30 September 2004

Ulasan Filem : Resident Evil – Apocalypse (2004)

Oleh Mahhass

Sebelum saya dan Fadz melangkah masuk ke panggung petang tadi, kotak minda kami sudahpun diprogram rapi – (kami faham filem kedua ini dikutuk habis-habisan oleh pengkritik barat -mereka dah tonton dahulu seminggu dua lepas – jadi bukan salah kita, salahkan pengusaha wayang Malaysia kenapa lambat). Jadi kami menontonnya kerana ini adalah antara genre kegilaan kami... (oo yes pastinya sebab zombie).

Kami juga sepakat untuk mengatakan yang filem pertamanya adalah antara genre horror yang terbaik tahun 2002. Jadi itu amat-amat mempengaruhi kami untuk menonton sambungannya.

Kita semua tahu bahawa kerja mengadaptasi sesebuah video-game ke layar lebar sememangnya diakui bukan tugas yang mudah. Seperkara penting yang setidak-tidaknya mesti ada ialah plot asalnya. Tidak kurang juga watak-watak yang terkandung di dalamnya.

Walaubagaimanapun, struktur naratif tidak semestinya disusun selaras ataupun dipindahkan bulat-bulat ke dalam filem. Kenapa? Kerana apabila dibuat sedemikian rupa, maka hasilnya akan menjadi seperti sekuel Resident Evil ini – menjadi agak luar dari jangkauan logikal minda, hambar walaupun sarat dengan non-stop action, karakter-karakternya menjadi pelik malah segalanya tampak kartunistik, slapstik ataupun istilah saya yang terbaru – terlalu CGIstik... (boleh gitu?)

Barangkali sekuel ini dibikin khas bagi tidak menghampakan pengikut atau penggemar video-gamenya, yang dahulunya bising-bising, kutuk-kutuk oleh sebab filem pertamanya agak menyimpang dari plot originalnya. Tapi tak apalah... kerana saya sendiri pun pernah merasai betapa kecewanya menonton filem House of The Dead sebelum ini (yang juga diadaptasi dari video-game) – itu tidak termasuk Tomb Raider dan juga Mortal Kombat. Bagaimanapun, Resident Evil 1 boleh sahaja berdiri dengan filemnya sekalipun tidak berlandaskan 100% video-game.

Di tangan pengarah baru Alexander Witt, adalah tidak wajar jika saya meletakkan segala kelemahan di bahunya kerana filem ini masih ditulis oleh pengarah filem pertamanya, Paul Anderson. Sudah lumrah tugas seorang pengarah yang tugasnya hanya melayarkan apa yang sudah dinaskhahkan.

Pun begitu, seperti yang saya katakan tadi, barangkali masalah plot asal yang sebenarnya membelenggui mereka walaupun kebanyakan adegan dalam filem ini sarat dengan homage ke atas trilogi "Dead" (walaupun tidaklah se'subtle') George Romero terutamanya Dawn & Day of The Dead - (tidak lupa juga Zack Snyder), Lucio Fulci (Zombie 2 & City of The Living Dead - ketika adegan mayat bangkit dari kubur – pelik juga memikirkan bagaimana mayat-mayat dalam kubur boleh dijangkiti T-Virus tersebut).

Tidak lupa juga Boyle untuk 28 Days Later – sewaktu adegan suspens di dalam gereja yang akhirnya di'rosak'kan oleh aksi Alice yang muncul 'terbang' secara tiba-tiba dengan motornya melalui tingkap lalu membunuh makhluk yang lidahnya sepanjang anaconda.


Antara watak-watak lain yang tidak dikembangkan dengan baik


Barangkali itu sahajalah yang berupaya membangkitkan nostalgia saya sewaktu menonton filem ini. Lain-lain, saya hanya layan seribu satu paparan shock serta aksi-aksinya kerana segala elemen horror seolah-olah hilang tatkala Nemesis muncul di pertengahannya.

Sayang sekali kerana ia dibiarkan hilang malah tidak lagi dirasai sehinggalah ke akhirnya. Maka yang tinggal hanyalah klise tentang perbalahan serta kejahatan manusiawi. Bukankah kita sudah mulai bosan dengan itu semua?

29 September 2004

Ulasan Filem : SUPER SIZE ME (2004)

Oleh Mahhass

Fast-food barangkali boleh dianggap sebagai budaya pemakanan baru Malaysia bermula sejak akhir dekad 80an. Bukan setakat di kota, bahkan ia kini sudah mula dilihat menular ke sub-bandar seluruh Malaysia. Satu ketika dahulu, ia dianggap sebagai 'makanan mewah' atau makanan orang kota, tetapi anggapan sedemikian tidak lagi relevan di masa sekarang. Buktinya, kita boleh lihat percambahan francais-francais syarikat gergasi ini dengan begitu pesat sekali di luar bandar.

Adalah tidak menjadi satu kemustahilan jika di masa 20 tahun akan datang, fast-food (McDonalds misalnya) akan menjadi sebahagian menu seharian kita - sebagai makanan asasi masyarakat menggantikan nasi dan sebagainya andainya generasi baru (anak-anak) 'dididik' dari masa sekarang. Tidak mustahil juga jika menu nasi akan diperlekehkan oleh generasi ini suatu hari nanti. Maka timbul persoalan tentang sejauh mana budaya fast-food ini memberi kesan terhadap kita khususnya dari aspek kesihatan. Adakah budaya pemakanan ini sihat lagi menyihatkan?

Lantaran itu seorang warga amerika, Morgan Spurlock, telah berminat untuk membikin sebuah filem dokumentari bagi menyingkap jawapan kepada persoalan ini. Beliau melakukan eksperimen terhadap dirinya sendiri, iaitu menjadikan hanya makanan segera McDonalds sebagai menu hariannya tanpa menyentuh sebarang makanan lain. Eksperimen yang bercorak RealiTV ini mengambil masa selama 30 hari. Meskipun hanya 30 hari, namun kesannya benar-benar menakutkan!

Bagi menyokong segala usahanya, beliau mendapatkan khidmat beberapa orang pakar nutrisionis, kardiologis serta pakar-pakar lain yang terlibat secara tidak langsung, sebagai bukti sokongan eksperimen yang dijalankannya.

Filem dokurealiti terbitan produksi indie di bawah arahan Morgan Spurlock yang juga selaku bahan utama eksperimen ini berjaya menggegarkan syarikat gergasi McDonalds. Lihat saja bagaimana drastiknya perubahan kesihatannya sejurus selepas memasuki minggu pertama lagi. Selain peningkatan berat badan, kadar kolestrol juga menunjukkannya berada di tahap bahaya sehinggakan beliau dinasihatkan agar tidak meneruskan kerja yang dianggap gila tersebut.

Jika sebelum ini, Michael Moore telah berjaya mendedahkan teori konspirasi politikal dalam Fahrenheit 9/11 serta realiti tabiat buruk masyarakat amerika dalam Bowling For Columbine. Pun begitu, impak serangan yang ditimbulkan barangkali hanya ke atas Amerika, kehangatannya tidak terlalu di rasai di luar Amerika.

Tidak kurang juga dengan program RealiTV yang bersilih-ganti di kaca televisyen – yang memperjuangkan siapa bakal juara, siapa yang patut dikeluarkan, juga menonton sekumpulan manusia di sebuah pulau berbalah-balahan, yang lebih teruk lagi apabila melihat pesertanya menangis kita pun turut sama menangis. Itu semua hanya sekadar hiburan, non-educational malah tidak mampu merubah kehidupan penontonnya (barangkali mengubah dari segi kewangan).

Namun, Super Size Me dilihat begitu berbeza sekali kerana ia bukan setakat dirasai, malah sebuah satira yang menguja lagi menggetarkan. Ia sarat dengan ilmu (seolah-olah menonton saluran Discovery Channel) malah tidak mustahil untuk merubah persepsi masyarakat kita terhadap budaya fast-food ini. Ia juga boleh dinilai sebagai sebuah pendistorsian budaya yang benar-benar berkesan.

Dan saya percaya, dokurealiti ini pasti akan menjadi igauan ngeri pemilik syarikat gergasi McDonalds serta yang seangkatannya di Malaysia. Maka benarlah kata orang bahawa realiti sememangnya pahit.


Morgan Spurlock melakukannya 3 kali sehari 30 hari berturut-turut. Sanggupkah kita?


Nota : Filem ini telahpun menggondol anugerah Sutradara Terbaik dalam Sundance Film Festival 2004 serta memasuki beberapa festival filem antarabangsa.