21 December 2004

Ulasan Filem : The Manchurian Candidate (2004)

Oleh Fadz

Jonathan Demme adalah antara pengarah kegemaran aku.

Menonton filem ini yang agak panjang, dan tertidur kerana dialognya yang berjela dan berpolitik (atau mungkin sebab aku berpuasa) pada awalnya dan akan dipersoalkan peminjaman 'political correctness'nya tentang era 'korperat besar seperti kes Microsoft ingin menakluk dunia', '9/11 dan paranoia benda-benda asing (di sini, arabisasi)', 'komersialisme vs. kebenaran' dan 'perang mengundi Bush-Kerry'.

Tetapi ia semestinya satu thriller yang baik dan agak mencengkam, lebih-lebih lagi pada waktu Washington sedar akan 'konspirasi' yang sedang dan akan berlaku.

GAIA berkata pada aku bahawa dia agak seronok menonton 'twist' yang dilakukan dalam filem ini apabila 'terrorisme' bukan disalah-hitamkan tetapi kuasa-kuasa besar (di sini, korperat besar) yang disalahkan (ingat skandal Enron?). Bagi aku, ini adalah dasar biasa peneroka sci-fi (lihat Alien) yang mengatakan korperat besar pada masa depan yang akan menakluk dunia, maka persoalan filem ini yang agak realistik (lihat gaya paparan watak mendepani fokus kamera, gaya biasa filem Demme.

Ini ditinggikan tahapnya dengan penggunaan berita untuk membawa plot filem ini. Maka realiti dan fantasi berbaur seperti Independence Day) dan fantasi dibawa ke depan. Ia mungkin boleh terjadi, ia mungkin tidak. Aku tak tahu, tetapi kalau ingin membandingkan 'fantasi' konspirasi dan drama manusia filem ini dengan Farenheit 9/11, filem Micheal Moore itu lebih berjaya, dan ia juga penuh paparan watak 'sebenar' di depan kamera.

Apapun, aku masih boleh teringat tenungan mata Anthony Hopkins yang menakutkan serta mendalam dalam Silence of the Lambs, mengarah kita menjadi si 'diperhatikan' dari memerhatikan (Jonathan Demme mahu kita persoalkan fungsi menonton di sini. Adakah kita hanya menonton atau dipertontonkan?

Tenungan mata itu juga untuk kita 'berinteraksi' dengan watak di layar maka kita tidak lagi hanya menonton, tetapi bersama mengambil bahagian dalam filem itu. Tidak ada lagi istilah penonton, kerana masing-masing merenung antara satu sama lain. Masing-masing sepatutnya berkomunikasi tetapi di sini, watak filem itu mempunyai 'upper hand' dalam membuat pilihan, dan kata-kata.

Maka kita sebagai penonton 'membisu'. Kita perlu membalas sebenarnya, sekuarang-kurangnya selepas filem itu berakhir). Dan itulah agenda Demme sebenarnya dalam Manchurian Candidate, mengarah penonton Amerika untuk bertanya, persoalkan, adakah polisi politik era mereka ini semata-mata realiti atau khayalan yang dicipta oleh manusia-manusia yang terpampang memenuhi kotak bodoh mereka?

Ulasan Manchurian Candidate 1962 (versi klasik) oleh Mahhass

20 December 2004

Ulasan Filem : Ocean's Twelve (2004)

Ocean's TwelveOleh Walids

Ramai yang mengatakan bahawa filem – filem ‘sequel’ kebanyakannya menghampakan. Saya juga mempunyai tanggapan yang begitu tetapi seperti mana pepatah melayu ‘jangan kerana nila setitik, rosak susu sebelanga’. Dan percayalah bahawa filem Ocean Twelve pastinya tidak menghampakan peminat filem ini. Tidak cukup dengan barisan pelakon yang cukup ternama, ditambah idea kreatif pengarah, Ocean Twelve mempunyai identitinya sendiri.

Adegan dimulakan dengan babak tiga bulan selepas rompakan di Las Vegas. Babak memperkenalkan watak baru dalam filem ini, Isabel Lahiri (Catherine Zeta-Jones) sebagai kekasih Rusty Ryan (Brad Pitt). Isabel merupakan seorang detektif yang ditugaskan untuk menyelesaikan masalah rompakan yang dilakukan oleh Rusty dan Frank di Amsterdam. Dan seperti biasa Rusty menghilangkan diri apabila Isabel mula mendapat klu mengenai identity perompak tersebut.

Babak seterusnya memfokuskan kepada setiap ahli Ocean Eleven didatangi Terry Benedict (Andy Garcia) yang menyimpan dendam terhadap mereka. Benedict mahu mereka membayar semula jumlah wang rompakan yang mereka lakukan dengan memberikan mereka ultimatum – bayar wang dengan bunga selama tiga tahun – dalam masa dua minggu. Ini merupakan diantara babak – babak penting di dalam filem ini dimana setiap sudut dan editing yang dibuat merupakan trademark bagi Steven Soderbergh, freeze – frame pada reaksi setiap ahli Ocean Eleven terhadap ugutan Benedict.

Ahli Ocean Eleven akhirnya bertemu untuk membincangkan jalan penyelesaian yang boleh mereka ambil. Danny Ocean (George Clooney) mencadangkan agar mereka melakukan satu lagi rompakan untuk menampung baki wang yang perlu mereka kumpulkan untuk dibayar semula kepada Benedict. Mereka akhirnya bersetuju untuk ke Amsterdam untuk satu misi. Namun, di Amsterdam, misi yang dirancang dan dilakukan dengan baik akhirnya menjadi sia – sia apabila ‘The Night Fox’ telah mendahului mereka. ‘The Night Fox’ a.k.a Francois Toulour (Vincent Cassel) merupakan pencuri yang telah mendedahkan identiti ahli Ocean Eleven kepada Andy dan dimana di dalam komuniti perompak ini merupakan satu kesalahan yang besar. ‘The Night Fox’ merupakan anak didik Caspar LeMarc (Albert Finney), merupakan seorang perompak lagenda yang sehingga hari ini menjadi buruan pihak polis antarabangsa.

Ocean Twelve'The Night Fox' memerangkap Danny dan ahli Ocean Eleven oleh kerana ingin membuktikan kepada LeMarc bahawa dia merupakan perompak yang terbaik. Setelah berjumpa dengan ‘The Night Fox’, Danny telah menerima cabaran ‘The Night Fox’ untuk mencuri ‘The Coronation Egg’ (sebuah hadiah perkahwinan dari seorang tukang emas kepada Czar Nicholas dan Alexandra pada tahun 1900’s). Dan sebagai pertaruhan jika Danny menang, ‘The Night Fox’ akan membayar semua hutang ahli Ocean Eleven kepada Benedict. Seperti biasa kelicikan dan kesempurnaan rancangan Danny mengatasi kehebatan aksi ‘capoeira’ ‘The Night Fox’.

Filem sinambungan ini tidak menghampakan pada pandangan saya. Bagi saya ianya lebih hebat dari filem sebelumnya. Dengan pemandangan yang indah sekitar Amsterdam dan Rome, teknik Soderbergh juga kena dengan kaedah penceritaan filem ini. Lebih banyak putar – belit cerita yang menarik. Ditambah juga dengan lakonan bersahaja perompak yang kadang kala seolah – seolah merupakan pelawak. Filem ini tidak semata – mata bergantung kepada barisan pelakon hebat yang juga tampak hebat dengan pemilihan pakaian oleh pemenang Oscar, Milena Canonero tetapi dengan satu plot cerita yang menarik.

Ocean TwelveSelain itu, watak Linus Caldwell (Matt Damon) juga lebih menyerlah di dalam filem ini. Caldwell yang merupakan anak murid yang dididik oleh Danny dan Rusty mula menunjukkan kebolehannya di dalam filem ini. Di mana secara tidak langsung, Caldwell merupakan salah seorang penyelamat dalam filem. Begitu juga dengan Tess Ocean (Julia Roberts) yang memegang watak sebagai isteri Danny juga menyumbangkan tenaga sebagai seorang perompak dalam filem ‘sequel’ ini. Tess perlu menyamar sebagai seorang pelakon yang terkenal iaitu Julia Roberts. Lucu. Ironik. Di dalam ‘sequel’ ini juga menampilkan Bruce Willis sebagai Bruce Willis yang secara tidak langsung ‘merosakkan’ rancangan Caldwell setelah Danny dan ahli lain yang telah ditangkap oleh Isabel.

Filem ini memaparkan diantara teknologi terbaru didalam bidang rompakan yang teratur. Bukankah ini satu faktor kenapa masalah rompakan semakin maju? Seperti mana pendapat saya mengenai iklan atau berita mengenai teknologi terbaru dalam membanteras jenayah yang disiarkan di televisyen. Ianya hanya akan memberikan idea kepada sang pencuri untuk mengatasi alat atau teknologi yang dicipta untuk menghalang mereka. ‘Perompak termaju’ bukan sahaja licik tetapi kini mempunyai ijazah sarjana untuk menampung hidup mereka dalam bidang kejuruteraan ‘perompakan’. Jadi bagaimana kita boleh mengatasi langkah perompak – perompak ini jika kita memberikan ‘the first step ahead’ kepada mereka?

Rating walids : 8.3/10

13 December 2004

Ulasan Filem : Alexander (2004)

AlexanderOleh Walids

Kisah epik seorang lelaki yang berjaya menakluk Asia dan Eropah dalam usia yang sebegitu muda memang merupakan satu kisah yang patut dicontohi. Sebagai contoh semangat dan kecekalan yang dimiliki oleh seorang lelaki. Alexander dikatakan menjadi sepertimana ada dirinya akibat dari ingin membuktikan kepada rakyat Macedonia bahawa dia lebih hebat dari bapanya, Philips. Itu merupakan cita - cita Alexander. Untuk jadi yang lebih hebat dan lebih baik dari semua orang. Cuma ada seorang lelaki yang boleh mengalahkan Alexander. Hephaistion.

Siapa Hephaistion? Teman sejak kecil Alexander. Mereka berguru bersama Aristotle. Tempat Alexander meluahkan perasaan marah, sedih dan takutnya. Sejauh mana persahabatan ini diantara Alexander dan Hephaistion? Kekasihnya? Yang boleh dikatakan ialah mereka adalah 'satu'. Pernah berlaku insiden apabila Puteri Persia melutut kepada Hephaistion kerana menyangka beliau ialah Alexander, dan Alexander cuma tergelak dan berkata "Tidak mengapa, dia juga Alexander". Penyelidikan telah dibuat dan tiada bukti di dalam catatan sejarah Alexander dan Hephaistion merupakan pasangan kekasih. Tiada rekod mengatakan mereka pernah melakukan hubungan yang lebih dari sekadar kawan. Tapi itu apa yang mereka nampak dan mereka catat, selebihnya? Kenapa Alexander berkahwin dengan seorang wanita yang tidak mempunyai kedudukan? Apa motif disebalik perkahwinan tersebut? Sekadar untuk mendapatkan zuriat dah pewaris?

Dari apa yang dilihat di dalam Discovery Channel, Alexander dan semua lelaki di Macedonia pada zamannya merupakan golongan biseksual. Mereka mempunyai isteri dan juga kekasih lelaki. Mungkin ini menyebabkan mereka mengatakan bahawa Alexander merupakan kekasih Hephaistion. Cara Alexander dibunuh juga dikatakan bukan merupakan satu cara Macedonia yang sebenar. Dia diracun atau meracun dirinya sendiri. Tidak seperti Philips, yang mati dibunuh. Seperti yang diperkatakan bahawa jika Alexander tidak mati sewaktu kempennya ke Tanah Arab, dunia mungkin bukan seperti yang ada sekarang.

AlexanderOliver Stone sekali lagi menimbulkan kontroversi setelah filem "JFK" dan "Natural Born Killers". Stone yang mengarahkan filem epik bernilai USD 150 juta ini lebih memaparkan Alexander (Collin Farrell) dan lelaki di zaman tersebut sebagai lelaki gay. Dari lakonan Alexander dan Hephaistion (Jared Leto) sudah cukup untuk memberikan gambaran kehidupan lelaki pada zaman mereka. Alexander cuma berkahwin setelah hujung pisau berada dilehernya. Dan perkahwinan tersebut mendapat tentangan dari rakan - rakannya. Pelakon kanak - kanak yang melakonkan watak Alexander sewaktu kecil berjaya melakonkan 'semangat' Alexander yang ingin dilihat hebat dimata bapanya Philips (Val Kilmer).

Alexander yang sebelum ini dijaga dan dibesarkan oleh Olympias (Angelina Jolie) tidak mahu Alexander mengikut jejak langkah ayahnya. Malah Olympias sendiri tidak mengaku bahawa Philips merupakan ayah kepada Alexander. Olympias mahu membesarkan Alexander mengikut acuannya sendiri. Alexander berjaya mengambil perhatian ayahnya, sewaktu Alexander menjinakkan seekor kuda, Bucephalos. Kuda yang menjadi tunggangan beliau sewaktu menakluk sebahagian besar jajahannya sehingga ke India apabila kuda tersebut mati sewaktu mempertahankan Alexander. Dan Alexander berjaya mendapat tahkta ayahnya hanya kerana dia disokong oleh teman - teman ayahnya.

Collin Farrell telah dipersediakan untuk watak Alexander lebih lama sebelum Stone memulakan pengambaran. Farrell di latih untuk menunggang kuda tanpa pelana, berlatih taktik peperangan untuk memimpin pasukan, penggunaan pedang dan seni mempertahankan diri. Farrell dipersediakan dari segi fizikal dan mental. Untuk dia menjadi Alexander. Cuma mungkin satu kesilapan Stone. Dia tidak cuba untuk menukar slanga Farrell. Atau memang orang - orang di Macedonia berbahasa Irish?

AlexanderDua pertempuran besar yang berlaku di Gaugemala dan India merupakan 'highlight' dalam filem ini. Pertempuran di Gaugemala lebih merupakan sebagai satu pertempuran untuk membalas dendam terhadap kematian ayahnya, Philips. Di katakan bahawa pembunuh Philips merupakan pembunuh upahan yang diupah oleh Raja Darius. Dan Alexander telah nekad untuk membunuh sendiri Darius. Walaupun jika dibandingkan bilangan tentera, Alexander cuma membawa lebih kurang 30,000 tentera dan Darius 250,000 orang. Jelas dari segi kuantiti Darius mempunyai kelebihan. Tetapi disebakan taktik peperangan yang bijak Alexander berjaya mengalahkan Darius. Formasi 'phalanx' yang masih menjadi ikutan tentera adalah merupakan ciptaan Alexander. Formasi yang dikatakan amat teguh dan sukar untuk dicerobohi.

Stone tidak mengupas bagaimana Alexander menghembuskan nafasnya yang terakhir. Mungkin bagi yang tidak tahu sejarah Alexander perkara ini perlu diperjelaskan agar tidak menyebabkan sejarah yang direka sendiri tertulis. Mengikut sejarah mengatakan Alexander diracun. Diracun setelah Alexander berada dalam keadaan yang paling lemah. Alexander berada di dalam keadaan yang paling lemah setelah Hephaistion mati akibat malaria. Alexander seperti kehilangan sesuatu yang paling penting dalam hidupnya. Namun, ada juga yang mengatakan bahawa Alexander sendiri yang meracun dirinya. Dalam erti kata lain memaksa dirinya untuk meneruskan kempen penaklukannya. Tanpa menghiraukan kesihatannya sendiri.

Duduk di panggung selama 3 jam untuk menonton filem yang tidak kita ketahui sejarahnya mungkin berbaloi. Tapi bagi yang sudah mengetahui sejarah (dari pembacaan atau dokumentari) filem ini mungkin mengecewakan sedikit. Banyak fakta yang tidak diceritakan. Namun, sebagai sebuah filem epik yang difilemkan, usaha Stone perlu diberi kredit.

Rating walids : 8.0/10

07 December 2004

Ulasan Filem : The Forgotten (2004)

The ForgottenOleh Walids

Filem dari genre thriller, sci - fi dan drama arahan Joseph Ruben ini merupakan filem yang anti - klimaks. Semangat untuk menonton luntur apabila sampai ke babak pada waktu - waktu akhir filem. Pada mulanya, dengan berbekalkan sedutan - sedutan yang disaksikan sewaktu iklan sebelum filem - filem lain ditayangkan memaparkan The Forgotten sebagai sebuah filem yang perlu ditonton kerana babak - babak suspen yang cukup ramuannya.
Jika dibandingkan filem The Forgotten dengan filem - filem suspen atau thriller arahan M. Night Shayamalan, pengarah yang cukup terkenal dengan penyudah cerita yang tidak dapat dijangka, The Forgotten mempunyai kekuatannya yang tersendiri. Terutama sekali pada permulaan cerita yang cukup kuat jalan penceritaannya.

The Forgotten mengisahkan mengenai kisah seorang wanita, Telly Paretta (Julianne Moore) yang mengalami 'dilusi' sepertimana yang ditegaskan oleh pakar psikiatrinya. 'Dilusi' tentang seorang kanak - kanak lelaki yang menurut Telly merupakan anak beliau, Sam Paretta (Christopher Kovaleski). Menurut Dr. Jack Munce (Gary Sinise), Sam cuma merupakan khayalan Telly. Individu yang cuma diwujudkan di dalam diri Telly akibat trauma yang dialaminya. Tetapi menurut Telly, Sam wujud. Dia wujud dalam dirinya. Dia yang mengandungkan Telly. Semua memori Sam wujud dalam dirinya. Namun, hari demi hari Telly menyedari gambar - gambar dan rakaman video Sam mula hilang. Suspek utama tuduhan Telly ialah suaminya sendiri, Jim Paretta (Anthony Edwards). Jim dan Dr. Munce cuba menerangkan kepada Telly bahawa Sam cuma satu ilusi akibat trauma yang beliau alami selepas keguguran.

Telly tidak dapat menerima kenyataan tersebut. Telly tahu bahawa Sam mati dalam kemalangan yang melibatkan kapal terbang yang membawa sekumpulan kanak - kanak untuk ke sebuah kem waktu cuti. Telly cuba untuk meyakinkan dirinya bahawa dia tidak gila. Namun, semua teman - temannya juga tidak pernah tahu dia mempunyai seorang anak lelaki yang bernama Sam. Namun, setelah bertemu Ash Cornell (Dominic West) secara tidak sengaja di taman permainan rumahnya, Telly tahu bahawa Ash merupakan ayah kepada Elliot teman Sam yang juga menaiki pesawat yang sama. Namun, Ash menafikan yang beliau pernah mempunyai seorang anak perempuan dan tidak pernah berkahwin.

The ForgottenTelly mula mendekati Ash kerana Telly tahu apa yang berlaku pada dirinya berlaku pada diri Ash cuma yang berbeza Ash menggunakan arak untuk menghilangkan ingatannya terhadap anak perempuannya. Setelah Telly menunjukkan bukti kewujudan bilik anak perempuannya, Telly telah ditahan oleh polis setelah Ash rasa Telly benar - benar mengalami tekanan. Dan sewaktu dalam tahanan ini, pihak polis kerajaan mengambil alih dan menahan Telly. Dan pada masa yang sama, Ash yang masuk semula ke bilik tersebut mula mendapat kembali ingatan beliau terhadap anak perempuannya Elliot dan bergegas untuk mendapatkan Telly. Setelah bergelut dengan polis - polis kerajaan dan melepaskan Telly, Ash dan Telly sekarang dalam buruan polis kerajaan.

Apa kena mengena polis kerajaan dalam kes Telly? Telly cuma ingin tahu apa yang terjadi pada anaknya. Ash dan Telly kini dalam misi untuk mengetahui apa yang terjadi pada anak mereka. Apa sebenarnya yang berlaku sehingga menambat minat polis kerajaan untuk turut dalam kes mereka. Sehingga melarut kepada sebuah syarikat penerbangan yang membawa kanak - kanak tersebut. Kapal yang dikatan terhempas dan kanak - kanak tersebut hilang. Konspirasi atau sesuatu yang dirancang? Beberapa perkara yang tidak dapat diterangkan oleh logik akal juga berlaku sewaktu dalam pelarian Telly dan Ash. Dimana mereka juga dikejar atau didatangi oleh seorang lelaki yang mereka tidak kenali.

The ForgottenMenonton The Forgotten seolah - olah menonton salah satu dari siri The X - Files. Ending yang cukup boleh dijangka. Merupakan satu kelemahan yang jelas untuk satu filem yang kuat dari segi jalan ceritanya. The Forgotten pada permulaanya memaksa penonton untuk berfikir mengapa atau kenapa memori mengenai anak Telly dipadam. Namun, sampai dipertengahan filem, penonton sekali lagi dipaksa untuk merubah anggapan mereka. Benarkah kanak - kanak tersebut merupakan plot utama cerita? Atau ada plot lain? Adakah ianya berkaitan dengan makhluk asing? Bagi walid sendiri, setelah menonton sedutan apabila Telly dan Ash menyoal seorang polis kerajaan yang dapat ditangkap oleh mereka, dan polis tersebut secara tiba - tiba 'disedut' dari entah mana, secara otomatik telah tertanam di dalam set pikiran walid bahawa filem ini merupakan sebuah filem yang ada kaitannya dengan makhluk asing! Dan ternyata tekaan walid selalunya tidak salah.

Namun, jangan jadikan ulasan walid ini sebagai satu alasan untuk tidak menonton filem ini. Secara keseluruhan filem ini cukup bagus untuk peminat - peminat filem dari genre thriller. Mungkin, ending yang agak mengecewakan but still worth the ticket that you paid for. Emosi dan persekitaran Telly membuatkan filem ini seolah hidup. Perasaan kasih dan sayang seorang ibu dan anak. Satu jalinan yang cukup suci. Lebih hebat dari jalinan broadband!

Rating walids : 7.5/10

02 December 2004

Ulasan Filem : Shutter (2004)

ShutterOleh Walids

Setiap gambar yang diambil menceritakan kisah yang tersendiri. Banyak yang boleh diceritakan. Ianya juga boleh ditafsirkan mengikut fahaman penilai sendiri. Dan ianya mungkin berbeza. Masalah 'impose picture' adalah masalah yang biasa di dalam bidang ini. Mungkin mata kasar seperti kita tidak dapat membezakan kesahihannya. Tapi dengan teknologi masa kini, masalah seperti itu dapat dikesan dengan mudah. Kebiasaannya, foto yang diambil oleh seorang jurugambar professional memang cukup mengasyikkan.

Tapi apa yang berlaku jika terdapat detail atau gambaran yang tidak dapat diterangkan oleh jurugambar sendiri. Dan ianya bukan melibatkan masalah kamera itu sendiri. Ini yang cuba dibentangkan oleh Pakpoom Wongpoom dalam filem 'Shutter'. Beliau menggunakan medium ini untuk menceritakan sebuah kisah seram yang amat menarik. 'Shutter' bermula dengan adegan kemalangan yang melibatkan seorang jurugambar, Thun (Ananda Everingham) dan kekasihnya Jane (Natthaweeranuch Thongmee) yang melanggar 'seorang perempuan'. Dan mereka mengambil keputusan untuk meninggalkan perempuan itu ditempat kejadian. Jane mengalami mimpi - mimpi ngeri sejak peristiwa tersebut.

Manakala Thun pula pelik melihat gambar - gambar yang diambil sewaktu majlis graduasi Jane. Ada yang tidak kena dengan gambar - gambar tersebut. Jane mula rasa bersalah dan telah cuba mencari perempuan tersebut. Namun, tiada pesakit yang dimasukkan ke mana - mana hospital pada hari kejadian tersebut. Jane dan Thun mula dihantui dengan imej - imej yang muncul dalam hidup mereka.

Jane mula mencari pertolongan dengan berjumpa dengan seorang jurugambar yang telah menerbitkan majalah - majalah yang berkaitan foto yang mengandungi imej - imej roh. Dan seperti biasa jurugambar tersebut menerangkan bahawa kebanyakan gambar - gambar yang beliau terbitkan merupakan gambar yang diubah semula. Semuanya untuk melariskan majalah beliau.

Pembaca inginkan sesuatu yang seram dan ngeri. Namun, jurugambar tersebut menunjukkan koleksi beliau sendiri. Foto imej ibunya yang telah meninggal dunia dan ada di dalam gambar beliau dan anaknya. Dan menurut jurugambar tersebut itu merupakan gambar yang asli. Tapi bagaimana ianya dapat dibuktikan? Salah satu cara untuk tidak memastikan gambar yang diambil ialah gambar yang asli ialah dengan menggunakan kamera poleriod. Di mana bila ianya ditekan, gambar akan keluar secara otomatik dan tiada proses lain. Tanpa pengetahuan Thun, dua orang rakannya telah pun mati akibat terjun dari bangunan. Thun cuma mengetahui perkara ini setelah salah seorang rakannya datang ke rumah meminta gambar darinya. Dalam keadaan yang tergesa - gesa meminta gambar. Dan apabila Thun pergi ke rumahnya untuk bertanyakan mengenai gambar yang diminta, Thun melihat sendiri rakannya membunuh diri.

Setelah peristiwa itu, Thun baru menyedari, perempuan yang menghantui Thun dan Jane bukan disebabkan oleh pelanggaran tersebut tetapi disebabkan apa yang dilakukan oleh Thun dan tiga orang rakannya. Perempuan tersebut merupakan teman sekolej Thun dan rakan - rakannya yang telah diperkosa dan dimalukan oleh mereka. Perempuan tersebut telah membunuh diri dan kini menuntut dendam di atas kematiannya.

Thun dan Jane telah mencari rumah perempuan tersebut dan mendapati mayat perempuan itu masih wujud diawet oleh ibunya. Thun dan Jane mendesak ibu perempuan tersebut untuk membakar mayatnya agar rohnya tenang namun setelah proses pembakaran dilakukan, Thun masih dihantui roh perempuan tersebut. Terlalu banyak adegan - adegan seram yang cukup untuk mengejutkan penonton.

Pada saya, garapan terakhir untuk filem ini cukup simbolik. Akhirnya Thun tahu mengapa beliau mengalami sakit - sakit leher yang teruk. Dan bagaimana hidup Thun akhirnya. "Orang yang disayang akan tinggal dengan orang yang disayangi tak kira di mana anda berada". Amaran Kerajaan Malaysia: Pastikan anda tidak mengalami atau mempunyai sejarah sakit jantung. Pastikan anda menonton filem ini dengan seseorang yang telah lulus untuk prosedur CPR yang betul.


Rating walids : 7.9/10