30 April 2004

Ulasan filem Pontianak Harum Sundal Malam (2004)




Maya Karin dalam Pontianak Harum Sundal MalamNota: Saya sarankan agar anda menontonnya terlebih dahulu sebelum kembali untuk membaca ulasan ini. Bagaimanapun, ianya terpulang pada masing-masing samada menganggap ulasan ini berbaur 'spoiler' atau semata-mata sebuah pandangan dan kata hati penulis. Harap maklum. - mahhass.

Oleh Nizam Zakaria


Jika diberi tajuk filem terbaru arahan Shuhaimi Baba; "Pontianak Harum Slut Malam" sudah tentunya filem ini akan digam. Jadi sesuailah filem ini dinamakan "Pontianak Harum Sundal Malam". Itu pun, kalau tak salah saya, pada mulanya, nama ini telah mendatangkan kontroversi. Perkataan "sundal" dikatakan tidak sesuai digunakan.

Syukurlah filem ini lambat-laun dapat dibikin dan diselesaikan, dan akhirnya dapat saya tonton semalam di dalam acara pratonton Pontianak Harum Sundal Malam (HSM) yang telah diadakan di GSC MidValley.

Pontianak HSM menceritakan tentang Meriam, seorang primadona yang berjaya menawan ramai hari yang menyaksikan tarian gamelannya. Sewaktu menari, beliau mampu terapung dengan sendirinya, ala David Blaine, ahli silap mata muda dari Brooklyn, New York.

Pada tahun 1947 di Kampung Paku Laris, dua orang bersahabat, saudagar Marsani (Azri Iskandar) dan Danial (Sharonizam) sama-sama jatuh hati kepada Meriam (Maya Karin). Tetapi Meriam akhirnya menerima Danial.

Meriam terbunuh ketika beliau sedang sarat mengandung. Bukan itu sahaja, suaminya Danial pula mati di tengah laut. Marsani kecewa dan rasa bersalah ke atas kematian Meriam. Dalam pada itu, Kampung Paku Laris mula diserang dengan kejadian aneh di mana penduduk-penduduknya mati dibunuh dengan kejam. Puntianak yang menyerang kampung dikatakan jelmaan Meriam yang ingin membalas dendam dirinya yang telah dibunuh ketika sedang sarat mengandung.

Penonton kemudian dibawa ke masa kini. Marsani yang masih hidup terus diganggu oleh beban peristiwa yang pernah dilaluinya pada waktu yang lalu. Marsani yang obses dengan rentetan cintanya yang tak berbalas ditambah lagi dengan rasa takut bahawa keturunannya akan dihapuskan oleh Meriam, mengambil keputusan untuk melawan usia tuanya. Dengan bersungguh-sungguh beliau menjalani pembedahan plastik dan rawatan ozon ala Micheal Jackson (Ini bukan "spoiler", tapi bila fikirkan Marsani, saya teringatkan kepada kepelikan Micheal Jackson, terutamanya di bahagian akhir filem).

Munculnya seorang gadis bernama Maria yang seiras Meriam di dalam hidupnya, menggusarkan jiwanya. Marsani menjadi semakin runsing apabila kejadian-kejadian ngeri berlaku kepada orang-orang yang terdekat dengannya...

Ingin saya tegaskan di sini bahawa filem ini adalah sebuah filem yang telah diarahkan dengan naratif visual yang indah di tambah dengan penekanan Shuhaimi terhadap lakonan yang bersungguh-sungguh dari para pelakonnya. Saya cukup terpesona melihat set serta kostum pelakon dalam adegan Kampung Paku Laris pada tahun 1947. Adegan tarian gamelan dibuat dengan begitu cantik dan halus sekali. Lokasi yang dipilih juga menarik, terutamanya rumah Hijjas Kasturi - Rimbun Dahan, yang dijadikan lokasi utama dalam babak-babak akhir filem ini.

Shuhaimi juga nampaknya begitu bersabar tatkala bercerita dan membiarkan penonton mengupas ceritanya ini tanpa gopoh. Penggunaan teknik imbas kembali (flashback) begitu berkesan untuk menguatkan jalan cerita sekali gus pemahaman penonton. Walau bagaimanapun, beberapa adegan mungkin terlalu mengejut tanpa kesinambungan yang wajar. Sebagai contoh, adegan

Walaupun suntingan yang dilakukan Mior Hashim Manap kemas, saya rasa agak terganggu apabila montaj pontianak yang serupa diselitkan berkali-kali (untuk menakutkan penonton, barangkali). Skor Muzik Shamsul Chairel pula, adalah antara skor muzik yang terbaik untuk sebuah filem Melayu sejak akhir-akhir ini. Dalam hal efek bunyi pula, memang memuaskan, kerana tatkala menonton filem ini, adunan Dolby Digital Surround memang benar-benar dapat dirasakan.

Lakonan para pelakon memuaskan, lebih-lebih lagi lakonan Nanu Baharudin sebagai Laila dan Sharonizam sebagai Daniel. Saya agak kecewa apabila mendapati watak kedua-dua pelakon berbakat ini dimatikan setengah jalan. Watak mereka menarik, malah saya rasa apa yang berlaku di Kampung Paku Laris pada tahun 1947 jauh lebih istimewa dari Kampung Paku Laris pada zaman sekarang.

Jangan lupa untuk perhatikan lakonan "cameo" oleh pelakon-pelakon undangan seperti Azwan Ali, Shah Rezza dan Afdlin Shauki.

Kalau tidak salah saya, pelakon-pelakon filem ini mendapat tunjuk ajar dari Fatimah Abu Bakar dan Normah Nordin. Nampaknya mereka berjaya membuat para pelakon mendalami watak-watak mereka, kecuali Maya Karin. Lakonan Maya Karin agak kaku. Mungkin beliau perlu diberikan sedikit masa lagi untuk berlatih... Kalau diberi kuasa untuk memilih pelakon, saya rasa watak utama Meriam/Maria/Pontianak akan saya berikan sahaja kepada Nanu yang lakonannya jauh lebih mantap.

Seperkara yang saya kurang senang dengan filem ini adalah adegan-adegan mimpinya yang diadakan berkali-kali sehingga membuat saya sedikit muak. Nak tahu mengapa perlu diadakan adegan-adegan mimpi ini? Kerana pakcik dan makcik kita di Lembaga Penapisan Filem (LPF) telah mengadakan garis panduan di antaranya:

1. Filem genre ini (seram) perlu ada elemen mimpi
2. Filem ini tidak boleh terlalu menakutkan, ganas, banyak berdarah dan tak boleh tunjuk keluar masuk kubur.

Maya Karin dalam Pontianak Harum Sundal MalamBahagian-bahagian akhir filem ini telah diakhiri dengan satu lagi adegan mimpi (Marsani rupa-rupanya meracau-racau dalam mimpinya. Atau mungkin, pontianak yang kita lihat dalam filem ini sebenarnya adalah hasil imaginasinya sendiri - ala halusinasi John Nash dalam filem "A Beautiful Mind"). Entah dah berapa banyak agaknya filem-filem Melayu yang dibikin dan akan terus dibikin dengan elemen mimpi ini. Kalau macam itu, berikan saya kesempatan untuk memberikan istilah baru kepada genre filem seram Malaysia - "seramimpi".

Saya tidak salahkan Shuhaimi kerana membikin sebuah naskhah yang mempunyai "ending" yang sukar untuk saya terima, tetapi kepada pihak kerajaan, khususnya Lembaga Penapisan Negara kerana mengeluarkan garis panduan yang bukan-bukan dan yang akhirnya menyukarkan proses kreatif para pembikin filem. Maka, terhasillah produk filem yang dikeluarkan di pasaran, walaupun dibuat dengan bersungguh-sungguh dengan penuh rasa hormat terhadap karya seni filem (seperti filem Pontianak HSM ini), menjadi produk seni yang ibarat kuah kekurangan garam. Ada sahaja yang tidak kena.

Shuhaimi Baba, dalam Nota Pengarah yang saya terima, telah mengatakan bahawa dengan adanya segala halangan yang ada, beliau tetap mahu meneruskan projek filemnya ini dengan harapan: "Akan datang kerajaan akan lebih terbuka bila melihat filem hantu kita mempunyai keunikan sendiri."

Saya cukup menghormati semangatnya ini. Sememangnya apa yang cuba dilakukannya ini bagus. Biarkan mereka yang begitu "arif" melakarkan garis panduan untuk pembikin-pembikin filem melihat sendiri produk yang akhirnya terhasil oleh pembikin-pembikin filem kita (baca: filem seramimpi).

Kita sebagai penonton pula perlu memberikan sokongan kepada Shuhaimi Baba dengan menonton filemnya ini (sememangnya filem ini agak fantastik dan indah untuk ditonton. Terutama pada bahagian awal filem ini yang mempunyai gaya dan rupa sebuah naskhah filem yang boleh dibawa ke festival filem!). Kita harus menonton dan menilai sendiri bahagian akhir filem ini, dan filem ini secara total. Sebagai penonton, kita harus bertanyakan kepada diri kita... Sampai bila agaknya harus kita diperkotak-katikkan dengan segala 'syarat dan garis panduan' yang ada. Tanyakan sendiri soalan ini kepada diri kita: "Adakah rakyat Malaysia begitu bebal sehingga tidak mampu menilai apa yang baik dan apa yang buruk dengan sendirinya sehingga perlu diadakan garis panduan ini semua?"

Secara ikhlas, ingin saya nyatakan bahawa filem Pontianak HSM ini berpotensi menjadi sebuah filem yang baik, malah antara filem Melayu terbaik sejak akhir-akhir ini, tetapi setelah ia dibuat dengan penapisan sendiri, dek mengikut garis panduan yang tidak masuk akal, akhirnya filem seramimpi ini hilang arah tuju dan berputar di pusaran kebingungan.

Rating: ***1/2

Klik untuk dengar lagu "Pulangkan" - Lagu Tema filem Pontianak Harum Sundal Malam nyanyian Misha Omar

27 April 2004

Ulasan Filem : Taking Lives (2004)

Taking LivesOleh Mahhass

"Ambil Nyawa" – Genre lazim dengan 'rencah' yang berbeza

Taking Lives merupakan filem arahan kedua D.J. Caruso selepas filem The Salton Sea (2002), yang sebelum ini juga pernah menulis serta mengarah beberapa episod siri tv Dark Angel dan juga Smallville (serta siri-siri tv lain). Bagaimanapun saya masih belum menonton filem The Salton Sea yang rata-rata pengkritik memberi 'tabik' kepada pengarah muda ini, malah ada yang memberi jolokan (filem The Salton Sea) sebagai "Pulp Fiction meets Transpoitting".

Taking Lives membariskan pelakon-pelakon yang tidak perlu diperkenalkan lagi seperti Angelina Jolie (Beyond Borders, Tomb Raider, Original Sin), Ethan Hawke (Training Day) dan juga Kiefer Sutherland (siri tv "24", Phonebooth – sebagai 'The Caller').

Filem ini berkisarkan tentang misteri pembunuhan yang berlaku seawal tahun 1983 di Canada hingga ke waktu ini. Kisah pembunuhan bersiri yang penuh sadistik ini masih tidak dapat diselesaikan oleh pihak polis tempatan sehingga terpaksa meminta bantuan pihak FBI amerika berikutan identiti suspek yang seringkali bertukaran. Saya katakan sadistik kerana setiap mangsa dibunuh dengan cara menghentakkan batu ke muka hingga hancur (sehingga tidak dapat dicam wajahnya). Jadi, filem ini ada mengandungi beberapa imej 'brutal' yang boleh 'mengganggu'.

Siasatan yang dilakukan oleh FBI menemui jalan buntu. Apa tidaknya, bagaimana boleh diselesaikan sedangkan orang yang bertanggungjawab ke atas siri pembunuhan tersebut sebenarnya telah lama disahkan mati? Walaupun Amerika 'mendahului' dalam segala jenis bentuk penyiasatan dari segi teknikal atau teori, namun kelemahan pasti wujud, dan yang ketara, kelemahan emosi itu sendiri khususnya jika penyiasatan itu dikendalikan oleh wanita.

Itu sebenarnya tema 'tersembunyi' yang cuba direncanakan dalam filem ini. Apa yang jelas, Angelina Jolie membawakan watak (Ejen) Illeana Scott dengan berkesan sekali. Begitu juga watak James Costa yang dibawa baik Ethan Hawke (walaupun tidak sehebat lakonan dalam filem Training Day).

...satu-satunya paparan aksi dalam Taking LivesKali ini, watak yang dipegang Jolie amat bersesuaian, oleh kerana (sekali lagi) unsur seksualiti yang sebenarnya menjadi medan untuk menghidupkan tema filem ini. Ia agak berbeza dari segi watak seorang penyiasat seperti mana watak Amelia Donaghy yang dipegangnya dalam The Bone Collector, kerana watak-watak penuh 'cinta' terluah dalam filem ini. Bagaimanapun, saya masih menggangap lakonannya sebagai Julia Russell dalam filem Original Sin masih lagi yang terbaik.

Filem-filem yang berkonsepkan pembunuhan lazimnya mengandungi twist yang agak tipikal, namun, Taking Lives saya boleh katakan agak menarik kerana saya sendiri 'ditipu' dengan tidak disangka-sangka pada minit-minit akhir kesudahannya. Ia menggarap sebuah twist dalam plot yang dimanipulasi dengan baik hasil adaptasi novel yang ditulis sendiri oleh Michael Pye (yang juga selaku screenwriter filem ini).

Ada satu adegan yang berjaya 'memeranjatkan' saya ke tahap maksimum, iaitu sewaktu Illeana memasuki 'bilik rahsia' Martin. Pun begitu, saya agak pelik kenapa beliau tidak dapat mengecam watak 'Martin' tersebut. Apatah lagi pistol sudah berada di genggamannya ketika itu.

Sebenarnya, saya mengukur sesuatu filem itu bukan sekadar dari sudut 'cerita' yang dipersembahkan, tetapi lebih kepada 'style' dan juga tekniknya. Sejauh mana filem itu berjaya mewujudkan rasa cemas atau sekurang-kurangnya membuatkan kita terlonjak-lonjak dalam menantikan kesudahannya.

Ini termasuklah juga dari sudut penguasaan fotografi, kesan khas serta mis-en-scene menarik yang boleh memberikan respon baik penontonnya. Maka, filem Taking Lives saya kira ada mempunyai ciri-ciri yang saya sebutkan itu. Namun, ia tidaklah sebaik siri tv CSI kalau dibandingkan.

Filem ini agak teruk dihentam oleh sebahagian besar pengkritik, namun seperti biasa, ia tidak mempengaruhi rating saya. Saya kira Taking Lives masih di tahap baik.

Sutradara : D. J. Caruso
Lakonlayar : Jon Bokenkamp & Michael Pye
Genre : Thriller/Drama/Jenayah
Barisan Pelakon : Angelina Jolie, Ethan Hawke, Kiefer Sutherland, Gena Rowlands, Olivier Martinez, Tchéky Karyo, Jean-Hughes Anglade
Novel Adaptasi : "Taking Lives" oleh Michael Pye
Durasi : 1 jam 43 minit
Distributor : Warner Bros.


SKRIN Rating : B+