dapat diperbaiki lagi (tetapi di sini terdapat signifikasi qada' dan qadar itu di mana dengan permintaan adik Indra terlaksana menemui 'kekasihnya' dan kerana Indra mengorbankan masanya, maka Indra ditayangkan pada Fasha).

Azwan ada berkata pada aku bahawa filem ini banyak meniru gaya penggambaran dalam filem-filem Jepun. Azwan mengatakan, kerja Bada agak gagal apabila gambaran seperti awan yang berarak tidak ditonjolkan 'bergolak' atau bergerak seperti dalam filem-filem Jepun. Aku pelik juga mendengar keinginan Azwan ini kerana, sudah diketahui, geografi, musim dan angin Jepun dan Malaysia tidak sama. Mana ada di Malaysia, kita dengan senang boleh lihat awan-awan berarak laju? Bagi aku, penggambaran dalam filem ini sudah cukup bagus menonjolkan negara kita, iklim dan budayanya.

Antara isu (secara peribadi) yang aku tidak gemar dalam filem ini adalah penonjolan Fasha tanpa bertudung yang menunjukkan kepandaiannya "Ayah saya mengajar agama di Mekkah (adakah ini bermakna ayahnya seorang Wahabi?), saya sendiri belajar di UIA". Memang tidak salah untuk pertonjolkan, memakai tudung bukan bermakna baik, tanpa tudung bukan bermakna Syaitan. Tapi hukum tetap hukum (walaupun ini realiti di Malaysia, kebanyakan kaum wanita melihat memakai tudung itu satu tuntutan 'budaya' dan bukan 'agama'), walaupun bagaimana 'Hadari' anda mahu jadi. Seperti seorang kawan aku pernah berkata: Lauk yang disaji atas meja, satu di bawah tudung, satu di luar, yang mana anda tak tergesa-gesa merasanya? Aku tidak ada masalah dengan sesiapa yang tidak ingin memakai tudung (kecuali isteri aku, haha), itu hak dan kebebasan mereka, diberi iktiraf oleh kerajaan Malaysia. Tapi dengan penonjolan imej Fasha ini yang agak provokatif (malah dia bukan pun seorang yang benar-benar 'alim dalam ilmu fiqh, hanya 'belajar' saja di UIA untuk jadi seorang guru), ramai para wanita akan berkata, ah, memang tudung menudung ini permintaan kaum si dominasi, lelaki, maka kenapa perlu ikut kata mereka?

Ops, maaf, berdakwah pula. Tapi, bukankah itu bagus? Filem sebegini boleh mengeluarkan isu-isu begini? Dengan itu, filem ini bolehlah dianggap antara yang terberani dan 'ke hadapan' untuk Bada, walaupun banyak konsep yang beliau pernah guna (seorang watak berserban dan jubah yang busuk hati, hidup kaum nelayan, seorang watak yang 'menyendiri' dari masyarakat tapi amat baik budi pekertinya...ini elemen dalam sebuah tele drama hari raya korban Bada yang dilakonkan oleh Lydiawati sebagai ibu pada budak itu. Adakah ini pernceritaan riwayat Bada sendiri?) ada dalam filem ini, sekurang-kurangnya beliau lakukan beberapa perubahan. Dan persoalan Qada' dan Qadar itu? Akhir filem ini agak mencuit hati (dan ditutup dengan cantik sekali sepertimana ia dibuka dalam babak yang sama) apabila suara Indra memberi tahu, kalau bukan kerana adiknya, dia tidak dapat bertemu kembali dengan kekasihnya yang satu.

No comments: