27 October 2011

Rubber (2009) - Tayar Cerita Banyak

Oleh Nazim Masnawi

Kau pun tahu ini adalah cerita seram pasal tayar yang membunuh. Itu memang tidak syak lagi. Tetapi Rubber hakikatnya lebih dari itu. Dan aku tidak bermaksud dengan nada perli atau ironi atau tahi yang sama waktu dengannya; tapi dengan kejujuran yang tidak terperi. Absurdis, bijak dan cukup kemas krafnya, Rubber adalah sebuah kisah tayar pembunuh, tetapi ia juga sebuah kajian, bak kata orang putih, self-reflective tentang wasilah di antara penonton dan filem. Ya, ia adalah sebuah filem art mengenai tayar yang secara kinetiknya suka terbabokan kepala orang.

Kadang kala apabila sesebuah filem itu dijek lebih-lebih di internet, kau yakin ini kerana faktor coolnya semata-mata. Faktor cool ini terus dapat dilihat di pembukaan Rubber yang tersangatlah pelik dan tersangatlah tiba-tiba - dengan sebuah kereta melelong-lelong di tengah gurun lalu melanggar sebaris kerusi yang tersusun. Ia berhenti dan seorang sherif keluar dari bonet lalu berceramah panjang tentang aspek penting sesebuah filem kepada sekumpulan penonton di balik tirai - cukup perfek sebagai persediaan terhadap segala yang bakal mendatang. Aspek yang dibincang oleh sherif itu adalah bagaimana kebanyakan hal dalam filem terjadi tanpa sebab-musabab langsung. Dia memberi beberapa contoh yang gila merepek sebelum kembali masuk ke dalam bonet dan berlalu. Para penonton itu - yang terdiri dari kalangan remaja, orang berkerusi roda, perempuan mulut becok, nerd yang gemuk dan sebagainya - kemudian mengalih pandangan ke gurun. Dengan menggunakan teropong yang diberi oleh pengurus mereka di situ, kelihatan sebiji tayar yang lama ditinggalkan tiba-tiba hidup lalu bergerak meladeni dunia tatkala semangat membunuh di dalam dirinya mula terbit.

Pengarah Quentin Dupiex - yang asalnya penerbit muzik - telah menghasilkan filem yang benar-benar pelik, hebat, lawak dan mengujakan. Sebahagiannya adalah sebuah filem genre, sebahagian lagi adalah komentari terhadap filem genre, dan sebahagian lagi adalah parodi filem genre; dan setiap satunya dikupas dengan cukup eksplisit. Para penonton itu berdiskusi tentang kelogikan dan praktikaliti hal yang sedang ditonton (termasuklah sama ada tayar akan terapung atau tenggelam jika termasuk ke dalam kolam) sementara Dupieux merakam kisah yang ditonton itu sebijik macam slasher sebenar. Dan semua itu menjadi - komentari metanya, lawak tayar pembunuhnya; termasuklah konsep genre tayar pembunuh itu sendiri.

Faktor penting kehebatan filem ini juga terletak pada barisan pelakon utamanya. Mereka memainkan peranan dengan ton yang cukup kena, dan pemilihan kasting oleh Dupiex juga berkesan. Stephen Spinella ialah bintang kita. Menjadi si sherif, tugasnya adalah memburu tayar pembunuh tersebut dengan kesedaran bahawa ini semua sajian buat para penonton itu. Dia seakan mendefinisikan erti dead-pan dengan dialog yang diutarakan bertukar-tukar di antara serius dan lawak dalam nada sama. Tanpa Spinella, aku kira garisan ton yang cuba dimainkan Rubber pasti tidak sebegitu sukses.

Elemen satu lagi yeng penting ialah Jack Plotnick sebagai The Accountant, pengurus penonton itu yang mempunyai kepalatannya sendiri. Plotnick menyampaikan monolog yang fantastik pada akhir-akhir cerita, dan cara dia memainkan peranan The Accountant gerenti akan membuatkan semua orang suka untuk menyampahnya.

Tidak lupa juga, Wings Hauser sebagai Man In Wheelchair, penonton yang jelas lebih bijak dari "cerita" yang sedang ditontonnya itu. Aku malas nak tabur sebarang spoiler di sini, jadi aku tidak boleh kupas dengan mendalam tentang Hauser; namun terus terang cakap, aku tak pernah tengok watak OKU dibawa dengan sebegini... err, lain.

Dan sudah tentu akhir sekali, Robert, si tayar pembunuh. Mendapat kredit sendiri pada akhir cerita dengan selayaknya, tayar tersebut dihidupkan dengan kesan khas praktikal yang mahir, dan aku percaya beberapa catan digital yang komplikated (biarpun kedua-dua tampak sebati). Tayar tersebut, percaya atau tidak, adalah sebuah karakter yang benar; malah, mempunyai arc. Dia melalui proses kesedarannya sendiri, jatuh cinta dengan awek Perancis yang sedang merentasi gurun itu, dan mengalami kebangkitan politikal apabila dia bertekad menggunakan kuasa membunuhnya untuk menghukum manusia atas khilaf mereka terhadapnya. Inilah kepakaran Ray Harryhausen dulu dalam menghasilkan karakter-karakter stop motion, tapi yang membuatkan aku lebih tabik spring kepada Dupiex dan pasukan kesan khasnya adalah Robert tidak mempunyai sebarang riak. Seperti tayar sebenar, dia hanya berguling sana sini dan mungkin pusing sekali dua untuk tengok orang. Emosi yang paling jelas kita boleh lihat pada Robert adalah sewaktu dia nak letupkan kepala orang - berdenyut sikit sementara muzik perlahan-lahan bertukar kepada kresendo.

Adegan kepala meletup dibikin dengan cukup menggelikan dan menggalakkan. Meskipun banyak komentari meta untuk mencabar minda intelektual di kalangan audiens (hei, seperti pembaca blog ini), ia juga penuh dengan adegan suspen dan seram untuk mencabar kemahuan berhibur (hei, juga seperti pembaca blog ini). Rubber adalah sebuah filem cult yang perfek - lawak, aneh-aneh, bijak dan tersangatlah unik. Seperti maha karya absurd di luar sana, Rubber adalah sejenis filem yang para peminat genre macam tak percaya orang boleh buat, namun tetap menghargai kehadirannya.

Race With the Devil (1975) - Berlari Dari Neraka

Oleh Nazim Masnawi

Aku tak tahu macam mana filem ini boleh terlepas dari pandangan aku selama ni. Kali pertama aku menonton Race with the Devil, yang Warren Oates dan Peter Fonda naik RV dan bergasak dengan geng sembah syaitan di sepanjang Texas, adalah pada hujung minggu lalu; apabila aku cuba memuat turun Beat the Devil (1953) tapi sebaliknya dapat filem ini.

Bagaimanapun, itu tidak menjadi masalah kerana aku suka gila hasil yang aku dapat. Maksud aku, c'mon la, ada Warren Oates, okey? Seperti biasa, dia secara praktikalnya berkubang dalam arak sepanjang filem ini. Dan seperti biasa, dia bertutur dengan penuh lalok, tak ikut rentak dan macam aneh-aneh. Dia berkahwin dengan Loretta Swit (dengan isteri sehodoh itu, patutlah dia mabuk memanjang), dan berkawan baik dengan Peter Fonda. Kedua-dua sahabat itu merupakan pelumba motor lasak*. Suatu hari, mereka semua (termasuk bini Fonda) membuat keputusan untuk pergi bercuti dengan meng-RV dari San Antonia ke Aspen, Colorado.

Tapi belum sempat mereka betul-betul nak berhedonis, keadaan bertukar sebaliknya - setelah berhenti di tepi jalan untuk melelapkan mata dan layan alkohol sepam dua, Oates dan Fonda menyaksikan satu upacara penyembahan syaitan yang berakhir dengan penyembelihan seorang wanita. Mereka melaporkan perkara itu kepada polis, namun tiada siapa yang dapat membantu. Hatta, perjalanan diteruskan dengan setiap langkah yang mereka ambil diikuti rapat oleh para penyembah syaitan berkenaan.

Plot Race with the Devil sebenarnya tak masuk dek akal langung, tapi ia sarat dengan momen-momen lawak lagi pelik yang akhirnya membawa kita ke adegan kerja-mengejar cukup hebat - RV yang dinaiki para hero diserang oleh 20 bijik kereta. Stunt klimaksnya aku kira di antara yang terbaik pada era itu, dan jika filem ini agak lembap terkadang waktu (meskipun jarang kerana keanehan Oates dan Fonda gerenti akan kekal memaut perhatian kau), segalanya berbaloi dihadam untuk sampai ke konklusi ini.

Race with the Devil jelas dibikin ketika fenomena sembah syaitan ni semua naik sekejap sekitar 70-an dulu. Ia keluar tak lama selepas The Exorcist (1973) dan beberapa tahun selepas Rosemary's Baby (1968). Visi sembah syaitan dalam filem ini agak pening kepala, kabur dan tak realistik; tapi dalam masa yang sama cukup seram dan cool. Meskipun bertemakan kesyaitanan, jangan berharap sesuatu yang menduga iman sangat dengan elemen seks dan ganas melampau - Race with the Devil adalah sebuah filem untuk tontonan umum, dan boleh saja ditayang di Golden @ 2 tanpa banyak sangat tapisan; kecuali bila tiba close up muka Loretta Swit.

*Yakni dirt bike. Filem ini ditulis oleh Lee Frost yang turut menghasilkan filem The Thing with Two Heads (1972) dan Dixie Dynamite (1976). Kedua-dua filem itu juga mempunyai tema dirt bike berpusar di sana sini. Bak kata orang putih, what a weird fucking fixation.