02 June 2004

Gila-Gila Pengantin Remaja : "Gila dalam Mesej Seriusnya"

...Gila dalam Mesej SeriusnyaOleh Fadz

Kan aku dah kata, aku pegang janji aku tu, aku akan tonton apa-apa filem Melayu yang keluar tahun ini, berikutnya dan bila-bila. Kawan aku seorang kata, aku bernasib baik kerana aku sempat menonton filem Aziz M. Osman ini. Aku juga bersetuju, bukan kerana apa, filem ini sangat-sangat menghiburkan, tetapi juga sangat menyengat dalam mesej ‘cynical’nya.

Kalau aku mahu kata (seperti yang dikatakan oleh Sultan Muzzafar terhadap Trauma) filem ini telah membawa Aziz M Osman ke satu pelantar yang baru, itu seakan menipu. Kerana Aziz sudah tersedia ‘pandai’ dan ‘tahu’ karyanya, para krunya dan penontonnya. Filem ini ada untuk semua, dari penonton sejati kita yang melayan Yusof Haslam hingga ke seorang pencinta filem; menonton filem ini, Aziz seakan memberi manis-manisan untuk pencernanya, tidak kira bagaimana anda ingin melihat filem ini dari sudut apa.

Aku terpaksa berdiri dan memberi tanda hormat pada Aziz kerana filem ini. Seperti yang kau orang tahu, Aziz senang dalam mengupas isu sosial yang berlaku di sekitar Malaysia, lalu diintepretasi menjadi sesuatu yang kreatif. Untuk filem ini, beliau menggunakan komedi. Komedi adalah genre yang paling menakutkan untuk disentuh. Steven Spielberg sendiri tidak pandai mencipta komedi dan beliau sendiri akur, ia memang pendekatan paling menyusahkan.

Majalah Total Film pernah menulis, pengarah/pelakon lawak yang berjaya membuat penonton tertawa adalah pejuang seni ditahap yang tertinggi dalam kariernya. Lebih-lebih lagi jika isu yang diutarakan itu sangat sensitif, seperti isu ‘gender-bending, gay’ dalam Some Like It Hot dan Tootsie atau ajaran Jesus dan kebobrokan katolik atau agama dunia amnya dalam Mothy Phyton’s Life of Brian. Isu sosial yang diketengahkan oleh Aziz dalam filem ini adalah tentang ‘kahwin koboi’ atau kahwin lari. Ia nampak janggal, tapi tetap berlaku dalam masyarakat kita. Dan bagaimana Aziz menyentuhnya? Sudah tentu dengan cantik sekali.

Konsep yang banyak digunakan dalam filem ini, kau cuba bayangkan majalah Gila-Gila, terutamanya lukisan ‘Kutu’ Jaafar Taib. Warna, watak dan arahan seninya banyak diinspirasikan dari hasil karya kartunis ini. Kemudian bayangkan filem Yusof Haslam dengan seni reka dan latarnya yang serba lengkap, tapi dalam filem ini ia ‘hidup’ dalam warnanya seakan ia memang wujud, watak-watak sebegitu dalam rumah-rumah sebegitu (boleh dibandingkan dengan filem Edward Scissorhand arahan Tim Burton yang membawa satu dunia fairytale dalam lanskap filem itu). Kemudian bayangkan sessi naratif ‘folk song’ dalam There’s Something About Mary (ada satu makna tersirat, kenapa babak jamban diadakan untuk plot cerita filem ini. Adakah ia homage pada Farelli Brothers yang jaguh dalam komedi ‘toilet humor’ mereka?

Tetapi yang jelas, Aziz ingin mengutarakan bahawa destinasi manusia boleh dibawa/dipengaruh oleh tempat-tempat yang tidak disangkakan) yang menonjolkan emosi hati watak utamanya dalam babak babak tertentu. Tetapi kali ini, Aziz membawa teknik ini ke satu tingkat lagi- ke gambaran ego seks watak-wataknya, juga filem ini. Satu babak menceritakan segalanya- sewaktu di kelas sebuah sekolah agama, pelajar-pelajar itu bermain, berseloroh seperti remaja biasa, tenung-merenung antara pasangan lawanan seks, kemudian kugiran di belakang bermain, melodinya laju, ceria dan ‘daring’- itu satu penonjolan jiwa seks remaja-remaja itu, dan dengan tidak sengaja penonjolan jiwa remaja itu sendiri yang cuba ‘menjerit’ dari mengikut superego yang telah ditentukan oleh persekitarannya, antara tema ‘tersorok’ dalam filem ini.

Segalanya yang dibuat dalam filem ini adalah dalam ‘top class’nya. Lakonan Afdlin Shauki sungguh cemerlang. Sungguh unik. Sungguh ‘timing’ dalam gerak fizikalnya dalam penghasilan lawak (selalu diguna oleh para pelawak lama seperti Harold, Keaton dan Chaplin. Di sinilah teknik slapstik bermula, dari pergerakan pelakonnya dalam filem-filem ‘silent’). Dia seakan seorang ‘spoof runner’ dalam filem ini. Wataknya juga ada sedikit yang mengena filem arahannya sendiri, Buli. Ada satu babak, dia berbicara, “Kau bercakap dengan aku?”, kau akan teringat akan Robert De Niro dalam Taxi Driver.

Ada beberaoa mimik Al Pacino juga menyelinap dalam lakonannya. Badul seperti biasa, bersahaja dalam mengutarakan ‘line’nya. Wataknya dimainkan untuk berkelakar tapi beliau membawa filem ini seakan dalam sebuah drama realiti, membuatkan humor yang diketengahkan menjadi lebih berkesan. Aku agak terkejut juga, Juliana Banos sangat ‘kena’ dalam wataknya. Dia digandingkan dengan Afdlin, cocok sungguh dalam kejanggalannya (seperti biasa dalam semua screwball comedy), seakan yin dan yang bercantum elok. Zaidi sebagai anak orang kaya juga sungguh berjaya membawa watak ‘sesuatu dari filem Yusof Haslam’. Para pelakon tambahannya juga bagus, terutamanya pelawak veteran yang menjadi kadi di babak ‘kahwin’ filem ini.

Tapi yang paling menggembirakan aku adalah dua pelakon mudanya yang menjadi aspek filem ini (aku sudah lupa nama mereka). Si gadis itu pandai bermain dengan mimik mukanya, dan bagaimana dia menenggelamkan ‘seksual’nya dalam lakonannya. Si jejaka pula memainkan wataknya ‘straight face’ hingga ke akhir dengan sungguh berkesan, menonjolkan jiwa sebenar seorang remaja yang ingin hidup dan berdiri dan sedar tentang sekitarnya, dikelilingi orang dewasa dan kelemahan mereka.

Maka filem ini, bukan sahaja melihat perpecahan pemikiran lelaki dan wanita (ada satu babak mimpi yang seronok, menonjolkan wanita diibaratkan sebagai homemaker gaya Inggeris zaman 50-an, sangat tepat dengan kehendak dan naluri lelaki yang sekaligus mempengaruhi pemikiran wanita di Malaysia), ia juga melihat perpecahan semangat remaja dan dewasa, impian, kemahuan, cinta, seks dan penyedaran mereka terhadap dunia yang saling berbeza.

Ada dua sahaja ‘complain’ aku terhadap filem ini. Satu, lagu latarnya, walaupun ‘ochestratic’, ia dicedok dari filem Finding Nemo! Ini kerja biasa filem Yusof Haslam dan aku masih menunggu untuk ia berevolusi. Kedua, babak si jejaka menyanyi sayu lagu ‘happy birthday’ di mana, persoalannya, di mana dia tahu si anak kaya itu akan menangis bila mendengarnya?

Ada satu lagi lapisan yang aku agak ia tidak disengajakan oleh Aziz. Filem ini banyak bermain dengan ‘unconscious’ imej yang mengutarakan ‘apa itu industri filem Melayu’. Pertama, kita sedar, filem Melayu suka ‘mencedok’, dari penonjolan slanga Indonesianya (di sini, ia digambarkan, atas dasar ingin mencari keuntungan) hingga ke teknik penggambarannya. Kemudian ada seorang mamat ‘Chindian’ lakonan apek yang berkesan (“Cina+India+Melayu jadi Cindianu”) yang meminati wayang. Adakah ini kemahuan Aziz supaya penonton filem Melayu masa depannya menjadi berbilang kaum? Kemudian van (“kotak buruk”) yang sentiasa rosak bila pemandunya takbur, ada pelekat RTM di cerminnya. Adakah ini sindiran halus Aziz pada RTM kita, bagaimana ‘si tua yang tidak sedar diri ini’ harus berubah haluannya sebelum ia betul-betul ‘mati’ di tengah jalan? Banyak lagi perkara dan imej yang ingin aku kupas dari filem unik dan berani ini.

Apa-apapun, aku gembira, filem kita sudah mula menjadi ‘seronok’, juga ‘berisi’ semula.

01 June 2004

Kepelikan Pontianak Harum Sundal Malam

... Kepelikan Pontianak Harum SundalOleh Fadz

Filem ini boleh buat aku berbangga. Aku lihat di skrin senarai filem di TGV dan mendapati, filem ini antara yang tersenarai ‘berwarna merah’ selain The Day After Tomorrow dan Shrek 2 (atau mungkin kerana dua filem berikutnya sudah sold out, maka Pontianak menjadi alternatifnya), menunjukkan orang kita sudah mula tahu, apa yang mereka cari dalam wayang.

Mungkin juga Gaia benar. Aku agak bernasib baik kerna sempat menonton filem ini (Pontianak menyeru aku, katanya) di pawagam. Tapi cukup menyedihkan, apabila filem ini cuba bercita-cita ‘sangat tinggi’. Aku membaca ulasan Nizam Zakaria, bahawa filem ini sebegitu kerana ‘cut’ yang mereka terpaksa terima dari LPFN. Itu masih tidak menjadi alasan. Suhaimi boleh sahaja memotongnya kerana ia memang tidak ‘penting’ dalam menggarap plot filem ini.

Adegan ‘yang tidak perlu’ ini banyak berlaku dalam adegan Paku Laris moden: Maria dalam flashback hitam putih berdiri di sebelah Kavita, berkata tentang apa entah, adegan dua perempuan menjerit apabila nampak wajah menakutkan di silang-silang anjung (kita tahu itu Marsani). Si jurutera yang tiba-tiba melihat pontianak, tiba-tiba berjalan seorang diri di tepi ‘kubur yang ditemui’. Ia seakan kuah yang tak cukup rempah.

Filem ini dikatakan ada unsur ‘seramimpi’. Aku boleh katakan ia tidak begitu tepat. Paling tepat, ia seangkatan filem seram ‘delusi’ seperti Blair Witch Project 1 & 2, Seconds, Repulsion, Don’t Look Now dan Rosemary’s Baby. Kalaulah LPFN menghalalkan filem ini kerna ia ada unsur ‘bangun dari mimpi’, LPFN nampak sangat tertipu oleh kecelikan Suhaimi Baba.

Suhaimi Baba memilih untuk membuat filem ini kerana dua perkara (mungkin lebih). Pertama kerana kejayaan Nang Nak di Festival Filem Asia Pasifik dan kutipan tinggi yang didapatinya, dalam dan luar negara. Kedua kerana Suhaimi ingin memberi ‘homage’ pada filem-filem pontianak zaman Jalan Ampas. Niatnya murni. Hanya mungkin, beberapa perkara dalam filem ini yang kelihatan ‘lesu’ kerana, kita kena akur, filem seram itu filem seram, maka ia ada gayanya dan falsafahnya yang tersendiri untuk membuatnya.

Bagi aku, Suhaimi tetap hebat apabila menyentuh filem drama (yang penuh lara) dengan gaya ‘ensemble cast with overlapping dialogue’ gaya Robert Altman. Untuk filem seram bergenre pontianak, aku agakkan beliau akan menggunakan teknik yang sama. Teknik ini langsung tidak dipakai (kerana filem-filem pontianak dahulu tidak ada mengguna gaya ini). Apa yang Suhaimi bawa amat persis seperti satu filem bangsawan. Ini amat kena apabila filem ini ber’homage’kan filem-filem Jalan Ampas (our own sweet hollywood yesteryear).

Suhaimi juga ada meminjam sesuatu dari filem-filem seram Barat yang agung. Tangkapan langit dan awan yang mekar kuning amat ekspresionis, menakutkan- gaya yang sama yang dilakukan oleh Murnau dalam filem seram terkenalnya itu, Nosferatu (kerana pontianak Melayu dan vampirisme Barat mempunyai pola elemen yang agak sama).

Teknik ‘subliminal perspective’ dalam The Exorcist (filem ini juga berkenaan penggunaan konsep ‘light and dark’ seperti dalam Pontianak) digunakan pada suntingan Pontianak dengan matanya yang menakutkan dalam mimpi-mimpi Marsani. Ia agak menakutkan (bagi penonton Asia terutamanya dan yang tahu budaya ‘hantu’ Asia) pada mulanya. Tetapi apabila teknik ini dipergunakan secara tidak menentu pada adegan-adegan Maria ‘bersatu dengan lagu’, ia menjadi memenatkan dan tidak menakutkan lagi.

Rahsia filem seram ialah, jangan beri efek seram dengan serentak atau berulang, tapi ia seharusnya beransur-ansur. Ada juga beberapa babak seakan diambil dari sebuah filem David Lynch, pelik dan surreal. Contohnya apabila Marsani memakai mekap dan lilin yang dipasang untuk Maria berjalan. Ia sudah tentu mempunyai pelbagai maksud: Marsani sudah ‘hilang’ dalam delusinya, dengan cara itu Marsani dapat menghalau Mariam, roh ‘unconscious’ Marsani yang ingin ‘bersatu’ dengan Mariam, masih tidak dapat melupakannya walaupun gerun akannya. Adegan seram ‘paling kelakar’ pula berlaku apabila Norman tertidur bersama Maria lalu isterinya tertangkap mereka di katil.

Sungguh menggelikan (dalam beberapa adegan seram filem ini, ada penonton yang ketawa. Itu menandakan ada sesuatu yang gagal untuk disampaikan dalam filem seram), seakan ia keluar ‘directly’ dari tulisan Russel Lee atau majalah-majalah sensasi seks yang belambak di toko majalah. Walaupun mungkin signifikasinya kena pada masyarakat kita, aku tidak dapat berhenti ketawa, kerana babak itu mendapat jolokan ‘horror of marriage life, Malaysian style’ bagi aku.

Cerita filem ini sendiri sangat menarik. Kita sedar juga (secara membaca watak Mariam walaupun ia dibuat secara ‘senyap’ dan ‘malu’) logiknya kenapa Mariam boleh menjadi seorang Pontianak, nafsu ketidaktentuan Marsani, dan akibatnya pada cucu dan orang-orang disekelilingnya. Cerita itu sendiri sudah ada ‘seramnya’. Lakonan semua pelakonnya sungguh hebat.

Aku suka lakonan Maya Karin yang melankolik, tegas, kejam, misterius, menakutkan dalam Mariam/Maria (kawan aku ada bertanya, kenapa Maria boleh jadi muda sedangkan dia patut berumur. Ini semua elemen 'misterius' yang ingin Suhaimi Baba pertengahkan dalam 'fantastikal' dunia pontianak, tentang awetnya [sama seperti elemen Undead vampire], paku di leher dan amalan ilmu hitam).

Begitu juga Rosyam Nor (watak beliau disengajakan begitu kerana tema berat dan seram filem ini perlu diseimbangkan, mungkin untuk menenangkan LPFN) sebagai Ayah Madi. Kavita Kaur juga hebat sebagai seorang watak yang ‘di luar keluarga’ yang cuba memahami rahsia keluarga yang dikahwininya tapi gagal juga pada akhirnya.

Sokongan Nanu dan Ida Nerina dan perempuan simpanan Marsani (Yuli. Aku tak tahu nama pelakonnya) juga tidak menghampakan. Sharol sebagai Daniel juga tidak terkecuali (aku diberitahu bahawa dia seorang pelakon teater) yang berlawanan dengan watak Marsani lakonan Azri Iskandar. Azri mempunyai kerja dan tanggung jawab yang paling berat dalam filem ini kerana konflik wataknya lah yang membawa filem ini berjalan.

Paling mengejutkan aku adalah lakonan mantap dan penuh kejujuran dari Eizlan Yusof sebagai Norman. Dia sudah banyak berubah. Aku masih boleh ingat gaya ‘kayu’nya dalam bersyarah pada pelajar di depan kelas dalam Perempuan Melayu Terakhir. Kali ini Eizlan sungguh hidup dalam wataknya, dengan tidak sengaja penonton boleh bersimpati dengan apa yang dilalui olehnya serta datuknya (but he is a bit typecast here.

Kau sedar tak bahawa semua filem yang dia lakonkan, semua watak yang dipegang berkenaan seorang lelaki yang dengan tidak sengaja ingin ‘bersenggama’ dengan watak utama wanita dalam filem itu. Contohnya Panas dan Perempuan Melayu Terakhir). Hanya satu saja lakonan yang tidak kena. Walaupun lakonan Azwan Ali ‘ok’ sebagai raja, nampak sungguh pemilihannya sangat ‘miscast’.

Ada juga elemen biasa yang diguna pakai oleh Suhaimi, kelihatan dalam plot filem ini. Dalam dunia Suhaimi Baba, watak-wataknya mati selalunya secara tidak sengaja, antara terbunuh dalam kemalangan atau terbunuh secara tidak sengaja. Ini dapat dilihat dalam Selubung (Jit Murad dihempap bangunan runtuh kerna dibom), Ringgit Kassorga (Tiara tidak sengaja dibunuh kerana cuba melawan, dan juga sebuah insiden kemalangan), dan Mimpi Moon (Asha Gill mati kerana periuk api).

Dalam Pontianak, nasib yang serupa berlaku pada Mariani (dibunuh secara tidak sengaja) dan Efy awek Ismadi (dalam kemalangan). Suhaimi seakan mahu memberitahu, manusia itu selalu berbuat silap tanpa menghitungnya, sehingga ia terlambat, lalu ia terjerat dalam keadaan dan qadarnya.

Aku terpaksa menonton dua kali untuk memahami mesej tersirat yang ingin dibawa oleh Suhaimi (seperti biasa). Apa yang Suhaimi ingin katakan sungguh jelas. Dalam arus kemodenan, adakah kita sedar tentang sejarah, akar umbi, asal dan warisan kita? Suhaimi menonjolkan bahawa walaupun keluarga kaya Marsani berjaya di dunia dan juga perjuangan budayanya, hidup mereka tetap kucar-kacir, ber’celaka’, menyedihkan dan boleh hapus bila-bila masa sahaja. Kenapa ini berlaku? Kerana keluarga ini (refleksi pada kita) tidak mahu memahami ‘yang dulu-dulu’, jahil akannya.

Paling menyedihkan apabila kita sedar, keluarga ini tidak dapat berbuat apa-apa untuk memahaminya dan hanya menyaksikannya pupus di depan mata. Contoh yang sangat halus yang boleh dilihat adalah bila Ayah Madi terkedu siksa, memukul gamelan apabila aweknya mati. Tidak ada sembahyang jenazah, bacaan Yasin dan Qur’an untuk dihadiahkan arwah, tahlil 7 hari untuk si mati.

Babak anak Norman bercukur jambul juga menonjolkan satu kumpulan maulud wanita yang diupah membuat marhaban sedangkan tetamu dan keluarga Marsani sendiri hanya tahu bersuka dan bersosial (dalam apa jua majlis berkenaan maulud dan bermarhaban, semua hadirin sebenarnya mesti bermaulud bersama), menonjolkan, di mana takat hayat warisan kita sebenarnya. Ada juga mesej lain tentang pertentangan hidup perniagaan orang Melayu dan nafsu orang Melayu. Semua ini sinonim dengan lagu ciptaan Ajai dendangan mendayu Misha Omar yang sungguh berkesan di akhir kredit filem ini. Lagu ini agak menarik. Ada unsur ‘gothic’ dalam melodi Melayunya.

Filem ini mungkin bukan yang terbaik dari Suhaimi. Tapi waktu ini, kawan-kawan aku sudah mula menggunakan dialog “Pulangkan! Pulangkan apa yang kau rampas dari aku!” lalu bermain-main dengannnya. Meletakkan filem ini sebagai filem tempatan ‘cult’ pertama yang aku tonton untuk tahun ini.