04 December 2003

Ulasan Filem (DVD): Gigli (2003)

GigliOleh Mahhass

Sebelum menonton filem ini, saya seringkali tertanya-tanya apakah yang dimaksudkan dengan Gigli tersebut. Rupa-rupanya, ia merupakan nama watak yang dipegang oleh Ben Affleck dalam filem ini, yang digandingkan bersama 'bekas' teman wanitanya, Jeniffer Lopez (tatkala saya menulis ini, JLO sudahpun ditinggalkan 'terlebih dulu' oleh Affleck, walaupun sewaktu penggambaran filem ini mereka masih menjalinkan perhubungan).

Bagi yang sudah menonton, pastinya sedia maklum akan sebutan Gigli yang sebenarnya disebut 'Ji-Li' atau 'Geely' dalam filem ini.

Filem Gigli diarahkan oleh Martin Brest, dikeluarkan oleh Sony Pictures serta diklasifikasikan “R” berikutan menampilkan banyak unsur-unsur seks, dialog pervasif serta sedikit adegan yang saya fikir ganas lakonan Al-Pacino yang memegang watak sebagai Starkman yang hanya muncul dipenghujung filem ini.

Saya akui yang saya meminati lakonan Ben Affleck sejak filem Armageddon (1998), seterusnya filem Reindeer Games(2000), Changing Lanes (2002), Sum of All Fears (2002), dan akhir sekali filem Daredevil (2003) yang digandingkan bersama Jeniffer Garner (Alias).

Ben Affleck memegang watak sebagai Larry Gigli, bersikap sedikit angkuh dan saya tidak pasti apa sebenarnya pekerjaan yang dia lakukan, selain ditugaskan untuk menculik seorang budak terencat akal iaitu Brian lakonan Justin Bartha yang kira sangat baik lakonannya. Ben Affleck kali ini membawa watak humor yang pada saya, lakonannya mungkin boleh dipuji. Beliau ditemukan dengan JLO yang memegang watak sebagai Ricki, yang juga ditugaskan untuk menolong Gigli menjaga budak terencat akal tersebut.

Saya kira, hasil dari skrip filem yang tak tentu arah ini, menjadikan lakonan JLO sangat teruk berbanding filem sebelumnya seperti filem Enough, walaupun beliau kelihatan cukup seksi dalam filem ini.

Filem ini dilihat hanya seolah-olah bertujuan menemukan JLO dan Affleck dilayar, berikutan kisah hubungan kedua-dua yang menjadi bahan komersil bagi sesetengah pengeluar filem yang mengambil kesempatan mengaut keuntungan ke atas populariti pasangan Hollywood sensasi ini.

Tidak ketinggalan juga fenomena yang sama berlaku di Malaysia seperti filem Cinta Kolestrol dan Mr. Cinderella 2 yang kini sedang ditayangkan. Tidak perlulah saya mengulas lebih lanjut kerana anda sendiri boleh membaca ulasan atau kritikan filem tersebut di weblog sultanmuzaffar.

Gigli dipenuhi dengan dialog seksual yang saya kira kurang sesuai diperdengarkan khususnya para remaja belasan tahun. Tidak ada apa yang menarik pada storyline filem ini. Larry Gigli bersungguh-sungguh cuba memikat Ricki secara seksual, namun beliau kesal kerana Ricki sebenarnya lebih berminat kepada kaum sejenisnya atau lebih tepat lagi, beliau ialah seorang lesbian.

Maka, banyaklah dialog seksual serta aksi-aksi ghairah Ricki yang ditampilkan dalam filem ini. Saya tidak pasti pula samada filem ini ditayangkan atau tidak di Malaysia memandangkan filem ini berbaur seks walaupun tidak banyak 'adegan' seks ditonjolkan.

Pengarah yang juga penulis filem ini cuba menyuntik sekaligus unsur komedi, romantik, drama, seksual, cemas dan juga aksi ke dalam filem ini namun apa yang dilihat hasilnya menampakkan satu kegagalan. Walaubagaimanapun, saya akui terdapat beberapa adegan dalam filem ini sememangnya melucukan namun tidak berupaya menutup keburukan bagi keseluruhan filem ini.

Apapun, yang pasti sekarang ini, Gigli sudahpun menjadi sejarah untuk Lopez & Affleck.

SKRIN Rating: C- (1/5)